>

MELAWAN SAMAN FITNAH Bahagian 2

lawan saman malu, cabar saman malu, jawab saman malu

MELAWAN SAMAN FITNAH Bahagian 2

Di dalam rencana Melawan Saman Fitnah Bahagian 1 yang lepas, kita telah membaca berkenaan dengan pembelaan Ulasan yang Adil (Fair Comment), Justifikasi (Justification) dan Fitnah Tidak Sengaja (Unintentional Defamation). Apakah terdapat pembelaan lain yang boleh digunakan untuk melawan dan mencabar saman malu?

KEISTIMEWAAN MUTLAK (ABSOLUTE PRIVILEGE)

1. Apabila sesuatu kenyataan bersifat tuduhan atau fitnah itu dilakukan didalam keadaan-keadaan tertentu, undang-undang memberikan perlindungan kepada keadaan-keadaan tersebut daripada apa-apa tindakan saman. Perlindungan ini dikenali sebagai Keistimewaan Mutlak (Absolute Privilege)?

2. Perlindungan atau pembelaan Keistimewaan Mutlak ini sebenarnya diformulasikan untuk melindungi dan menjaga kepentingan awam. 

3. Apakah contoh-contoh keadaan-keadaan yang menerima perlindungan Keistimewaan Mutlak dan orang yang difitnah tidak boleh memfailkan saman malu terhadap Pemfitnah?

4. Diantara contoh terbaik keadaan yang mengundang perlindungan Keistimewaan Mutlak adalah apabila kenyataan fitnah itu dinyatakan melalui suatu Laporan Polis.

5. Sekiranya terdapat suatu Laporan Polis yang mengandungi suatu tuduhan bahawa anda telah terlibat di dalam suatu kegiatan jenayah, maka anda tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap orang yang membuat laporan tersebut, walaupun tuduhan tersebut adalah fitnah sekalipun.

6. Satu lagi contoh terbaik adalah kenyataan fitnah yang dibuat sewaktu perbahasan di Parlimen atau Dewan Rakyat. Apa sahaja tuduhan atau fitnah yang dibuat di Parlimen atau Dewan Rakyat menerima perlindungan Keistimewaan Mutlak. 

7. Itulah juga sebab kenapa ahli-ahli Parlimen yang berlawanan akan sentiasa mencabar lawannya untuk mengulangi apa sahaja tuduhan yang dibuat terhadap beliau itu di luar parlimen. 

8. Ini adalah kerana apabila tuduhan yang dibuat di dalam Parlimen itu dibuat di luar Parlimen, tuduhan itu tidak lagi dilindungi oleh Keistimewaan Mutlak dan lawannya itu boleh di saman.

9. Selain daripada kandungan Laporan Polis dan kenyataan di dalam perbahasan Parlimen dan Dewan Rakyat, keadaan-keadaan lain yang mengundang perlindungan Keistimewaan Mutlak adalah kenyataan yang dibuat dalam prosiding undang-undang (legal proceeding) dan apa-apa aduan kepada jabatan awam yang khusus dan melibatkan kepentingan awam (public interest and policy).

KEISTIMEWAAN BERSYARAT (QUALIFIED PRIVILEGE)

10. Apa yang dimaksudkan dengan Pembelaan atau Perlindungan Keistimewaan Bersyarat (Qualified Privilege)?

11. Keistimewaan Bersyarat ini selalunya melibatkan kenyataan-kenyataan fitnah yang mungkin terkandung di dalam laporan atau aduan seperti aduan salah laku di pejabat dan laporan akhbar. 

12. Namun diantara syarat yang paling penting yang perlu dipenuhi oleh seseorang yang ingin menggunakan pembelaan ini adalah samada pihak yang menerima aduan atau laporan itu mempunyai kepentingan atau tanggungjawab untuk menerimanya, baik dari undang-undang, moral dan sosial (legal, moral and social interest and duty).

13. Sekiranya syarat ini dan juga syarat-syarat lain untuk mendapatkan perlindungan Keistimewaan Bersyarat ini dipenuhi, maka orang yang dituduh di dalam aduan tempat kerja atau laporan akhbar itu tidak boleh memfailkan saman.

KESIMPULAN

14. Melalui dua siri rencana Melawan Saman Fitnah, kita dapat lihat bahawa sekiranya anda menerima Saman Malu atau Fitnah, tidak bermakna anda tidak mempunyai sebarang pembelaan.

15. Undang-undang telah memperuntukkan dan Mahkamah telahpun memformulasikan pembelaan-pembelaan yang boleh diguna pakai oleh Defendan untuk mencabar dan menjawab suatu Saman Malu.

16. Malah terdapat banyak lagi pembelaan-pembelaan lain yang tidak dinyatakan disini yang boleh digunakan untuk mencabar Saman Malu.

17. Walaupun yang demikian, setiap Pembelaan-Pembelaan ini mempunyai syarat-syarat yang sangat ketat dan perlu dipenuhi. Kegagalan untuk mematuhi setiap syarat bagi setiap pembelaan ini, akan menyebabkan pembelaan-pembelaan ini gagal.

...Baca semula Bahagian 1

saman fitnah saman malu


Hubungi kami di 0129797494 (9.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja) atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.