Tak Mampu Bayar Peguam Di Pertengahan Kes Mahkamah? Ini Yang Perlu Kita Buat
Masalah kewangan tidak hanya timbul sebelum kes difailkan. Hakikatnya, terdapat pihak yang mampu lantik peguam di awal kes, namun disebabkan oleh faktor pengurusan kewangan telah menyebab pihak tersebut gagal meneruskan bayaran di pertengahan prosiding. Keadaan ini berisiko tinggi jika tidak ditangani dengan betul.
Apa yang ramai orang tak sedar, isu ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya dari awal lagi kita bincang dan berunding secara jelas dengan peguam yang dilantik tentang jumlah bayaran guaman, jarak pembayaran, dan cara pembayaran (contohnya ansuran, deposit + fi secara progresif, atau skop kerja berfasa). Apabila perkara ini jelas dan dijelaskan dari awal, risiko konflik dan gangguan strategi kes akan jauh berkurang.
Artikel ini menerangkan pilihan undang-undang yang realistik, langkah paling selamat, dan kesilapan besar yang wajib dielakkan apabila kita tidak lagi mampu membayar peguam semasa kes masih berjalan.
Rujukan berkaitan:
• Enggan Bayar Perkhidmatan Peguam: Baca di sini
• Soal Jawab Perlantikan Peguam: Baca di sini
• Kos-kos Perkhidmatan Peguam: Baca di sini
• Cara Menukar Peguam: Baca di sini
• Panduan Mencari Maklumat Peguam atau Firma Guaman: Baca di sini
Kenapa Isu Ini Sangat Penting?
1. Apabila suatu kes yang telah difailkan sudah bermula, mahkamah tidak akan berhenti semata-mata kerana kita menghadapi masalah kewangan.
2. Tarikh pendengaran, pemfailan dokumen dan setiap arahan mahkamah tetap berjalan dan perlu disempurnakan.
3. Jika seseorang peguam atau firma guaman itu menarik diri daripada mewakili kita di mahkamah, kita berisiko kehilangan momentum kes, tersasar dari strategi asal, dan paling penting — gagal mengurus dokumen serta langkah-langkah yang patut dibuat pada masa yang tepat.
4. Masalah sebenar bukan sekadar ketiadaan peguam, tetapi juga vakum strategi, ketidakpatuhan prosedur, kelompangan dokumen-dokumen serta suratcara mahkamah di tengah-tengah kes yang sedang aktif.
Pilihan Undang-Undang Bila Tak Mampu Bayar Peguam
5. Situasi sebegini masih boleh dikawal jika kita bertindak awal dan merangka pilihan serta tindakan seterusnya dengan baik. Antara pilihan yang lazim dan sah dari sudut undang-undang ialah:
Berbincang secara terbuka dengan peguam sedia ada.
6. Ini langkah paling praktikal. Dalam banyak kes, peguam mempunyai pilihan untuk mempertimbangkan penjadualan semula bayaran, pecahkan bayaran kepada fasa, hadkan skop kerja (contohnya fokus kepada satu peringkat terlebih dahulu), atau merangka penyelesaian yang membolehkan kes diteruskan tanpa konflik.
7. Sekiranya kita mendapati dari awal memang keadaan kewangan menujuk sedikit kesempitan, maka adalah lebih baik untuk kita berbincang secara terus terang tentang jumlah baki bayaran guaman dan cara pembayaran seterusnya.
8. Isu ini mungkin nampak remeh, tapi sebenarnya ia yang selalunya menentukan sama ada hubungan klien–peguam kekal stabil atau rebah di tengah jalan.
Meneruskan kes secara kendiri (litigant in person) buat sementara.
9. Ini bukan pilihan ideal, tetapi dalam keadaan tertentu ia boleh menjadi langkah sementara untuk elak kita “hilang” daripada kes, sementara mendapat peguam yang baru.
10. Cuma, pilihan ini perlukan disiplin dan pengetahuan proses dan prosedur yang tinggi — kemampuan merujuk dan menyediakan semua dokumen, memahami tarikh-tarikh penting, dan memahami arahan-arahan Mahkamah.
Apa Hak Peguam dan Apa Realiti yang Klien Perlu Faham
11. Realitinya begini: peguam berhak untuk menarik diri jika bayaran guaman yang dipersetujui tidak dibayar.
12. Ini bukan soal “tak simpati” — ini soal kerja profesional yang perlu dipampas, sama seperti doktor, kontraktor, atau mana-mana servis profesional lain.
13. Sebab itu, sekiranya ada isu bayaran, cara paling selamat ialah runding dan berbincang — bukan melengahkan atau mengabaikan. Lagi cepat kita jelaskan keadaan kewangan dan cadangkan pelan bayaran yang munasabah, lagi tinggi peluang peguam boleh bantu cari jalan yang praktikal.
14. Tiada sebarang manfaat untuk bertengkar dengan peguam.
15. Bertengkar hanya menghasilkan dua benda: (i) komunikasi jadi berkecamuk dan emosi, (ii) fokus kes lari daripada fakta dan strategi. Sekiranya kita benar-benar mahu pastikan kes berjalan lancar, kita sebagai klien juga perlu kekal rasional dan fokus mencari jalan penyelesaian.
Kesilapan Kritikal Yang Selalu Memburukkan Keadaan
16. Kesilapan paling biasa ialah menghilangkan diri — tidak menjawab mesej peguam, tidak hadir mahkamah, dan berharap masalah akan “senyap sendiri”.
17. Ini hampir pasti membawa padah, termasuk risiko keputusan dibuat tanpa kita betul-betul sempat bentangkan versi kita.
Soalan Lazim (FAQ)
Boleh ke peguam terus berhenti jika klien tak bayar?
Secara praktikal, peguam berhak menarik diri jika bayaran guaman yang dipersetujui tidak dibayar. Sebab itu, jika ada isu bayaran, langkah paling selamat ialah bincang dan runding lebih awal sebelum keadaan jadi tegang.
Adakah mahkamah akan bertolak ansur jika masalah kewangan?
Mahkamah boleh mempertimbangkan keadaan tertentu yang munasabah, tetapi kes tetap akan berjalan. Sebab itu, fokus utama ialah pastikan kes tidak “tertinggal” dan kita tidak hilang peluang untuk ambil langkah yang betul.
Apa langkah paling selamat bila tak mampu bayar peguam?
Berkomunikasi awal dengan peguam, bincang pelan bayaran atau skop kerja berfasa, dan elakkan tindakan emosi seperti bertengkar atau menghilangkan diri. Itu yang biasanya paling merosakkan kes.
_______________________


0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.