>

PENCEROBOHAN HARTANAH: MENGAPA LAPORAN PENILAIAN HARTANAH (VALUATION REPORT) DAN LAPORAN JURUKUR (SURVEYOR’S REPORT) PENTING?

saman ceroboh tanah - laporan jurukur - laporan penilaian


PENCEROBOHAN HARTANAH: MENGAPA LAPORAN PENILAIAN HARTANAH (VALUATION REPORT) DAN LAPORAN JURUKUR (SURVEYOR’S REPORT) PENTING?

1. Pencerobohan tanah berlaku apabila kita dapati ada orang lain masuk atau bina sesuatu di atas lot tanah kita tanpa izin atau kebenaran. Kes sebegini lazimnya menjejaskan hak milik, kepenggunaan dan juga nilai tanah kita. Untuk memfailkan tindakan saman yang berkesan memerlukan persediaan dan percaturan yang rapi.

2. Kita bermula dengan bukti asas iaitu dengan mengambil gambar pecerobohan yang jelas, membuat video pencerobohan, dan catat tarikh serta lokasi. Kenal pasti siapa penceroboh tersebut. 

3. Sebelum memfailkan tindakan, lazimnya terdapat dua dokumen asas yang perlu disediakan iaitu Laporan Jurukur (surveyor’s report) dan Laporan Penilaian Hartanah (valuation report).

4. Apakah itu Laporan Jurukur? Laporan Jurukur adalah dokumen yang disediakan oleh seorang jurukur tanah berlesen (licensed land surveyor) yang menerangkan sempadan berdaftar dan apa yang wujud di tapak tanah tersebut. 

5. Jurukur tanah berlesen lazimnya akan ukur semula, tandakan koordinat, dan buat pelan berskala. Ini mengesahkan sama ada pagar, dinding, atau binaan memang menceroboh sempadan yang telah ditetapkan.

6. Ambil contoh mudah bila ada bangunan pihak penceroboh telah dibina merentas masuk sejauh 5 meter kedalam sempadan lot tanah kita. Tanpa ukuran profesional, ia hanya menjadi sekadar tuduhan. Dengan Laporan Jurukur, sempadan dan saiz pencerobohan akan dipaparkan secara hitam putih. Inilah asas fakta bagi pencerobohan hartanah.

7. Bagaimana untuk mendapatkan perkhidmatan dan melantik jurukur berlesen? Kita boleh dapatkan maklumat dan carian berkenaannya di laman web Lembaga Jurukur Tanah Malaysia.

8. Apakah pula Laporan Penilaian Hartanah? Laporan Penilaian Hartanah adalah dokumen yang mengandungi maklumat lengkap tentang tanah kita, proses bagaimana penilaian dilakukan, serta nilai pasaran yang ditentukan. 

9. Penilai bertauliah (licensed valuation surveyor) akan mengira nilai pasaran yang terjejas atau kos mengalihkan binaan, atau kehilangan penggunaan tanah. Angka ini menjadi asas tuntutan ganti rugi pencerobohan tanah di Mahkamah kelak.

10. Sebagai contoh, bangunan penceroboh masuk ke sempadan tanah kita sedalam 2 meter. Penilai bertauliah tadi akan menilai kos roboh dan bina semula, nilai pasaran semasa tanah, serta kerugian-kerugian lain yang berkenaan. 

11. Laporan Penilaian akan menjadi dokumen yang paling utama untuk Mahkamah menetapkan nilai gantirugi atau pampasan sekiranya tuntutan kita di benarkan di Mahkamah kelak. 

12. Mengapa kedua-dua dokumen Laporan Jurukur dan Laporan Penilaian ini penting? Ini adalah kerana Laporan Jurukur akan membuktikan “di mana” pencerobohan berlaku, manakala Laporan Penilaian pula membuktikan “berapa” kerugian yang wajar dibayar. 

13. Mahkamah lazimnya akan memerlukan dokumen-dokumen untuk dinilai sebelum membuat sebarang keputusan.

14. Dengan adanya kedua-dua laporan ini,  tuntutan kita di Mahkamah akan menjadi lebih kukuh. Rundingan penyelesaian juga akan menjadi lebih mudah kerana bukti-bukti teknikal sudah nyata dan jelas.

15. Tanpa Laporan Jurukur dan Laporan Penilaian, perbicaraan boleh menjadi meleret. Pihak lawan boleh mempertikai sempadan dan nilai kerugian yang dituntut. .

16. Ketiadaan dokumen-dokumen Laporan Jurukur dan Laporan Penilaian ini juga menjejaskan kredibiliti dan kualiti tuntutan kita di Mahkamah.

17. Sekiranya tuntutan kita dibenarkan tanpa adanya dokumen-dokumen ini, kita mungkin hanya akan dapat perintah yang terhad, atau jumlah ganti rugi yang rendah atau nominal sahaja. Kes pencerobohan tanah memerlukan dokumen yang tepat, bukan anggaran kasar.

18. Kadang-kadang pencerobohan kecil tetapi berlarutan, seperti tanaman atau longgokan bahan. Nilai kerugian kelihatan kecil, tetapi kesannya berpanjangan. Laporan profesional membantu menilai impak sebenar dengan adil.

Soalan Lazim (FAQ)

Adakah wajib ada Laporan Jurukur (surveyor’s report) untuk kes pencerobohan tanah?

Ketiadaan Laporan Jurukur tidak menghalang pemfailan saman sama sekali, tetapi ianya dokumen yang sangat penting. Tanpa ukuran profesional, sempadan sukar dibuktikan dan kes mudah dipertikai.

Adakah Laporan Penilaian Hartanah (valuation report) perlu untuk tuntutan ganti rugi?

Ya, kerana ia mengira kerugian dengan angka yang boleh dirujuk. Tanpanya, tuntutan ganti rugi mudah dianggap andaian dan sekiranya penceorbohan berjaya dibuktikan, kebarangkalian pampasan yang diperolehi tanpa Laporan Penilaian Hartanah adalah nominal.

Siapa sediakan laporan-laporan ini?

Laporan Jurukur disediakan oleh juruukur tanah berlesen; Laporan Penilaian Hartanah disediakan oleh penilai bertauliah.

_______________________

tipu tanah, tipu pejabat tanah

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.