BAGAIMANA UNTUK MEMFAILKAN SAMAN MALU/FITNAH?

Panduan dan cara untuk memfailkan saman malu disebabkan oleh fitnah.


Dikemas kini pada: 21 Februari 2026

Apa itu Saman Malu? Saman malu atau saman fitnah ialah tindakan undang-undang terhadap seseorang yang mengeluarkan kenyataan fitnah mengenai kita, sama ada secara lisan, bertulis atau digital, dan kenyataan tersebut telah disampaikan kepada pihak ketiga.

Kita sering mendengar istilah Saman Malu dalam penggunaan harian. Namun dari sudut undang-undang, rasa malu semata-mata tidak mencukupi untuk memfailkan tindakan sivil.

Tindakan hanya boleh diambil apabila kenyataan tersebut memenuhi unsur-unsur fitnah, dan inilah yang secara tepat diiktiraf sebagai Saman Malu/fitnah atau defamation.

Rujukan berkaitan:

• Fitnah Facebook dan Saman Malu Media Sosial: Baca di sini

• Bagaimanakah Cara untuk Mengaplikasi Syarat Fitnah?: Baca di sini

• Pampasan dan Gantirugi Saman Fitnah?: Baca di sini

• Apakah Dokumen dan Bukti yang Perlu Disediakan Untuk Saman Malu?: Baca di sini

DEFINISI FITNAH DALAM SAMAN MALU

Mahkamah Malaysia di dalam kes klasik Ayob Bin Saud v TS Sambanthamurthi telah memberikan definisi fitnah sebagai berikut: 

The law of libel is governed by the Defamation Act 1957 and the burden of proof lies on the plaintiff to show: (a) the words are defamatory; (b) the words refer to the plaintiff; and (c) the words were published.

Berdasarkan dapatan Mahkamah di dalam kes tersebut, undang-undang fitnah ditadbir oleh Akta Fitnah 1957 dan sesuatu kenyataan itu lazimnya boleh dianggap sebagai fitnah apabila:

  • kenyataan atau tohmahan itu adalah tidak benar;
  • kenyataan atau tohmahan itu merujuk kepada seseorang; dan
  • kenyataan atau tohmahan itu disiarkan atau disebar atau disampaikan kepada pihak ketiga (samada secara lisan, bertulis atau digital).

Jika Jailani menulis satu kenyataan di media sosial bahawa “Nor Hafeez curi duit pejabat”, sedangkan perkara itu tidak benar, dan kenyataan itu telah dibaca oleh orang lain — maka itu adalah contoh klasik fitnah yang berpotensi untuk dijadikan asas tindakan.

JENIS-JENIS FITNAH

Fitnah di sisi undang-undang terbahagi kepada dua (2) bentuk utama, iaitu fitnah bertulis/kekal (Libel) dan fitnah lisan (Slander).

LIBEL - Fitnah secara penulisan / bentuk kekal

Libel merujuk kepada fitnah yang disampaikan dalam bentuk yang kekal atau boleh direkod, seperti tulisan, artikel, surat, poster, emel, mesej, video atau posting media sosial (Facebook, WhatsApp, Twitter, Tiktok dan seumpamanya).

Biasanya ia lebih mudah dibuktikan kerana ada rekod yang boleh dicetak atau disimpan dalam bentuk dokumentasi untuk ditunjukkan kepada Mahkamah.

Contohnya: Jailani menulis status Facebook menuduh Nor Hafeez adalah seorang “pemakan rasuah” tanpa bukti, dan posting itu telah disiarkan dan telah dibaca oleh orang ramai. Itu adalah libel.

SLANDER - Fitnah secara lisan / percakapan

Slander pula merujuk kepada fitnah yang berlaku melalui ucapan atau kata-kata, contohnya tuduhan yang dibuat secara lisan dalam mesyuarat atau majlis, atau kenyataan mulut ke mulut yang dinyatakan di hadapan pihak ketiga.

Slander lazimnya mempunyai beban bukti yang lebih rumit namun masih boleh dibuktikan melalui keterangan saksi-saksi yang berkenaan.

Contohnya: Nor Hafeez menuduh “Jailani curi duit tabung masjid” secara lisan di hadapan rakan pejabat atau pelanggan. Maka itu adalah slander.

ELEMEN ATAU SYARAT-SYARAT FITNAH

Saman malu atau fitnah bukanlah tindakan yang mudah dan ia lazimnya melibatkan kos yang tinggi. Ini kerana orang yang difitnah perlu membuktikan elemen-elemen atau syarat-syarat fitnah sebelum Mahkamah boleh memberi sebarang penghakiman. 

Apakah syarat-syarat fitnah? Secara asasnya, ada tiga elemen atau syarat-syarat utama yang perlu dibuktikan:

(i) Kenyataan itu tidak benar (tuduhan palsu)

Sesuatu kenyataan atau kata-kata dianggap sebagai fitnah apabila maksud biasa dan semula jadinya memberi gambaran bahawa orang yang difitnah itu adalah seorang yang tidak jujur, berkelakuan buruk, tercela atau tidak berintegriti.

Apatah lagi sekira kesannya menjatuhkan reputasi atau maruah orang yang difitnah di mata masyarakat, sehingga mendedahkannya kepada kebencian, ejekan, celaan atau penghinaan, atau menyebabkan orang ramai memandang rendah serta menjauhinya.

Jika kenyataan itu benar, walaupun ianya memalukan atau mengaibkan, kebenaran tersebut biasanya akan menewaskan tuntutan fitnah kerana “kebenaran” adalah antara pembelaan yang kuat.

(ii) Kenyataan itu merujuk kepada orang yang difitnah

Kenyataan atau kata-kata fitnah itu merujuk kepada orang yang difitnah bermaksud fitnah tersebut hendaklah ditujukan atau merujuk secara tersurat atau tersirat kepada orang yang difitnah.

Sekiranya kenyataan itu sebenarnya merujuk kepada orang lain, atau tidak boleh dikenalpasti merujuk kepada orang yang difitnah, syarat ini tidak akan dipenuhi dan tuntutan lazimnya akan gagal.

(iii) Kenyataan itu disebarkan kepada pihak ketiga

Syarat Fitnah memerlukan penyiaran atau penyebaran (publication). 

Apa maksud penyiaran atau penyebaran fitnah? maksudnya, kenyataan fitnah itu disampaikan kepada pihak lain selain daripada orang yang difitnah dan pemfitnah.

Sekiranya tuduhan fitnah itu terkandung di dalam perbualan peribadi hanya diantara pemfitnah dan orang yang difitnah tanpa sebaran kepada pihak ketiga, maka elemen ini dianggap gagal dipenuhi.

PERBEZAAN SYARAT LIBEL DAN SLANDER

Di sinilah ramai orang awam tersilap faham. Untuk Libel, orang yang difitnah hanya perlu memenuhi tiga elemen atau syarat-syarat fitnah yang dinyatakan di atas.

Manakala untuk Slander pula, selain tiga elemen di atas, kebiasaannya orang yang difitnah turut perlu membuktikan satu lagi syarat iaitu terdapatnya kerugian sebenar/khas (actual/special damages).

Apa maksud kerugian sebenar/khas (actual/special damages)?

Apa yang dimaksudkan dengan kerugian sebenar/khas (actual/special damages) berdasarkan teks rujukan lazim Mahkamah iaitu dari Gatley on Libel and Slander adalah seperti berikut: 

What constitutes special damage. Special damage for this purpose is some ‘actual temporal loss’ — the loss of some ‘material’ or ‘temporal advantage’ which is ‘pecuniary’ or ‘capable of being estimated in money’. Or, to put it another way, in cases of slander not actionable per se, the law does not presume that damage will be suffered from the publication and the distress felt by the claimant at the injury to his reputation is not sufficient to found his cause of action.

Kerugian sebenar/khas ditafsirkan sebagai kerugian sebenar yang bersifat nyata dan boleh diukur, khususnya kerugian kewangan atau kehilangan manfaat yang boleh dinilai dengan wang.

Dalam kes fitnah slander yang tidak boleh disaman secara automatik (not actionable per se), undang-undang tidak mengandaikan bahawa kerugian telah berlaku hanya kerana kenyataan fitnah itu dibuat.

Rasa tertekan, malu atau tercalar reputasi semata-mata tidak mencukupi; orang yang difitnah wajib membuktikan bahawa beliau benar-benar mengalami kerugian material seperti kehilangan pekerjaan, kehilangan pendapatan, atau kerugian kewangan yang boleh dianggar atau diukur nilainya.

Kes-Kes Slander yang Dikecualikan Dari Pembuktian Kerugian Sebenar?

Undang-undang memperuntukkan dua (2) pengecualian di mana bukti kerugian sebenar tidak diperlukan.

Pertama, sekiranya kata-kata lisan yang disebarkan itu menuduh seorang wanita melakukan perbuatan tidak bermoral seperti tidak suci atau berzina. Dalam keadaan ini, wanita yang difitnah tersebut tidak perlu membuktikan kerugian kewangan untuk memfailkan saman fitnah.

Kedua, jika kenyataan lisan itu menjejaskan atau merendahkan reputasi seseorang dalam jawatan, profesion, kerjaya, perniagaan atau perdagangan yang sedang dijalankannya, tindakan saman boleh difailkan tanpa perlu membuktikan kerugian sebenar.

Contohnya, tuduhan lisan bahawa seorang akauntan menipu pelanggan atau seorang kontraktor menyeleweng wang projek adalah memadai untuk membentuk kes fitnah, walaupun kerugian kewangan khusus belum dapat dibuktikan.

Dalam kedua-dua keadaan ini, undang-undang mengiktiraf bahawa kesan terhadap maruah dan reputasi adalah cukup serius sehingga tidak memerlukan bukti kerugian kewangan sebenar.

BAGAIMANA UNTUK MENGAPLIKASI SYARAT-SYARAT FITNAH DALAM KES SEBENAR?

Contoh libel: 

Ali telah memfitnah Ahmad melalui satu post di facebook/whatsapp/email/surat layang dengan mengatakan bahawa Ahmad (elemen 1: merujuk secara jelas kepada orang yang difitnah) adalah seorang pencuri motosikal (elemen 2: kenyataan tidak benar) sedangkan tuduhan itu adalah palsu dan fitnah. Post tersebut pula telah disebarkan secara viral kepada umum (elemen 3: disebar kepada pihak ketiga selain Ali dan Ahmad). Ahmad kini boleh memfailkan tindakan saman fitnah terhadap Ali.

Contoh Slander: 

Badrul telah memfitnah Farid secara lisan di hadapan rakan-rakan sekerja dengan mengatakan bahawa Farid telah menyalahgunakan wang syarikat untuk kepentingan peribadi. 

Kenyataan tersebut merujuk secara jelas kepada Farid (elemen 1: merujuk kepada orang yang difitnah) dan mengandungi tuduhan yang tidak benar (elemen 2: kenyataan palsu). Tuduhan itu pula telah diucapkan di hadapan pihak ketiga, iaitu rakan-rakan sekerja Farid (elemen 3: disebarkan kepada pihak ketiga).

Memandangkan fitnah ini berlaku secara lisan (slander), Farid perlu membuktikan kerugian sebenar (actual/special damages). 

Sebagai contoh, akibat kenyataan tersebut, Farid telah digantung kerja, kehilangan bonus tahunan, atau dinafikan kenaikan pangkat yang sepatutnya diterimanya. Kerugian ini adalah kerugian kewangan yang nyata dan boleh dianggar dengan wang (elemen 4: kerugian sebenar). Sekiranya Farid berjaya membuktikan kerugian tersebut, beliau mempunyai asas yang kukuh untuk memfailkan tindakan saman fitnah terhadap Badrul.

Jadi, Bagaimana Cara Untuk Memulakan Saman Malu?

Secara ringkasnya, untuk memulakan saman malu di Malaysia, seseorang perlu terlebih dahulu mengumpulkan bukti kenyataan fitnah yang disiarkan, mengenal pasti identiti individu yang membuat kenyataan tersebut, mendapatkan nasihat peguam, dan seterusnya memulakan tindakan undang-undang melalui Notis Tuntutan sebelum saman difailkan di mahkamah.

(i) Apabila seseorang menyebarkan kenyataan fitnah terhadap kita, khususnya melalui media sosial seperti Facebook, langkah pertama yang perlu dibuat adalah mengumpulkan bukti dengan segera. Bukti ini penting kerana kenyataan di internet boleh dipadam pada bila-bila masa.

(ii) Langkah paling awal adalah membuat tangkapan skrin (printscreen) penuh terhadap kenyataan fitnah tersebut melalui komputer atau laptop. Printscreen tersebut sebaiknya menunjukkan keseluruhan kenyataan yang ditulis, paparan akaun individu yang membuat kenyataan tersebut, jumlah komen, jumlah perkongsian (shares), serta tangkapan skrin bagi komen-komen yang berkaitan. Jika boleh, pastikan juga alamat URL bagi hantaran Facebook tersebut turut kelihatan dalam tangkapan skrin sebagai rujukan.

(iii) Selain itu, cuba dapatkan maklumat asas individu yang membuat kenyataan fitnah tersebut seperti nama penuh, alamat dan nombor kad pengenalan. Maklumat ini penting untuk tujuan mengenal pasti pihak yang akan dinamakan sebagai defendan dalam tindakan saman.

(iv) Semua tangkapan skrin yang telah dikumpulkan hendaklah dicetak dan dibawa kepada peguam untuk diteliti. Melalui sesi konsultasi, peguam akan menilai sama ada kenyataan tersebut memenuhi elemen-elemen fitnah di sisi undang-undang serta memberi saranan berkenaan tindakan sewajarnya. Klik disini untuk mendapatkan khidmat peguam.

(v) Jika terdapat asas untuk tindakan undang-undang, peguam lazimnya akan membuka fail, mengeluarkan Notis Tuntutan kepada pihak yang terlibat, dan sekiranya perkara tersebut tidak diselesaikan, tindakan saman fitnah boleh difailkan di mahkamah.

Soalan Lazim Saman Malu (FAQ)

1. Apa maksud saman malu?

Saman malu atau saman fitnah ialah tindakan undang-undang terhadap seseorang yang mengeluarkan kenyataan fitnah mengenai kita, sama ada secara lisan, bertulis atau digital, dan kenyataan tersebut telah disampaikan kepada pihak ketiga.

2. Apa syarat saman malu dan kenapa syarat-syarat ini penting?

Syarat saman malu yang utama ada tiga. Pertama, terdapat kenyataan atau tohmahan yang tidak benar. Kedua, kenyataan atau tohmahan tersebut merujuk kepada orang yang difitnah secara tersurat atau tersirat. Ketiga, kenyataan atau tohmahan tersebut dibaca atau didengar oleh pihak ketiga. Ketiga-tiga syarat ini wajib dipenuhi dan dibuktikan. Gagal untuk membuktikan mana-mana syarat fitnah boleh menyebabkan saman ditolak oleh Mahkamah

3. Fitnah ada berapa jenis?

Fitnah ada dua jenis. Yang pertama dipanggil libel. Libel adalah sejenis fitnah dalam bentuk kekal samada secara bertulis, bercetak atau rakaman. Yang kedua dipanggil slander. Slander pula Adalah sejenis fitnah dalam bentuk lisan atau ucapan.

4. Sekiranya kenyataan yang dibuat itu adalah benar dan betul tetapi ianya memalukan. Bolehkah fail saman malu?

Sekiranya kenyataan tersebut benar dan bukan fitnah, maka peguam lazimnya tidak akan menyarankan saman difailkan kerana saman mungkin ditolak kerana gagal memenuhi syarat fitnah.

5. Fitnah telah dibuat terhadap saya tetapi melalui fake account. Adakah saya boleh failkan saman malu?

Boleh tetapi dengan syarat identity pemilik fake account tersebut dapat dikenal pasti. Kegagalan untuk mendapatkan butir-butir pemfitnah boleh menyebabkan saman tidak dapat didaftarkan

6. Untuk fitnah slander, kita kena buktikan juga kerugian sebenar (actual damages). Ada tak kes-kes yang dikecualikan?

Ada. Ada dua jenis keadaan dimana orang yang difitnah secara lisan tidak perlu membuktikan kerugian sebenar. Pertama, fitnah zina terhadap Wanita dan kedua, fitnah terhadap profesyen atau kerja

7. Bagaimana saya boleh mendapatkan peguam untuk menilai sama ada kes fitnah saya boleh disaman?

Langkah terbaik adalah mendapatkan konsultasi awal dengan peguam supaya kenyataan yang dibuat, bukti-bukti yang ada, identiti pihak yang terlibat, dan kekuatan kes boleh dinilai terlebih dahulu. Untuk mendapatkan peguam bagi mengendalikan atau menilai kes saman malu atau fitnah, boleh hubungi peguam pilihan anda atau jika mahu, boleh klik di sini: Hubungi kami melalui WhatsApp.


Sebagai panduan awal untuk menilai sama ada sesuatu kenyataan itu berpotensi menjadi kes saman fitnah, kami menyediakan Borang Kes Fitnah NorHafeezLaw, melalui link di atas, yang boleh diisi secara dalam talian. Melalui borang ini, anda hanya perlu menjawab beberapa soalan asas berkenaan fakta kes, cara kenyataan dibuat dan disebarkan. Ia membantu memberi gambaran awal sama ada kes anda memenuhi elemen fitnah sebelum mendapatkan nasihat guaman secara lanjut.

_______________________

Hafeez Hazlina Fima Guaman Kuala Lumpur

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.


59 Pertanyaan & Jawapan