>

MENGAPLIKASI SYARAT SAMAN FITNAH

saman malu, saman fitnah, norhafeezlaw

Rencana ini akan cuba memberikan kefahaman lanjut dan mudah berkenaan dengan cara bagaimana syarat-syarat fitnah itu diaplikasi dan dipenuhi di dalam senario harian.

SYARAT SAMAN FITNAH

1. Seperti yang anda sudah sedia maklum melalui rencana-rencana yang terdahulu, tiga (3) syarat utama untuk sesuatu kes fitnah adalah:

(i) kenyataan itu sendiri hendaklah mengandungi tuduhan berbentuk fitnah;

(ii) kenyataan fitnah tersebut hendaklah merujuk atau ditujukan kepada anda secara khusus; dan

(iii) kenyataan fitnah tersebut telah diterbitkan atau disebarkan.

2. Namun, bagaimanakah cara untuk mengaplikasi syarat-syarat fitnah ini di dalam senario atau keadaan seharian?

MENGAPLIKASI SYARAT-SYARAT FITNAH

3. Kita mulakan dengan satu senario yang mudah untuk dijadikan sebagai contoh.

Nor telah memuat naik satu status di platform media sosial facebook yang mana status tersebut mengandungi satu tuduhan yang ditujukan kepada Hafeez berbunyi: "Hafeez, si gembala biri-biri itu, adalah seorang pencuri biri-biri. Berwaspadalah dengan Hafeez sekiranya anda semua sayangkan biri-biri anda".

4. Di dalam situasi ini, sekiranya Hafeez ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap Nor melalui saman malu atau saman fitnah, maka Hafeez hendaklah memenuhi ketiga-tiga syarat fitnah yang dinyatakan di atas.

TUDUHAN BERSIFAT FITNAH

5. Untuk memenuhi syarat fitnah yang pertama, maka Hafeez atau peguamnya perlu menjawab soalan-soalan asas berikut:

(a) Adakah kenyataan Nor terhadap Hafeez itu mengandungi tuduhan palsu? dan

(b) Adakah kenyataan tersebut boleh menyebabkan Hafeez dipandang serong, disisih atau dibenci oleh orang lain?

6. Jika jawapan kepada soalan-soalan asas tersebut adalah ya, maka Hafeez telah dapat memenuhi syarat fitnah yang pertama - tuduhan bersifat fitnah.

IDENTIFIKASI

7. Untuk memenuhi syarat fitnah yang kedua, Hafeez atau peguamnya perlu menjawab soalan-soalan asas seterusnya iaitu:

(a) Adakah nama atau gambar Hafeez dirujuk secara khusus di dalam tuduhan tersebut?

(b) Sekiranya nama atau gambar Hafeez tidak dirujuk, adakah terdapat isyarat lain yang boleh menyebab pembaca memahami bahawa tuduhan tersebut merujuk kepada identiti Hafeez?

8. Sekiranya jawapan kepada soalan-soalan asas tersebut adalah ya, maka Hafeez telah berjaya memenuhi syarat fitnah yang kedua - identiti.

PUBLIKASI

9. Untuk memenuhi syarat yang terakhir pula, Hafeez atau peguamnya perlu menjawab soalan-soalan asas yang berikut:

(a) Adakah tuduhan tersebut dapat diakses dan dibaca oleh sesiapa sahaja?

10. Jika jawapan kepada soalan tersebut adalah ya, maka Hafeez telah dapat memenuhi syarat fitnah yang ketiga - publikasi.

11. Disini, apabila Hafeez telah berjaya memenuhi ketiga-tiga syarat-syarat fitnah yang utama tersebut, maka Hafeez bolehlah mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Nor.

SYARAT SYARAT SAMPINGAN

12. Selain daripada tiga syarat-syarat fitnah utama tersebut, terdapat beberapa lagi syarat-syarat sampingan yang perlu dipertimbangkan.

13. Syarat-syarat ini perlu diambil kira untuk memastikan kes Hafeez di Mahkamah bertambah kukuh dan sukar dicabar.

14. Salah satu daripada syarat sampingan utama adalah; Hafeez perlu membuktikan bahawa orang yang menerbitkan tuduhan-tuduhan tersebut adalah Nor.

KEPENTINGAN KONSULTASI PEGUAM

15. Sekiranya senario di atas berlaku terhadap anda, maka anda sangat-sangat disaran untuk mendapatkan pandangan lanjut daripada peguam yang berpengalaman dengan cara konsultasi.

16. Kenapa? Kerana penilaian seorang pengamal undang-undang yang berpengalaman sudah tentulah jauh berbeza malah lebih mendalam daripada penilaian anda sebagai orang awam.


norhafeezlaw.com


_________________________

Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej dibawah.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.