KUTIP HUTANG MELALUI MEDIA SOSIAL - RISIKO TUNTUTAN MENJADI KENYATAAN FITNAH
Dalam era media sosial dan viral culture, semakin ramai individu memilih untuk membuat hantaran terbuka bagi menuntut hutang daripada pihak yang didakwa berhutang. Namun begitu, tindakan seperti memuat naik nama, gambar atau kenyataan tertentu di media sosial boleh menimbulkan risiko saman fitnah sekiranya kenyataan tersebut menyebabkan orang awam mempunyai pandangan serong terhadap individu tersebut.
Mahkamah Tinggi baru-baru ini telah menyentuh isu ini dengan agak jelas dalam kes Abdul Kadir bin Hj Sheikh Fadzir lwn Aliff Syukri bin Kamaruzaman [2026] MLJU 1773, apabila Mahkamah menegaskan bahawa saluran undang-undang tetap perlu digunakan untuk menuntut hutang dan media sosial bukan lesen untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa maksud memfitnah seseorang.
Secara ringkas, seseorang mungkin benar-benar percaya bahawa dia sedang cuba mendapatkan kembali hutangnya. Namun begitu, cara tuntutan itu dibuat boleh tetap dianggap sebagai fitnah jika kenyataan tersebut menyebabkan reputasi pihak lain terjejas di mata masyarakat.
Rujukan berkaitan:
Fitnah di Media Sosial
Pampasan Saman Fitnah
Mencabar Saman Fitnah
Faktor Penting Sebelum Menyaman
Ringkasan: Menuntut hutang melalui media sosial boleh membawa risiko saman fitnah jika kenyataan itu menyebabkan orang ramai melihat seseorang sebagai penipu, tidak amanah atau sengaja enggan membayar hutang. Jika ada pertikaian hutang, saluran yang lebih selamat ialah pengeluaran Notis Tuntutan (Letter of Demand) rundingan atau tindakan saman di mahkamah.
1. Dalam kes ini, Plaintif mendakwa Defendan telah membuat beberapa hantaran media sosial berkaitan dakwaan hutang berpuluh juta ringgit. Antara kenyataan yang disentuh oleh Mahkamah termasuk ayat yang meminta orang ramai membantu mendapatkan bayaran dan meminta sesiapa yang mengenali Plaintif supaya menyuruh Plaintif membayar hutang tersebut.
2. Defendan pula menjelaskan bahawa tujuan hantaran tersebut dibuat adalah untuk mendapatkan respon daripada Plaintif selepas pelbagai cubaan menghubungi Plaintif didakwa gagal. Defendan juga menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk memfitnah atau memalukan Plaintif, sebaliknya mahu mendapatkan kembali wang yang didakwa terhutang.
3. Walaupun begitu, Mahkamah menegaskan bahawa persoalan utama dalam kes fitnah bukan sekadar niat seseorang, tetapi bagaimana kenyataan tersebut difahami oleh masyarakat umum.
4. Mahkamah berpendapat bahawa kenyataan tersebut boleh menyebabkan orang awam melihat Plaintif sebagai seorang yang tidak jujur, tidak mahu membayar hutang dan mempunyai masalah integriti. Mahkamah juga mengambil kira bahawa posting tersebut dibuat secara terbuka kepada pengikut media sosial yang ramai.
5. Antara prinsip paling penting yang disentuh oleh Mahkamah adalah bahawa seseorang tidak boleh menggunakan media sosial sebagai jalan pintas untuk mendapatkan bayaran hutang dengan cara yang mempunyai unsur fitnah.
6. Mahkamah menyatakan seperti berikut:
“Mahkamah ini berpendapat sekiranya alasan bahawa Defendan hanya berniat untuk mendapatkan bayaran hutangnya dengan membuat penyataan melalui media sosial bukanlah sesuatu yang boleh dipertimbangkan...”
7. Mahkamah seterusnya menegaskan bahawa jika seseorang ingin menuntut hutang, ia hendaklah dibuat melalui saluran undang-undang dan bukan melalui kenyataan terbuka yang boleh menjatuhkan maruah atau reputasi pihak lain.
“Sekiranya Defendan ingin membuat tuntutan hutang daripada Plaintif, ia hendaklah dilakukan melalui lunas undang-undang. Mahkamah ini tidak sewajarnya membenarkan sebarang kenyataan yang berunsur fitnah bagi mendapatkan kembali hutang. Jika ini dibenarkan, ia akan menyebabkan saluran undang-undang untuk menuntut hutang menjadi sia-sia dan menjejaskan kesentosaan kehidupan masyarakat umum. Pada hemat Mahkamah juga, ia akan menyebabkan amalan fitnah akan berleluasa dan mengganggu-gugat nilai perhubungan harmonis di kalangan masyarakat. Ini adalah bercanggahan dengan matlamat undang-undang fitnah.”
8. Satu perkara menarik dalam penghakiman ini ialah Mahkamah turut memberi peringatan umum kepada pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati sebelum membuat hantaran berkaitan individu lain.
“Pada pemerhatian Mahkamah, para pengguna media sosial harus memastikan bahawa sebarang penyataan yang dibuat tidak akan menjejaskan maruah individu yang lain. Jika ini dilakukan, ia akan mendedahkan pihak yang membuat penyataan tersebut kepada tindakan tuntutan fitnah. Pengendalian emosi dan semakan fakta perlu dibuat sebelum membuat hantaran-hantaran melalui media sosial. Ini amat penting bagi mengelakkan para pengguna media sosial akan mendapat kesan negatif daripada penyaluran maklumat dan penyataan yang mungkin akan mengandungi unsur-unsur fitnah dan mendedahkan mereka kepada tuntutan saman fitnah.”
9. Mahkamah menekankan bahawa pengendalian emosi dan semakan fakta amat penting sebelum membuat sebarang posting kerana kenyataan yang dibuat secara emosi boleh mendedahkan seseorang kepada tindakan saman fitnah.
10. Apa yang boleh dipelajari daripada kes ini ialah seseorang mungkin mempunyai tuntutan hutang yang sebenar, tetapi cara tuntutan itu dibuat tetap boleh menimbulkan liabiliti undang-undang jika ia membawa maksud bahawa pihak lain seorang penipu, tidak amanah atau enggan membayar hutang.
11. Dalam banyak keadaan, tindakan seperti membuat posting terbuka, memuat naik gambar, meminta orang ramai membantu “mencari” seseorang atau membuat sindiran tertentu boleh menyebabkan mahkamah melihat kenyataan tersebut sebagai mempunyai kecenderungan memalukan atau merendahkan reputasi seseorang.
12. Sebab itu, dalam pertikaian hutang atau pertikaian komersial, pendekatan yang lebih selamat biasanya adalah melalui saluran seperti Letter of Demand (LOD), rundingan, tindakan sivil atau proses mahkamah dan bukannya “viral pressure” di media sosial.
Soalan Lazim (FAQ)
Boleh ke dedahkan nama orang yang berhutang di Facebook atau Instagram?
Ia bergantung kepada konteks dan kandungan kenyataan tersebut. Jika kenyataan itu boleh menyebabkan reputasi seseorang terjejas atau membawa maksud negatif di mata masyarakat, risiko saman fitnah tetap wujud.
Kalau hutang itu betul, masih boleh jadi fitnah?
Dalam sesetengah keadaan, ya. Isu utama bukan sekadar kewujudan hutang tetapi bagaimana kenyataan itu dibuat, kepada siapa ia disebarkan dan kesan terhadap reputasi seseorang.
Adakah niat untuk kutip hutang boleh jadi pembelaan?
Berdasarkan kes ini, Mahkamah menegaskan bahawa niat untuk mendapatkan bayaran hutang melalui media sosial tidak semestinya menjadi pembelaan kepada tindakan fitnah.
Apa cara yang lebih selamat untuk tuntut hutang?
Antara cara yang lazim digunakan ialah melalui Letter of Demand (LOD), rundingan, tindakan sivil atau proses mahkamah.
_______________________


0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.