DI SAMAN KERANA FITNAH?
Anda di saman kerana dikatakan memfitnah? apa yang anda perlu lakukan sekiranya anda menerima saman malu atau fitnah?
1. Orang awam sentiasa disarankan agar berhati-hati apabila menularkan apa-apa kenyataan yang bersifat tuduhan kepada seseorang. Walaupun kenyataan itu dirasakan benar dan betul sekalipun.
2. Begitu juga apabila berkomunikasi di media sosial. Masyarakat perlu berwaspada dan mengambil sikap menahan diri (restraint) sebelum membuat sebarang ulasan dan komen.
3. Lebih-lebih lagi jika komen tersebut merujuk kepada keperibadian dan sahsiah seseorang yang lain.
4. Kenapa? Kerana kadang-kadang tanpa kita sedari, di dalam ghairah kita memberi sokongan kepada sesuatu pihak, kita terjerumus ke dalam situasi fitnah yang boleh menyebabkan kita sendiri di heret ke Mahkamah.
KENA SAMAN MALU / FITNAH?
5. Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda menerima sesalinan Saman malu?
6. Sejurus menerima Saman, anda amat-amat disarankan untuk merujuk kepada peguam pilihan anda (atau hubungi kami). Dapatkan pandangan peguam yang berpengalaman.
7. Bawa sesalinan dokumen-dokumen yang anda terima daripada Plaintif (orang yang menyaman anda).
8. Dokumen-dokumen tersebut kebiasaannya adalah (i) sesalinan surat iringan peguamcara, (ii) sesalinan Saman dan (iii) sesalinan Pernyataan Tuntutan. Fotostat salinan dokumen-dokumen ini untuk diserahkan kepada peguamcara anda.
9. Anda turut disarankan supaya jangan berlengah-lengah mendapatkan nasihat daripada peguam yang berpengalaman kerana setiap proses Mahkamah dengan masa-masa yang tertentu.
10. Kegagalan memasukkan kehadiran untuk sesuatu kes didalam masa yang ditetapkan, boleh menyebabkan suatu Penghakiman Interlokutori dikenakan terhadap anda.
11. Kegagalan memfailkan Pembelaan di dalam masa yang ditetapkan juga boleh menyebabkan anda dikenakan Penghakiman.
12. Ini bukan sahaja akan merumitkan keadaan dan memanjangkan masa, malah boleh menyebabkan anda terpaksa membayar kos guaman yang lebih tinggi untuk memohon membatalkan Penghakiman tersebut.
NASIHAT PEGUAM
13. Apakah jenis-jenis nasihat yang boleh anda perolehi daripada peguam anda? Nasihat guaman bergantung kepada pengalaman peguam itu sendiri.
14. Namun secara lazimnya, peguam akan menilai dan memberi pandangan berkenaan dengan kekuatan sesuatu kes terutamanya membuat penilaian tentang kenyataan-kenyataan anda samada ianya adalah fitnah ataupun tidak disisi undang-undang.
15. Peguam juga akan menasihati dari segi had masa dan pembelaan-pembelaan yang wajar digunakan.
16. Selain daripada itu, peguam juga akan memberikan nasihat yang relevan berkenaan tindakan-tindakan yang lanjut mengikut keadaan dan proses kes tersebut di Mahkamah.
Kami juga menyediakan Borang Kes yang anda boleh isi untuk mengetahui secara lebih mudah dan cepat samada anda mempunyai kes fitnah atau pun tidak. Klik BORANG KES FITNAH NORHAFEEZLAW.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
BAGAIMANA UNTUK MEMFAILKAN SAMAN MALU / FITNAH?
Apa itu Saman Malu? Kita sering mendengar tentang terma Saman Malu. Namun disisi undang-undang, seseorang tidak boleh mengambil tindakan sivil hanya kerana beliau dimalukan kecuali di dalam keadaan sesuatu kenyataan itu mempunyai unsur-unsur fitnah. Tindakan yang diiktiraf oleh undang-undang hanyalah apa yang boleh difahami sebagai Saman Fitnah/Defamation.
JENIS-JENIS FITNAH.
a. Fitnah secara penulisan samada di media cetak atau media sosial (termasuk didalam facebook/twitter/whatsapp/surat layang dsbgnya). Fitnah jenis ini dikenali sebagai Libel. Fitnah libel berlaku apabila terdapat sesuatu kenyataan yang mempunyai tuduhan palsu, yang lazimnya dalam bentuk penulisan, terhadap orang yang difitnah itu dan ianya disebar dan ditular (diviral) kepada orang lain.
b. Fitnah secara verbal (tohmahan/buah mulut). Fitnah jenis ini dikenali sebagai Slander. Fitnah slander selalunya berlaku apabila sesuatu ucapan atau kata-kata yang mempunyai tuduhan palsu terhadap orang yang difitnah itu dan ucapan atau kata-kata itu dinyatakan dihadapan pihak ketiga.
ELEMEN FITNAH
i. Kenyataan yang tidak benar itu hendaklah merujuk kepada Orang yang difitnah; Sekiranya kenyataan tersebut dapat dibuktikan secara jelas merujuk kepada orang lain selain daripada Orang yang difitnah, walaupun Orang yang difitnah terkesan dengan kenyataan tersebut, Orang yang difitnah dianggap gagal untuk memenuhi elemen ini.ii. Orang yang difitnah hendaklah menunjukkan bahawa kenyataan yang dirujuk mengandungi kenyataan yang tidak benar atau tuduhan palsu; Sekiranya kenyataan tersebut adalah fakta dan kenyataan yang benar dan betul, walaupun ianya memalukan atau mengaibkan, Orang yang difitnah dianggap gagal untuk memenuhi elemen ini.iii. Kenyataan yang tidak benar tersebut telah disebarkan kepada mana-mana pihak ketiga. Sekiranya kenyataan tersebut didapati tidak benar dan sememangnya merujuk kepada Orang yang difitnah, tetapi ianya tidak disebarkan kepada pihak ketiga yang lain, Orang yang difitnah dianggap gagal untuk memenuhi elemen ini.
Ali telah memfitnah Ahmad melalui post di facebook/whatsapp/email/surat layang dengan mengatakan bahawa Ahmad (elemen 1: merujuk secara jelas kepada orang yang difitnah) adalah seorang pencuri motosikal (elemen 2: kenyataan tidak benar) sedangkan tuduhan itu adalah palsu dan fitnah. Post tersebut pula telah disebarkan secara viral kepada umum (elemen 3: disebar kepada pihak ketiga selain Ali dan Ahmad). Ahmad kini boleh memfailkan tindakan saman fitnah terhadap Ali.
Gopal telah berhutang dengan Raju sebanyak RM20,000.00 dan enggan membayar hutang tersebut walaupun telah diminta untuk berbuat sedemikian. Raju pun bertindak dengan menyebarkan post di facebook/whatsapp/email/surat layang dengan mengatakan bahawa Gopal telah gagal membayar hutangnya kepada Raju. Gopal mendapat malu tetapi Gopal tidak mempunyai kes yang baik untuk tindakan saman fitnah terhadap Raju kerana apa yang disebarkan itu adalah kebenaran.
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
SIRI RENCANA SAMAN MALU
Di era teknologi dan media sosial yang serba canggih ini, sesiapa sahaja boleh terperangkap dalam masalah undang-undang terutama apabila berhubung dengan tuduhan fitnah.
Berikut adalah cara-cara yang boleh menyebabkan anda disaman malu dan bagaimana untuk mengelak daripada terperangkap dalam situasi tersebut.
1. Mengeluarkan Kenyataan Berunsur Fitnah di Media Sosial
Jangan mudah menulis atau memuat naik kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah atau mempunyai tuduhan-tuduhan yang tidak benar, yang palsu mahupun yang tidak dapat dipastikan secara 100% adalah benar di Facebook, Twitter, Instagram atau Whatsapp.
2. Menulis Komen atau Ulasan Yang Berunsur Fitnah
Hati-hati dengan apa yang anda tulis dalam ruangan komen atau ulasan di media sosial. Komen atau ulasan yang berunsur fitnah, palsu atau tidak benar boleh membawa anda ke Mahkamah, lebih-lebih lagi tuduhan melibatkan peribadi atau kredibiliti seseorang.
3. Membiarkan Komen atau Ulasan Berunsur Fitnah
Anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku di laman media sosial anda. Jangan biarkan komen-komen atau ulasan-ulasan daripada pihak ketiga yang mempunyai unsur fitnah dan tuduhan. Anda boleh diseret ke Mahkamah disebabkan oleh hasil penulisan orang lain. Sentiasa pantau bahagian komen atau ulasan.
4. Berkongsi Kenyataan Berbentuk Fitnah
Jangan sekali-kali berkongsi kenyataan yang berbentuk fitnah atau yang anda tidak pasti kesahihannya melalui Repost, Retweet, Share atau Forward tanpa menyemak kebenarannya terlebih dahulu. Anda bertanggungjawab di atas sebaran yang anda kongsi.
KESIMPULAN
Berwaspada dan berhati-hati dalam berkomunikasi di media sosial. Jangan terbawa emosi atau terpengaruh dengan apa yang orang lain tulis. Semak dahulu sebelum berkongsi. Ingat, sekiranya anda disaman malu, alasan tidak tahu tidak akan diterima. Tanggungjawab menyemak adalah tanggungjawab anda.
_________________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
Penyediaan Bukti Sebelum Memfailkan Tindakan Saman Fitnah Bertulis (Libel)
Sebagaimana yang kita sedia maklum, tindakan saman bagi fitnah boleh menjadi satu langkah yang penting untuk melindungi nama baik dan maruah seseorang apabila berhadapan dengan tuduhan palsu atau fitnah yang disebarkan secara bertulis.
Namun, sebelum tindakan undang-undang diambil, terdapat beberapa persediaan asas yang perlu dipenuhi untuk memastikan saman tersebut boleh difailkan dan didaftar di mahkamah.
1. Salah satu langkah pertama yang paling utama ialah penyediaan dokumen atau tangkapan skrin yang mengandungi kenyataan fitnah tersebut.
2. Ini adalah bukti utama yang akan digunakan untuk menunjukkan bahawa kenyataan tersebut benar-benar wujud dan ia telah diterbitkan atau disebarkan kepada orang ramai.
3. Tanpa bukti ini, sukar untuk menunjukkan bahawa fitnah telah berlaku. Sebagai contoh, jika kenyataan fitnah tersebut dibuat di media sosial, anda perlu menyimpan tangkapan skrin setiap kali ia disiarkan, lengkap dengan tarikh dan waktu kenyataan tersebut diterbitkan. Jika fitnah dilakukan melalui media cetak seperti buku, majalah, surat khabar atau surat, maka salinan bahan-bahan cetakan tersebut perlu diperolehi dan disimpan.
4. Seterusnya, anda perlu mengenal pasti bahagian yang mengandungi tuduhan palsu atau fitnah tersebut.
5. Ini membantu dalam menfokuskan saman terhadap kenyataan yang benar-benar menjejaskan reputasi anda. Ianya juga untuk memudahkan Mahkamah membuat penilaian yang terperinci kepada bahagian yang dikatakan sebagai fitnah tersebut. Samada ianya boleh dianggap sebagai fitnah atau sebaliknya.
6. Tanpa mengidentifikasi atau mengenalpasti bahagian yang mengandungi tuduhan palsu tersebut dengan tepat, anda mungkin berdepan dengan cabaran daripada pihak lawan yang boleh mendakwa bahawa tuduhan tersebut tidak wujud, bukan fitnah, fakta, sekadar pendapat atau komen umum semata-mata.
7. Sebagai contoh, jika tuduhan itu mendakwa anda terlibat dalam aktiviti jenayah tanpa sebarang bukti, bahagian tersebut harus dikenalpasti secara jelas sebagai fitnah.
8. Satu lagi aspek penting ialah memastikan bahawa anda mempunyai bukti yang kukuh bahawa individu yang membuat kenyataan fitnah itu adalah orang yang ingin disaman.
9. Jika tidak, saman tersebut mungkin akan ditolak di peringkat awal. Identiti pembuat kenyataan perlu dibuktikan melalui pelbagai cara, termasuk tangkapan skrin akaun media sosial, e-mel, atau apa-apa dokumen lain yang menunjukkan bahawa orang tersebut bertanggungjawab terhadap kenyataan yang disebarkan.
10. Akhir sekali, adalah penting untuk menyimpan butir maklumat lengkap mengenai individu yang akan disaman. Ini termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, dan alamat mereka.
11. Maklumat ini penting untuk memastikan saman difailkan terhadap orang yang betul dan memudahkan proses pemfailan, pendaftaran dan seterusnya penyampaian saman atau apa-apa dokumen mahkamah.
12. Kesimpulannya, memfailkan saman fitnah bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan persediaan yang rapi dan bukti yang kukuh. Setiap langkah yang disenaraikan di atas memainkan peranan penting dalam memastikan saman tersebut mempunyai asas yang kuat. Tanpa persediaan yang baik, saman fitnah mungkin tidak akan membawa kepada keputusan yang diharapkan.
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
PENYEBARAN ATAU PENYIARAN FITNAH
Apakah yang dimaksudkan dengan penyiaran dan penyebaran kenyataan fitnah dalam kontek sesuatu tindakan saman malu atau fitnah? Bagaimana sesuatu kenyataan fitnah itu boleh dianggap sebagai telah disebarkan?
1. Dalam undang-undang fitnah, elemen penyebaran atau penyiaran fitnah adalah salah satu elemen utama yang perlu dibuktikan oleh orang yang ingin menyaman. Tanpa bukti bahawa kenyataan fitnah itu telah disebarkan kepada pihak ketiga, sesuatu tuntutan fitnah tidak boleh berjaya.
2. Penyebaran dalam konteks ini merujuk kepada tindakan membuat kenyataan fitnah itu diketahui oleh individu lain selain orang yang didakwa difitnah. Elemen ini penting kerana reputasi seseorang hanya boleh tercemar apabila pihak ketiga turut mengetahui kenyataan tersebut.
3. Pihak ketiga disini bermaksud mana - mana pihak selain daripada pemfitnah dan orang yang difitnah. Ianya tanpa mengira bilangan samada seorang atau ramai,
4. Mahkamah telah menetapkan bahawa penyebaran berlaku apabila kenyataan fitnah itu disampaikan atau diterima oleh pihak ketiga yang dapat memahami maksud fitnah tersebut.
5. Sebagai contoh, jika seseorang membuat kenyataan berbentuk tuduhan bahawa seorang individu telah mencuri, dan kenyataan itu dinyatakan kepada pihak lain yang mengetahui identiti individu yang dituduh, ini boleh dianggap sebagai penyebaran fitnah. Perbuatan ini menjadikan tuduhan tersebut diketahui umum dan berpotensi menjejaskan reputasi individu terbabit.
6. Sebaliknya, jika kenyataan fitnah tersebut hanya disampaikan secara peribadi antara pengadu dan orang yang difitnah tanpa kehadiran pihak ketiga, maka elemen penyebaran tidak boleh dianggap wujud.
7. Dalam situasi ini, walaupun kenyataan tersebut berbaur fitnah, reputasi orang yang difitnah tidak akan terkesan kerana tiada pihak lain yang mengetahui kandungan kenyataan tersebut.
8. Undang-undang dengan jelas menetapkan bahawa komunikasi yang hanya berlaku antara dua pihak – iaitu pembuat kenyataan dan individu yang didakwa difitnah – tidak mencukupi untuk memenuhi syarat penyebaran fitnah.
9. Di samping itu, penyebaran hanya dianggap berlaku sekiranya kenyataan itu disampaikan dalam bentuk yang boleh difahami oleh pihak ketiga.
10. Sebagai contoh, jika kenyataan fitnah diberikan dalam bahasa yang tidak difahami oleh penerima atau kepada individu yang buta huruf, maka ia tidak boleh dianggap sebagai penyebaran fitnah. Ini kerana penyebaran hanya berlaku apabila pihak ketiga dapat memahami maksud kenyataan tersebut dan mengenal pasti individu yang dirujuk.
11. Sebagai contoh, jika seorang individu mengirim mesej teks kepada kumpulan rakan sekerja dalam bahasa Melayu yang menyebut, “Pengurus kita menggunakan dana syarikat untuk tujuan peribadi,” kenyataan ini berpotensi dianggap sebagai penyebaran fitnah sekiranya para penerima mesej dapat memahami kandungan mesej dan mengenal pasti pengurus yang dimaksudkan.
12. Namun, jika mesej yang sama dihantar dalam bahasa yang tidak difahami oleh penerima, maka elemen penyebaran tidak dipenuhi kerana mesej tersebut tidak menyampaikan maksud fitnah kepada mereka.
13. Penting untuk memahami bahawa undang-undang fitnah juga mengiktiraf bahawa reputasi seseorang tidak boleh dicemari sekiranya kenyataan fitnah itu hanya diketahui oleh pembuat kenyataan dan orang yang difitnah.
14. Oleh itu, elemen penyebaran berfungsi sebagai penentu sama ada kenyataan fitnah tersebut benar-benar berpotensi menjejaskan reputasi individu yang terlibat di mata umum. Dengan memastikan kenyataan tersebut telah diketahui oleh pihak ketiga yang memahami maksudnya, undang-undang melindungi hak individu untuk mempertahankan reputasinya daripada sebarang penyalahgunaan kenyataan yang tidak berasas.
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
MEMAHAMI MAKSUD IDENTITI DAN RUJUKAN KEPADA ORANG DIFITNAH
Dalam tindakan saman fitnah, salah satu elemen penting yang mesti dibuktikan ialah kenyataan fitnah tersebut merujuk kepada orang yang mendakwa dirinya difitnah. Elemen ini bertujuan memastikan bahawa plaintif adalah individu yang secara langsung atau tidak langsung dikenali sebagai subjek kenyataan tersebut.
1. Mahkamah menilai elemen ini dengan mempertimbangkan sama ada kenyataan yang dibuat mampu menyebabkan seseorang yang biasa mengenali orang yang difitnah mempercayai bahawa beliau ialah individu yang dirujuk dalam sesuatu kenyataan fitnah itu.
2. Secara asasnya, kenyataan fitnah lazimnya merujuk kepada seseorang apabila nama individu tersebut disebut secara langsung, atau apabila gambarnya digunakan dalam kenyataan tersebut.
3. Sebagai contoh, jika sebuah artikel menyebut bahawa “Individu A telah melakukan pecah amanah,” dengan menyertakan nama atau gambar Individu A, maka kenyataan ini boleh dianggap dengan jelas sebagai merujuk kepada A. Pembaca yang melihat atau mendengar kenyataan itu akan serta-merta mengaitkannya dengan Individu A.
4. Namun, terdapat juga situasi di mana kenyataan fitnah tidak menyebut nama orang yang difitnah secara khusus tetapi tetap boleh dianggap sebagai merujuk kepadanya.
5. Mahkamah akan menggunakan ujian objektif untuk menilai sama ada kenyataan tersebut, berdasarkan konteks dan fakta yang tersedia, munasabah untuk dikaitkan dengan orang yang difitnah.
6. Sebagai contoh, jika satu kenyataan menyebut bahawa “Pengurus sebuah syarikat kewangan terkenal di Kuala Lumpur telah menyeleweng dana pelanggan,” tanpa menyebut nama pengurus tersebut, kenyataan ini mungkin masih merujuk kepada orang yang difitnah jika pembaca yang mengetahui fakta khusus, seperti nama syarikat atau jawatan orang yang difitnah, dapat memahami bahawa beliau adalah subjek kenyataan itu.
7. Sebaliknya, kenyataan yang tidak jelas atau terlalu umum mungkin tidak dianggap merujuk kepada individu tertentu. Sebagai contoh, jika seseorang menyatakan, “Ada seorang pengurus di negara ini yang tidak cekap,” kenyataan ini terlalu kabur untuk merujuk kepada mana-mana individu secara khusus.
8. Tiada maklumat tambahan yang boleh membawa pembaca untuk mengenal pasti orang yang difitnah sebagai subjek kenyataan tersebut.
9. Dalam kes di mana kenyataan fitnah tidak menyebut nama orang difitnah secara langsung, mahkamah akan menilai sama ada individu biasa yang rasional, tanpa bersifat terlalu curiga, akan dapat mengenal pasti orang yang difitnah berdasarkan konteks kenyataan itu.
10. Contohnya, jika sebuah artikel menyatakan, “Seorang selebriti terkenal yang berpindah ke Shah Alam telah terlibat dalam skandal,” kenyataan ini tidak mencukupi untuk merujuk kepada plaintif secara langsung kerana ia terlalu umum dan boleh merujuk kepada mana-mana selebriti yang sesuai dengan deskripsi tersebut.
11. Sebaliknya, jika kenyataan itu menyebut fakta khusus, seperti “Penyanyi lelaki terkenal yang baru melancarkan album kedua di Shah Alam minggu lalu terlibat dalam skandal,” pembaca yang mengetahui fakta ini dan mengenali penyanyi tersebut mungkin dapat memahami bahawa kenyataan itu merujuk kepada penyanyi tersebut, walaupun nama beliau tidak disebut secara langsung.
12. Justeru, elemen rujukan kepada orang yang difitnah memainkan peranan penting dalam memastikan bahawa hanya individu yang benar-benar terkesan oleh kenyataan fitnah boleh mendapatkan perlindungan undang-undang.
13. Ia juga mengimbangi hak orang yang difitnah untuk mempertahankan reputasinya dengan kebebasan bersuara yang sah di sisi undang-undang. Mahkamah sentiasa menilai elemen ini secara objektif untuk memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
KENYATAAN BAGAIMANA YANG BOLEH DIANGGAP SEBAGAI FITNAH?
Undang-undang fitnah bertujuan melindungi nama baik seseorang daripada kenyataan yang boleh menjatuhkan reputasinya di mata masyarakat. Dalam tindakan saman malu atau fitnah, salah satu elemen utama yang mesti dibuktikan oleh pihak plaintif ialah kenyataan yang dibuat terhadapnya adalah fitnah atau bersifat memfitnah. Rencana ini akan menerangkan konsep kenyataan fitnah secara terperinci serta memberi contoh bagi membezakan kenyataan yang dianggap sebagai fitnah dan yang tidak.
1. Untuk menentukan sama ada sesuatu kenyataan itu bersifat fitnah (defamatory), mahkamah lazimnya akan menilai maksud semula jadi dan biasa bagi kenyataan dan/atau perkataan tersebut berdasarkan perspektif seorang individu yang munasabah (reasonable men) dalam masyarakat.
2. Sesuatu kenyataan dianggap memfitnah jika ia cenderung merendahkan martabat seseorang, mengaitkan beliau dengan kelakuan tidak bermoral atau ketiadaan integriti, serta mendedahkan beliau kepada kebencian, penghinaan, atau ejekan masyarakat awam.
3. Sebagai contoh, kenyataan yang mendakwa seseorang itu terlibat dalam pecah amanah atau penipuan boleh dianggap memfitnah kerana ia mengaitkan sifat tidak jujur dan berpotensi merosakkan reputasi orang yang difitnah tersebut di mata orang ramai.
4. Selain maksud literal, mahkamah juga akan mempertimbangkan maksud tersirat atau innuendo sesuatu kenyataan tersebut.
5. Ini termasuk apa-apa inferens yang boleh diambil oleh orang yang membaca kenyataan tersebut berdasarkan pengetahuan umum dan logik.
6. Contohnya, jika seseorang menyatakan bahawa “Individu X selalu meluangkan masa dengan pengedar dadah,” kenyataan ini mungkin secara literal tidak membuat tuduhan langsung, tetapi ia boleh membawa maksud tersirat bahawa Individu X terlibat dalam aktiviti yang tidak sah. Dalam situasi ini, kenyataan tersebut boleh dianggap memfitnah, bergantung kepada konteks dan reaksi masyarakat terhadapnya.
7. Namun, sesuatu kenyataan itu hanya boleh dianggap memfitnah jika ia dibaca secara menyeluruh dalam konteks asalnya, dan bukan secara terasing.
8. Ini penting kerana maksud perkataan boleh berubah bergantung kepada keseluruhan mesej yang disampaikan.
9. Sebagai contoh, jika seseorang mengatakan, “Individu Y tidak sesuai untuk kerja ini kerana kurang pengalaman,” kenyataan ini mungkin kritikal tetapi tidak memfitnah. Ia adalah pandangan yang berasaskan fakta dan tidak membawa maksud untuk menghina atau merosakkan reputasi.
10. Di sisi lain, kenyataan yang bersifat pendapat, kritikan yang wajar, atau berbentuk gurauan yang tidak merendahkan reputasi plaintif biasanya tidak dianggap sebagai fitnah.
11. Sebagai contoh, jika seseorang menyebut bahawa “Individu Z sering terlambat ke mesyuarat,” kenyataan ini mungkin kurang menyenangkan, tetapi ia tidak bersifat memfitnah kecuali jika ada konteks tambahan yang merosakkan imej Z di mata orang ramai.
12. Sesuatu kenyataan itu juga boleh menjadi fitnah dalam erti kata tersirat melalui innuendo khusus, di mana hanya individu dengan pengetahuan fakta tertentu dapat memahami maksud memfitnah kenyataan tersebut.
13. Sebagai contoh, jika dalam satu komuniti kecil, seseorang menyebut, “Saya tidak percaya ada lagi orang yang berurusan dengan Individu A selepas apa yang berlaku,” kenyataan ini mungkin tidak difahami oleh orang awam sebagai memfitnah, tetapi bagi mereka yang tahu fakta khusus apa yang telah berlaku, ia mungkin membawa maksud memfitnah terhadap A.
14. Justeru, pemahaman tentang apa yang dianggap sebagai kenyataan fitnah adalah penting sebelum memulakan tindakan saman.
15. Tidak semua kenyataan yang tidak benar atau yang menyebabkan ketidakselesaan wajar dianggap sebagai asas untuk saman fitnah. Mahkamah akan menilai bukan sahaja kandungan kenyataan, tetapi juga konteks, dan kesan kepada reputasi orang yang difitnah dalam masyarakat.
16. Ini memastikan bahawa perlindungan undang-undang digunakan secara adil dan tidak sewenang-wenangnya untuk membungkam kebebasan bersuara.
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
KEPENTINGAN KEUTAMAAN DALAM MEMFAILKAN SAMAN MALU / FITNAH
Undang-undang fitnah di Malaysia bertujuan melindungi reputasi individu daripada dicemari dengan tuduhan yang tidak benar. Walaupun hak untuk mempertahankan nama baik seseorang adalah hak yang diiktiraf, tidak semua tuduhan tidak benar wajar dijadikan asas untuk memfailkan saman di mahkamah. Artikel ini akan membincangkan secara terperinci sebab-sebab remeh yang sering kali tidak disarankan untuk diambil tindakan undang-undang, serta memberikan panduan kepada masyarakat mengenai bila tindakan saman adalah munasabah dan diperlukan.
1. Dalam konteks undang-undang fitnah, tuduhan yang bersifat jahat dan mempunyai kesan dan implikasi yang serius kepada reputasi atau kehidupan seseorang adalah asas utama yang lazimnya mewajarkan tindakan di mahkamah.
2. Tuduhan jahat yang disebarkan kepada orang ramai seperti penglibatan seseorang di dalam perbuatan jenayah seperti pembunuhan, rogol, atau pecah amanah sering kali dianggap sebagai sesuatu cukup berat untuk mengakibatkan kerugian besar kepada pihak yang dituduh, termasuk kesan kepada kerjaya, kehidupan sosial, dan emosi mereka.
3. Selain itu, tuduhan yang menjejaskan maruah seperti menuduh seseorang sebagai pelacur, tidak berakhlak, tidak siuman, penipu atau bodoh juga berpotensi menjadi asas saman kerana implikasi buruknya terhadap imej dan integriti seseorang di mata masyarakat.
4. Tuduhan- tuduhan seperti ini lazimnya mewajarkan tindakan undang-undang diambil terhadap pemfitnah melalui saman sivil di Mahkamah.
5. Namun, terdapat tuduhan yang ringan dan memberi implikasi kecil yang lazimnya tidak memerlukan penyelesaian melalui mahkamah.
6. Sebagai contoh, tuduhan seperti “tidak alih kereta” sedangkan kereta sebenarnya sudah dialih, atau “pergi kerja naik bas” walhal individu tersebut sebenarnya menaiki motosikal, lazimnya adalah terlalu remeh untuk dijadikan asas saman.
7. Tuduhan-tuduhan remeh seperti ini, walaupun mungkin tidak benar, tidaklah menjejaskan reputasi seseorang secara signifikan dan boleh diselesaikan dengan cara yang lebih mudah, seperti melalui komunikasi peribadi atau pengeluaran Notis Tuntutan oleh peguam.
8. Mengambil tindakan mahkamah untuk kenyataan - kenyataan ringan dan remeh melibatkan kos dan masa yang tinggi bagi semua pihak yang terlibat.
9. Kadangkala kita terlalu cepat ingin memfailkan saman hanya kerana kita terasa sedikit tersinggung dengan kenyataan seseorang tanpa memikirkan implikasi dari segi masa dan terutamanya kos guaman yang tinggi.
10. Kita perlu menilai samada untuk mengeluarkan kos guaman yang beribu-ribu itu adalah berbaloi semata - mata untuk memberi 'pengajaran' kepada individu yang membuat kenyataan tersebut ataupun sebaliknya.
12. Kita tidak boleh menyalahgunakan proses Mahkamah semata-mata untuk 'flex one's muscle' atau untuk menunjuk kuat melalui saman di Mahkamah.
13. Oleh itu, adalah penting untuk mempertimbangkan sama ada tindakan undang-undang adalah jalan terbaik, atau jika situasi tersebut boleh diselesaikan melalui rundingan atau cara alternatif yang lebih praktikal.
14. Dalam membuat keputusan untuk memfailkan saman fitnah, pertimbangan yang rasional adalah sangat penting. Jika tuduhan yang dilemparkan membawa kesan serius kepada reputasi, kerjaya, atau kehidupan individu, tindakan undang-undang mungkin wajar.
15. Namun, bagi tuduhan yang tidak memberikan impak signifikan, langkah penyelesaian yang lebih ringkas sering kali lebih efektif dan menjimatkan. Pemahaman ini bukan sahaja membantu masyarakat memahami keperluan dan keutamaan dalam sistem perundangan tetapi juga memastikan bahawa undang-undang digunakan secara adil dan bertanggungjawab.
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
MELAWAN SAMAN FITNAH Bahagian 2
Di dalam rencana Melawan Saman Fitnah Bahagian 1 yang lepas, kita telah membaca berkenaan dengan pembelaan Ulasan yang Adil (Fair Comment), Justifikasi (Justification) dan Fitnah Tidak Sengaja (Unintentional Defamation). Apakah terdapat pembelaan lain yang boleh digunakan untuk melawan dan mencabar saman malu?
KEISTIMEWAAN MUTLAK (ABSOLUTE PRIVILEGE)
1. Apabila sesuatu kenyataan bersifat tuduhan atau fitnah itu dilakukan didalam keadaan-keadaan tertentu, undang-undang memberikan perlindungan kepada keadaan-keadaan tersebut daripada apa-apa tindakan saman. Perlindungan ini dikenali sebagai Keistimewaan Mutlak (Absolute Privilege)?
2. Perlindungan atau pembelaan Keistimewaan Mutlak ini sebenarnya diformulasikan untuk melindungi dan menjaga kepentingan awam.
3. Apakah contoh-contoh keadaan-keadaan yang menerima perlindungan Keistimewaan Mutlak dan orang yang difitnah tidak boleh memfailkan saman malu terhadap Pemfitnah?
4. Diantara contoh terbaik keadaan yang mengundang perlindungan Keistimewaan Mutlak adalah apabila kenyataan fitnah itu dinyatakan melalui suatu Laporan Polis.
5. Sekiranya terdapat suatu Laporan Polis yang mengandungi suatu tuduhan bahawa anda telah terlibat di dalam suatu kegiatan jenayah, maka anda tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap orang yang membuat laporan tersebut, walaupun tuduhan tersebut adalah fitnah sekalipun.
6. Satu lagi contoh terbaik adalah kenyataan fitnah yang dibuat sewaktu perbahasan di Parlimen atau Dewan Rakyat. Apa sahaja tuduhan atau fitnah yang dibuat di Parlimen atau Dewan Rakyat menerima perlindungan Keistimewaan Mutlak.
7. Itulah juga sebab kenapa ahli-ahli Parlimen yang berlawanan akan sentiasa mencabar lawannya untuk mengulangi apa sahaja tuduhan yang dibuat terhadap beliau itu di luar parlimen.
8. Ini adalah kerana apabila tuduhan yang dibuat di dalam Parlimen itu dibuat di luar Parlimen, tuduhan itu tidak lagi dilindungi oleh Keistimewaan Mutlak dan lawannya itu boleh di saman.
9. Selain daripada kandungan Laporan Polis dan kenyataan di dalam perbahasan Parlimen dan Dewan Rakyat, keadaan-keadaan lain yang mengundang perlindungan Keistimewaan Mutlak adalah kenyataan yang dibuat dalam prosiding undang-undang (legal proceeding) dan apa-apa aduan kepada jabatan awam yang khusus dan melibatkan kepentingan awam (public interest and policy).
KEISTIMEWAAN BERSYARAT (QUALIFIED PRIVILEGE)
10. Apa yang dimaksudkan dengan Pembelaan atau Perlindungan Keistimewaan Bersyarat (Qualified Privilege)?
11. Keistimewaan Bersyarat ini selalunya melibatkan kenyataan-kenyataan fitnah yang mungkin terkandung di dalam laporan atau aduan seperti aduan salah laku di pejabat dan laporan akhbar.
12. Namun diantara syarat yang paling penting yang perlu dipenuhi oleh seseorang yang ingin menggunakan pembelaan ini adalah samada pihak yang menerima aduan atau laporan itu mempunyai kepentingan atau tanggungjawab untuk menerimanya, baik dari undang-undang, moral dan sosial (legal, moral and social interest and duty).
13. Sekiranya syarat ini dan juga syarat-syarat lain untuk mendapatkan perlindungan Keistimewaan Bersyarat ini dipenuhi, maka orang yang dituduh di dalam aduan tempat kerja atau laporan akhbar itu tidak boleh memfailkan saman.
KESIMPULAN
14. Melalui dua siri rencana Melawan Saman Fitnah, kita dapat lihat bahawa sekiranya anda menerima Saman Malu atau Fitnah, tidak bermakna anda tidak mempunyai sebarang pembelaan.
15. Undang-undang telah memperuntukkan dan Mahkamah telahpun memformulasikan pembelaan-pembelaan yang boleh diguna pakai oleh Defendan untuk mencabar dan menjawab suatu Saman Malu.
16. Malah terdapat banyak lagi pembelaan-pembelaan lain yang tidak dinyatakan disini yang boleh digunakan untuk mencabar Saman Malu.
17. Walaupun yang demikian, setiap Pembelaan-Pembelaan ini mempunyai syarat-syarat yang sangat ketat dan perlu dipenuhi. Kegagalan untuk mematuhi setiap syarat bagi setiap pembelaan ini, akan menyebabkan pembelaan-pembelaan ini gagal.
...Baca semula Bahagian 1
_______________________
Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.
RENCANA TERBARU
RENCANA PIN UP
CARIAN RENCANA
TENTANG SAYA
