Dikemas kini pada: 19 Mac 2026
Sebelum failkan saman malu atau saman fitnah, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan, termasuk tujuan tindakan, kekuatan bukti, kos guaman, tempoh masa dan sama ada tindakan tersebut benar-benar berbaloi.
Saman fitnah bukan sekadar soal marah atau hendak “mengajar orang”. Ia adalah satu tindakan undang-undang yang teknikal, memakan masa dan boleh melibatkan kos yang tinggi. Jika anda tunggu terlalu lama, bukti boleh hilang, saksi menjadi sukar dikesan, dan kedudukan anda sendiri boleh menjadi semakin lemah.
Jawapan ringkas:
Sebelum failkan saman malu / fitnah, anda patut pertimbangkan sekurang-kurangnya lima perkara utama iaitu apa yang anda mahu capai, risiko kalah, kos guaman, masa yang diperlukan, dan sama ada tindakan itu benar-benar berbaloi. Mahkamah sepatutnya menjadi jalan terakhir, bukan reaksi pertama.
Peringatan penting:
Kalau kenyataan fitnah masih tersebar atau bukti hanya wujud dalam bentuk WhatsApp, Facebook, TikTok, email atau rakaman digital, jangan berlengah. Lagi lama anda tunggu, lagi tinggi risiko bukti dipadam, diubah atau sukar disahkan semula.
Rujukan berkaitan (Panduan & kos):
• Cara memfailkan saman malu/fitnah: Baca di sini
• Kos peguam saman malu/fitnah: Baca di sini
Apakah perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum meneruskan saman malu / fitnah?
1. Saya menerima pertanyaan berkenaan dengan saman malu / fitnah hampir saban hari, samada melalui panggilan telefon, mesej melalui Whatsapp ataupun melalui email. Ada kes yang saya ambil selepas saya nilai potensi, fakta dan dokumen sesuatu kes tersebut.
2. Namun sebahagian besar daripadanya saya tolak dan bergantung kepada masa yang saya ada, saya berikan penerangan secara ringkas tentang apa itu Fitnah.
3. Bagi saya, ini adalah satu perkembangan yang sihat di kalangan masyarakat. Kita digalakkan untuk bertanya sebelum memulakan apa-apa tindakan, terutamanya apabila ia melibatkan pelaburan dari segi mental, fizikal, masa dan wang ringgit. Bak kata pepatah, malu bertanya sesatlah jalannya, malu mengayuh hanyutlah perahunya.
4. Daripada pengalaman saya hampir 15 tahun beramal sebagai peguam sivil, saya boleh simpulkan bahawa ramai yang masih belum faham tentang konsep saman malu / fitnah.
5. Ini tidak mengapa. Orang awam memang tidak dijangka untuk tahu selok-belok dan terma-terma undang-undang. Jadi, suka saya tekankan disini bahawa terma saman malu di sisi undang-undang sebenarnya tidak wujud. Yang ada hanyalah saman tort fitnah (Tort of Defamation).
6. Apabila sesuatu fitnah/tuduhan palsu terhadap seseorang itu disebarkan kepada umum, ianya secara tidak lansung akan memalukan dan mengaibkan seseorang. Saya kira, mungkin daripada implikasi fitnah ini lah kenapa saman fitnah mula dirujuk sebagai saman malu. Tidak mengapalah. Bukan itu perkara yang ingin saya kongsikan di sini.
7. Saya, sebagaimana rakan-rakan peguam bijaksana yang lain, akan sentiasa menyarankan anak-anak guam kami, sekiranya sesuatu pertikaian tersebut ada potensi untuk diselesaikan tanpa melibatkan tindakan Mahkamah, maka ianya disyorkan untuk diselesaikan tanpa melibatkan tindakan Mahkamah. Saman menyaman ini seharusnya dijadikan pilihan terakhir (last resort).
8. Sebelum melantik peguam dan memulakan sesuatu tindakan saman di Mahkamah, banyak faktor yang, saya kira perlu dipertimbangkan oleh seseorang yang ingin menyaman. Apakah pertimbangan tersebut? Di antara lainnya, adalah seperti yang berikut:
Lima pertimbangan utama sebelum saman fitnah
a) Apa yang anda mahukan melalui tindakan saman? Lain padang lain belalangnya. Lain orang lain keinginannya. Jadi anda perlu tahu apa yang anda mahukan daripada tindakan saman anda. Ada orang mengambil tindakan saman hanya untuk memuaskan hati. Ada pula yang berharap mendapat pampasan berjutaan ringgit. Ada yang hanya sekadar ingin menunjukkan kekuatan (show of strength). Tetapkan apa yang anda mahukan.
b) Adakah anda bersedia sekiranya apa yang anda mahukan itu tidak dapat dicapai melalui tindakan saman anda? Setiap kes itu berbeza. Mahkamah membuat keputusan mengikut apa yang disajikan dan dihujahkan di hadapannya. Mungkin pihak lawan mempunyai bukti yang lebih kukuh daripada anda. Mungkin kes anda lemah. Keputusan mungkin berpihak kepada anda dan mungkin juga tidak berpihak kepada anda. Ini adalah risiko yang adan perlu ambil?
c) Adakah anda bersedia untuk menanggung kos? Sepertimana yang saya seringkali pesan dan nyatakan, kos guaman untuk apa-apa tindakan saman lazimnya bukanlah murah, lebih-lebih lagi tindakan saman fitnah. Ianya boleh mencecah puluhan ribu atau ratusan ribu. Kenapa ianya mahal? Boleh baca DI SINI. Anda juga perlu pertimbangkan jika keputusan tidak berpihak kepada anda, anda mungkin diarahkan untuk membayar kos pihak lawan yang anda heret ke Mahkamah itu.
d) Masa. Adakah anda mempunyai kesabaran untuk turun naik Mahkamah. Umum mengetahui bahawa tindakan Mahkamah mungkin tidak sepantas yang anda inginkan. Kadangkala keadaan ini tidak dapat dielakkan. Selain daripada anda, ratusan malah ribuan lagi individu seperti anda yang turut sama ingin menyelesaikan pertikaian mereka melalui Mahkamah. Walaupun kini Mahkamah telah dilengkapi dengan sistem yang sedikit sebanyak membantu mempercepatkan perjalanan sesuatu kes, namun jika anda harapkan untuk kes anda didengarkan dalam jangka masa beberapa minggu itu, ianya adalah hampir mustahil.
e) Pertimbangan yang terakhir dan yang paling penting; berbaloikah? Seperti yang saya nyatakan pada awal-awal rencana tadi, tindakan Mahkamah melibatkan pelaburan. Ianya adalah pelaburan dari segi mental, fizikal, masa dan kewangan. Maka persoalan yang perlu anda jawab adalah adakah ianya berbaloi?
Ringkasan cepat:
Secara ringkasnya, sebelum saman fitnah difailkan, anda patut tentukan objektif sebenar anda, terima kemungkinan anda kalah, ukur kemampuan menanggung kos, sedia hadap proses Mahkamah yang memakan masa, dan tanya diri sendiri sama ada tindakan itu benar-benar berbaloi.
Jangan buat keputusan kerana emosi semata-mata
9. Jangan salah faham. Ini bukanlah rencana untuk mematahkan semangat anda yang berkobar-kobar mahu menyaman jiran sebelah, mak mertua atau bekas suami/isteri anda, tetapi anggaplah rencana ini sebagai panduan dan peringatan tentang apa yang perlu anda hadapi sekiranya anda memilih untuk memulakan tindakan di Mahkamah.
10. Anda perlu bersedia untuk berhadapan dengan sesuatu diluar jangkaan. Baik dari segi proses dan prosedur, masa dan kewangan malah keputusan dan pengakhiran.
11. Sekiranya perkara-perkara ini tidak diendahkan atau tidak diberi pertimbangan sewajarnya, ia mungkin akan menjerat anda sendiri dan mungkin meletakkan anda (dan peguam anda) di dalam situasi yang rumit.
12. Bagi peguam, kami akan tetap berhujah untuk keadilan di Mahkamah tanpa rasa takut atau memihak (without fear or favour) selagi mana ianya boleh membantu Mahkamah untuk mendapatkan keputusan yang adil dan saksama. Namun begitu, perlu diingat, anda menang atau kalah, perkhidmatan kami tetap perlu dibayar.
13. Seorang peguam yang baik dan beretika akan sentiasa memberi pilihan-pilihan yang wajar kepada anak guamnya. Pilihan akan sentiasa berada ditangan anak guam (anda). Namun sebelum memilih, ketepikan dahulu ego, marah, tidak puas hati atau dendam yang tersemat. Jangan memilih dengan emosi.
14. Namun sekiranya anda benar-benar merasakan anda mempunyai hak terhadap sesuatu dan sudah tiada jalan lain yang boleh menyelesaikan masalah anda, maka sebagai jalan akhir, anda adalah dialu-alukan untuk mendapatkan perkhidmatan kami. Kita boleh berbincang sambil menikmati secawan kopi. Jangan lupa belanja.
Kalau anda benar-benar bercadang untuk bertindak, jangan sekadar simpan rasa marah dan tunggu keadaan reda sendiri. Dapatkan nasihat awal, kumpulkan bukti, simpan tangkapan layar dan rekod penyebaran secepat mungkin. Dalam banyak kes, kelewatan awal itulah yang akhirnya melemahkan kedudukan sendiri.
SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN SAMAN MALU / FITNAH
1. Berapa lama tempoh masa untuk failkan saman fitnah?
Tempoh had masa (limitation period) untuk memfailkan saman fitnah ialah 6 tahun dari tarikh kenyataan fitnah dibuat atau disiarkan. Selepas 6 tahun, tindakan mungkin terhalang oleh undang-undang. Jadi jangan tangguh lama.
2. Adakah saya perlu melantik peguam?
Secara praktikalnya, ya. Saman fitnah adalah teknikal dan kompleks. Sama ada plaintif atau defendan, kedua-duanya memerlukan hujahan undang-undang, kes rujukan dan penyediaan dokumen. Tanpa peguam, risiko tersilap langkah adalah tinggi.
3. Bolehkah saman fitnah diselesaikan tanpa pergi Mahkamah?
Boleh. Banyak kes selesai melalui Notis Tuntutan (LOD), permohonan maaf, penarikan balik kenyataan dan/atau bayaran pampasan secara persetujuan. Mahkamah sepatutnya last resort.
4. Berapakah jumlah pampasan saman fitnah?
Tiada angka tetap. Mahkamah menilai berdasarkan kesan ke atas reputasi, penyebaran, niat, dan kerosakan yang berlaku. Ada kes RM8,000, ada kes RM500,000. Bergantung kepada fakta.
5. Adakah saya perlu bukti?
Ya. Ini perkara paling kritikal. Bukti boleh jadi screenshot, rekod mesej, rakaman, posting media sosial atau saksi. Tanpa bukti, kes sangat sukar diteruskan.
Borang Kes & Siri Rencana
Kami juga menyediakan Borang Kes yang anda boleh isi untuk mengetahui secara lebih mudah dan cepat samada anda mempunyai kes fitnah atau pun tidak. Klik BORANG KES FITNAH NORHAFEEZLAW.
SIRI RENCANA SAMAN MALU
i) Fitnah secara bertulis dan percakapan
ii) Kenyataan fitnah itu bagaimana?
iii) Kalau fitnah tanpa sebut nama, bagaimana?
iv) Tuduhan fitnah tapi tak disebarkan, boleh saman?
v) Apa kandungan Notis Tuntutan atau LOD Saman Malu?
vi) Cara nak Failkan Saman Fitnah?
vii) Apa Aturan Proses Saman Fitnah?
viii) Berapa Pampasan Saman Fitnah?
ix) Berapa Kos Guaman Saman Malu?
x) Kalau Saya yang Kena Saman Malu, Apa Nak Buat?
xi) Bagaimana Cara Nak Lawan Saman Malu?
xii) Orang Buat Laporan Polis Tapi Fitnah. Boleh Saman Malu?
_______________________
Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui WhatsApp dengan menekan imej di atas.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.