>

APA ITU PENGAMBILAN TANAH DAN PROSEDURNYA?

kerajaan rampas tanah, prosedur pengambilan tanah

Rencana ini akan memberikan sedikit penjelasan yang ringkas dan mudah berkenaan dengan proses pengambilan tanah (land acquisition) di Malaysia. Apa yang dimaksudkan dengan pengambilan tanah oleh kerajaan? Apakah prosedurnya secara ringkas? Apakah hak pemilik tanah di dalam proses pengambilan tanah tersebut?

MILIKAN TANAH DI MALAYSIA

1. Perlembagaan Negara (Federal Constitution) memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan haknya terhadap hartanya (baca: tanah) kecuali mengikut lunas undang-undang.

2. Perlembagaan juga menggariskan bahawa tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta (baca: tanah) seseorang itu dengan paksaan tanpa pampasan yang mencukupi.

3. Ini secara mudahnya bermaksud; 

tanah anda tidak boleh diambil melainkan sekiranya proses pengambilan itu adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan dengan pemberian pampasan yang bersesuaian, setimpal dan sewajarnya. 

APA ITU PENGAMBILAN TANAH? 

4. Pengambilan tanah oleh kerajaan bermaksud proses pengambilan tanah oleh kerajaan negeri daripada pemilik tanah, untuk tujuan pembangunan projek berkepentingan awam, seperti untuk pembinaan jalan raya, lapangan terbang, hospital, sekolah, dan lain-lain.

5. Selain daripada untuk projek-projek awam, tanah tersebut boleh juga diambil alih oleh mana-mana individu atau badan korporat untuk tujuan pembangunan yang pada penilaian kerajaan, ianya boleh memberi manfaat kepada penjanaan ekonomi negara.

UNDANG-UNDANG PENGAMBILAN TANAH

6. Undang-undang pengambilan tanah ini diselaras dan diperuntukkan melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 (Land Acquisition Act 1960) (Akta 486).

PROSES PENGAMBILAN TANAH SECARA SEPINTAS LALU

7. Sebelum kerajaan boleh membeli atau mengambil tanah dari pemilik, kerajaan perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk memperuntukkan tanah tersebut untuk tujuan awam.

8. Setelah kebenaran peruntukan tanah diperoleh, kerajaan akan menyiarkan pemberitahuan melalui warta-warta berkaitan selaras dengan s 4 dan s 8 Akta, untuk mengisytiharkan niat kerajaan untuk membeli atau mengambil tanah tersebut.

9. Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) akan membuat penilaian terhadap tanah tersebut.

10. Pentadbir Tanah, di dalam memulakan prosiding pengambilan tanah, akan mengeluarkan Notis Umum menerusi Borang E

11. Notis Umum melalui Borang E ini lazimnya akan mengandungi dan memaklumkan tarikh untuk Siasatan yang lazimnya akan diadakan tidak kurang dari 21 hari daripada tarikh Notis Umum tersebut.

12. Sesalinan Borang E ini juga akan diserahkan kepada pemilik tanah tersebut.

13. Pemilik tanah atau mana-mana pihak yang berkepentingan akan dikehendaki hadir ke proses siasatan (Enquiry) dibawah s 12 Akta di Pejabat Tanah, di mana pihak berpentingan ini akan berpeluang untuk membuat tuntutan semasa siasatan sedang berlangsung. 

13. Pemilik tanah boleh menerima atau menolak dan membantah atau menerima dengan protes akan tawaran tersebut.

14. setelah proses siasatan diselesaikan, pihak pentadbir tanah akan menyediakan award bertulis melalui Borang G. 

15. Pembayaran kepada pemilik tanah dalam tempoh tertentu selepas tawaran pampasan diterima. 

16. Setelah pembayaran pampasan dibuat, kerajaan boleh mengambil alih tanah tersebut melalui Notis Borang K.

17. Bagaimana pula sekiranya pemilik tanah tidak berpuas hati dengan kadar pampasan yang ditawarkan? Apa proses atau cara untuk membantah atau merayu kadar pampasan pengambilan tanah tersebut?

... bersambung


_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej dibawah.

 

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.