Patutkah Kita Tuntut Hutang Melalui Mahkamah? Panduan Praktikal Pemiutang di Malaysia
Dikemas kini pada: 27 Januari 2026
Ramai pemiutang bertanya soalan yang sama: patutkah hutang ini dibawa ke Mahkamah? Hakikatnya, bukan semua hutang sesuai dituntut melalui tindakan saman. Ada kes yang wajar, dan ada kes yang secara praktikalnya tidak berbaloi walaupun kita berada di pihak yang benar.
Artikel ini tidak menghuraikan langkah teknikal memfailkan saman. Sebaliknya, ia bertujuan membantu kita membuat keputusan yang tepat — sama ada tindakan Mahkamah ialah jalan terbaik, atau sama ada terdapat risiko, kos dan implikasi lain yang perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.
Nota Professional: Artikel ini menjawab persoalan “Patutkah dan berbaloikah?”, manakala panduan langkah demi langkah memfailkan saman dibincangkan dalam rencana berasingan.
1. Adakah Semua Hutang Wajar Disaman?
Jawapannya tidak. Walaupun undang-undang memberi hak kepada pemiutang untuk menuntut hutang, namun realiti litigasi sebenarnya adalah lebih kompleks.
Tindakan saman wajar dipertimbangkan apabila jumlah hutang tersebut adalah signifikan, bukti-buktinya kukuh, dan tingkahlaku penghutang itu sendiri.
2. Faktor Utama Yang Perlu Kita Nilai Sebelum Menyaman
(a) Jumlah Hutang. Secara praktikal, jumlah hutang perlu dinilai secara seimbang dengan masa, usaha dan kos yang terlibat dalam proses Mahkamah. Sebagai contoh, jika amaun yang dituntut terlalu kecil berbanding kos guaman keseluruhan yang perlu dilalui, tindakan saman mungkin tidak memberikan pulangan yang setimpal. Oleh itu, penilaian awal terhadap skala tuntutan adalah penting sebelum sebarang tindakan dimulakan.
(b) Kekuatan Bukti. Dokumen bertulis seperti perjanjian hutang, rekod pindahan bank dan bukti bayaran sebahagian lazimnya memudahkan proses tuntutan dan mempercepatkan perjalanan kes. Sekiranya dokumentasi lengkap, isu yang perlu dipertikaikan di Mahkamah biasanya lebih terhad. Sebaliknya, jika bukti bertulis tiada atau tidak lengkap, kes masih boleh difailkan, namun ia mungkin memerlukan huraian lanjut, saksi tambahan atau langkah prosedur yang lebih teliti, yang secara praktikalnya boleh memberi kesan kepada tempoh dan pengurusan kos guaman.
(c) Tingkah Laku dan Sikap Penghutang. Dalam banyak kes, keputusan untuk memfailkan saman bukan semata-mata bergantung kepada kemampuan membayar, tetapi kepada corak kelakuan penghutang. Penghutang yang sengaja mengelak, memberi alasan berulang kali, atau langsung tidak memberi kerjasama lazimnya hanya akan bertindak selepas proses Mahkamah dimulakan. Dalam keadaan sebegini, tindakan saman berfungsi sebagai tekanan undang-undang yang sah untuk memaksa respon dan penyelesaian.
3. Kesilapan Lazim Pemiutang
Antara kesilapan lazim ialah memulakan tindakan Mahkamah secara tergesa-gesa atau berasaskan emosi semata-mata, tanpa menilai kedudukan undang-undang dan strategi keseluruhan kes.
Ada pemiutang yang menyangka bahawa mendapatkan penghakiman sahaja sudah mencukupi, sedangkan dalam praktiknya, perancangan terhadap langkah seterusnya selepas penghakiman adalah sama penting untuk memastikan tuntutan tersebut benar-benar memberi kesan yang diharapkan.
4. Bila Tindakan Mahkamah Biasanya Wajar
Secara umum, tindakan Mahkamah lebih wajar dipertimbangkan apabila tuntutan melibatkan amaun yang signifikan, dokumentasi sokongan adalah munasabah, dan terdapat petunjuk bahawa penghutang sengaja melengahkan, mengelak atau tidak memberi kerjasama walaupun telah diberi peluang.
Dalam keadaan sebegini, saman sering berfungsi sebagai mekanisme undang-undang yang sah untuk memaksa respon dan membawa pihak-pihak ke arah penyelesaian yang lebih teratur.
5. Bila Kita Perlu Berhenti dan Fikir Dua Kali
Sebaliknya, jika tuntutan melibatkan amaun yang terlalu kecil, fakta dan bukti terlalu kabur, atau situasi penghutang menjadikan pertikaian sukar difokuskan kepada isu utama hutang itu sendiri, tindakan Mahkamah mungkin memerlukan pertimbangan yang lebih berhati-hati. Dalam keadaan tertentu, pendekatan alternatif atau penilaian lanjut bersama peguam boleh menjadi langkah yang lebih sesuai sebelum membuat keputusan muktamad.
Langkah seterusnya: Jika selepas pertimbangan ini anda memutuskan untuk meneruskan tindakan, rujuk panduan lengkap mengenai proses saman tuntutan hutang di bawah.
👉 Cara Tuntut Hutang Melalui Saman di Mahkamah (Panduan Langkah demi Langkah)
_______________________
.webp)


0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.