>

SAMAN MALU ATAU FITNAH 2022

 saman malu, saman fitnah

SAMAN MALU / FITNAH DI TAHUN 2022 - PERBEZAAN DI ANTARA LIBEL DAN SLANDER.

Tindakan Saman Malu / Fitnah hanya boleh dimulakan apabila wujudnya fitnah; suatu tuduhan atau tohmahan yang boleh dibuktikan sebagai palsu. Terdapat dua jenis fitnah disisi undang-undang; yang pertama adalah fitnah jenis Libel; dan yang kedua adalah fitnah jenis Slander. Apakah perbezaan kedua-dua jenis fitnah ini dan apakah signifikan perbezaan kedua-dua jenis fitnah ini?

APA ITU LIBEL?

1. Libel secara lazimnya boleh difahami sebagai fitnah yang dibuat secara bertulis (writing), bercetak (print) ataupun secara bentuk kekal (permanent form). 

2. Ini termasuk kenyataan-kenyataan ataupun imej-imej yang membawa maksud fitnah, yang disebarkan melalui surat, email, penulisan di media sosial dan sebagainya.

3. Sebagai contoh, sekiranya Ahmad telah menyebarkan suatu tuduhan palsu terhadap Ali melalui media sosial, maka Ahmad telah melakukan fitnah libel terhadap Ali, dan Ali boleh memfailkan tindakan saman terhadap Ahmad. 

APA ITU SLANDER?

4. Slander pula secara kebiasaannya boleh diertikan sebagai fitnah/tohmahan yang dibuat melalui ucapan atau percakapan (spoken words) ataupun gerak isyarat (gesture) dan tidak dicetak di dalam mana-mana bentuk.

5. Sebagai contoh, sekiranya Ahmad telah membuat satu tohmahan terhadap Ali melalui ucapannya kepada pihak ketiga, maka Ahmad telah melakukan fitnah Slander dan Ali boleh memfailkan tindakan saman terhadap Ahmad.

APAKAH SIGNIFIKAN PERBEZAAN DI ANTARA LIBEL DENGAN SLANDER?

6. Perbezaan di antara Libel dan Slander amatlah penting di dalam suatu tindakan saman di Mahkamah. Ini adalah kerana syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu boleh memfailkan tindakan bagi Libel dan Slander adalah berbeza.

7. Bagi Saman Malu / Fitnah Libel, orang yang menyaman hanya perlu membuktikan bahawa terdapatnya kenyataan fitnah, kenyataan fitnah tersebut merujuk kepada orang yang menyaman dan kenyataan fitnah tersebut disebarkan kepada pihak ketiga.

8. Bagi Saman Malu / Fitnah Slander pula, selain daripada syarat-syarat yang sama dengan Fitnah Libel, satu lagi syarat yang perlu dipenuhi oleh orang yang menyaman adalah keperluan untuk menunjukkan bahawa beliau telah mengalami kerugian khusus disebabkan oleh fitnah yang disebarkan.

cara saman malu, saman fitnah
APAKAH KERUGIAN KHUSUS DALAM FITNAH?  

9. Kerugian khusus (special damages) bagi maksud tindakan Saman Malu / Fitnah boleh ditakrifkan sebagai kerugian samada berbentuk kewangan (pecuniary) ataupun boleh dianggar atau dinilai dalam bentuk kewangan.

10. Sebagai contoh, disebabkan oleh fitnah yang disebarkan oleh Ahmad, Ali telah mengalami kerugian di dalam bentuk kehilangan pekerjaan atau jawatan ataupun kontrak. Selama mana kerugian tersebut boleh dinilai dalam bentuk kewangan, maka ianya dianggap sebagai kerugian khusus disisi undang-undang fitnah.

11. Kerugian-kerugian khusus ini juga perlu dinyatakan di dalam tuntutan. Butir-butir terperinci hendaklah juga dinyatakan dan sebarang bentuk bukti dokumen untuk menyokong kerugian khusus tersebut juga perlu dinyatakan.

12. Kegagalan untuk menyatakan butir-butir kerugian khusus ini boleh menyebabkan saman dibatalkan oleh Mahkamah.

Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan berikut:

👉 Fitnah libel dan slander (audio video youtube) 

👉 Persediaan untuk Saman Fitnah.

👉 Simple guideline for Defamation Lawsuit

👉 Pembelaan dalam Saman Malu / Fitnah


saman malu fitnah slander dan libel

Kami juga menyediakan Borang Kes yang anda boleh isi untuk mengetahui secara lebih mudah dan cepat samada anda mempunyai kes fitnah atau pun tidak. Klik BORANG KES FITNAH NORHAFEEZLAW


Hubungi kami di 0129797494 (waktu pejabat sahaja - 9.00 pagi hingga 6.00 petang) atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.