>

SAMAN MALU / FITNAH. APA DOKUMEN YANG PERLU ANDA SEDIAKAN?

saman malu

PERSEDIAAN UNTUK SAMAN MALU / FITNAH

1.  Anda mendapati terdapat kenyataan atau tuduhan palsu dibuat terhadap anda dan kenyataan tersebut telah tular di media sosial. Anda telah difitnah. Anda ingin mendapatkan khidmat peguam untuk saman malu / fitnah dan ingin memulakan tindakan. Apakah dokumen yang perlu anda sediakan sebelum anda bertemu dengan peguam pilihan anda?

2. Pertama sekali anda perlu pastikan bahawa kenyataan yang dibuat itu mengandungi dakwaan yang tidak benar dan boleh dibuktikan sebagai palsu, ianya terang-terangan atau secara tersirat merujuk kepada anda dan ianya telah tular di media sosial. Boleh baca DI SINI untuk maklumat lanjut.

3. Kedua, sekiranya fitnah yang tersebar itu dibuat secara kenyataan di media sosial, anda perlu dapatkan tangkapan skrin kenyataan tersebut berserta dengan identiti individu yang menyebarkan kenyataan fitnah tersebut.

4. Sekiranya ianya disebarkan melalui whatsapp, anda perlu pastikan ianya telah tersebar kepada pihak lain dan dapatkan tangkapan skrin whatsapp tersebut bersama dengan nombor telefon dan identiti individu yang menyebarkan kenyataan tersebut.

5. Sekiranya ianya berbentuk kata-kata, maka anda perlu tahu apa perkataan yang digunakan dan anda perlu pastikan yang anda mempunyai saksi yang boleh memberi keterangan bagi pihak anda.

6. Ketiga, seboleh-bolehnya anda perlu mendapatkan identiti individu yang menyebarkan fitnah ke atas anda. Ini termasuklah nama penuh dan alamat individu tersebut. Ini bagi memudahkan urusan peguam untuk memfailkan saman malu / fitnah bagi pihak anda. Kenapa ianya penting? Kerana tanpa nama dan alamat individu tersebut, pemfailan saman tidak dapat difailkan dengan secepat mungkin.

7. Setelah anda dapat mengumpul kesemua maklumat-maklumat ini, buatkan dalam bentuk salinan cetak bagi memudahkan peguam membuat rujukan dan seterusnya jika di rasakan perlu, di masuk kan sebagai dokumen sokongan untuk di rujuk di dalam proses bicara Mahkamah kelak.

8. Jangan menunggu terlalu lama. Anda perlu menghubungi peguam sejurus selepas anda mendapat tahu tentang kenyataan fitnah terhadap anda telah tersebar. Kenapa ianya penting? Kerana menunggu terlalu lama boleh memberi siratan bahawa anda tidak terlalu terkesan dengan fitnah tersebut dan ini akan memberi impak dari segi ganti rugi yang anda boleh perolehi.

9. Sekiranya fitnah tersebut memberi kesan terhadap mental atau fizikal anda, sebagai contoh anda telah mengalami kemurungan, stress, tiada selera makan dan seumpamanya akibat daripada fitnah tersebut, maka anda perlu mendapatkan laporan perubatan. Bawa laporan perubatan tersebut semasa berjumpa dengan peguam anda.

10. Sekiranya anda menjalan perniagaan dan kesan daripada fitnah tersebut telah memberi impak negatif terhadap perniagaan anda, maka anda perlu dapatkan apa-apa dokumen yang boleh menyokong impak negatif tersebut. Ini termasuklah penyata kewangan syarikat dan leja perakaunan.

11. Peguam anda akan menilai dokumen-dokumen yang anda sertakan. Sekiranya anda dapat mengumpul dokumen-dokumen ini dengan lengkap, ianya akan membantu kes anda di Mahkamah kelak.

12. Selepas kesemua dokumen telah dikumpulkan, peguam anda kebiasaannya akan menghantar Notis Tuntutan terhadap individu yang memfitnah anda. Apakah Notis Tuntutan? Baca DI SINI.

Kami juga menyediakan Borang Kes yang anda boleh isi untuk mengetahui secara lebih mudah dan cepat samada anda mempunyai kes fitnah atau pun tidak. Klik BORANG KES FITNAH NORHAFEEZLAW

_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

 SIRI RENCANA SAMAN MALU

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.