>

DEFINISI PINJAMAN ATAU HUTANG FRIENDLY LOAN

definisi pinjaman hutang friendly loan


Dikemaskini pada: 20 Februari 2026

Pinjaman atau hutang persahabatan atau friendly loan ialah pinjaman berasaskan kepercayaan tanpa sebarang faedah atau pulangan lebihan. Tidak semua pinjaman antara individu adalah friendly loan

Jika terdapat elemen faedah tersurat atau tersirat, di dalam keadaan tertentu, Mahkamah boleh mengklasifikasikannya sebagai aktiviti moneylending dan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 mungkin terpakai.

Istilah “friendly loan” kerap digunakan secara longgar dalam transaksi hutang. Dalam litigasi, label ini tidak menentukan apa-apa. Mahkamah akan menilai sifat sebenar transaksi berdasarkan bukti, niat pihak-pihak, dan realiti pembayaran.

Rencana ini menghuraikan definisi friendly loan, batasannya, serta perbezaannya dengan pinjaman oleh pemberi pinjam wang, berdasarkan prinsip undang-undang dan dapatan Mahkamah di Malaysia.

Adakah semua pinjaman merupakan friendly loan?

Tidak. Hakikat bahawa pinjaman atau hutang yang dibuat antara individu tidak secara automatik menjadikannya pinjaman persahabatan. 

Mahkamah lazimnya menolak pendekatan formalistik yang hanya bergantung kepada label atau istilah digunakan.

Jika terdapat bayaran lebihan, pulangan tambahan, atau apa-apa bentuk keuntungan kepada pemberi pinjam, transaksi tersebut berisiko diklasifikasikan sebagai pinjaman berfaedah.

Satu lagi salah faham lazim ialah friendly loan mesti melibatkan hubungan persahabatan. Di dalam beberapa kes yang telah diputuskan, Mahkamah telah menjelaskan bahawa hubungan peribadi bukanlah elemen tunggal yang menentukan sesuatu hutang itu adalah friendly loan.

Definisi pinjaman persahabatan menurut Mahkamah

Mahkamah mentakrifkan friendly loan sebagai pinjaman berasaskan kepercayaan di antara pemberi hutang (pemiutang) dan penerima hutang (penghutang), dengan kewajipan bayaran balik dalam tempoh tertentu, tanpa sebarang faedah dikenakan.

Elemen paling kritikal ialah ketiadaan faedah. Istilah faedah atau “interest” tidak perlu dinyatakan secara jelas; apa-apa lebihan melebihi prinsipal boleh ditafsirkan sebagai faedah.

Dokumen seperti IOU, perjanjian ringkas, atau cagaran tidak menukar sifat friendly loan, selagi jumlah bayaran balik adalah sama dengan jumlah wang dipinjam.

Pemakaian Akta Pemberi Pinjam Wang 1951

Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 tidak bertujuan mengharamkan semua transaksi pinjaman. Akta ini menyasarkan individu yang menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang.

Definisi “moneylending” di bawah Akta menekankan elemen pinjaman berfaedah. Oleh itu, friendly loan yang benar-benar tanpa faedah lazimnya berada di luar skop Akta.

Namun, Seksyen 10OA memperuntukkan satu anggapan undang-undang. Bukti satu pinjaman berfaedah boleh menimbulkan anggapan bahawa pemberi pinjam menjalankan perniagaan moneylending.

Anggapan ini boleh dipatahkan, tetapi beban pembuktian beralih kepada pemberi pinjam. Dalam konteks litigasi, ini mewujudkan risiko ketara kepada pihak yang menuntut bayaran balik.

Mahkamah juga berhak meneliti bukti luaran dan perlakuan pihak-pihak sekiranya dokumen perjanjian disyaki sebagai satu helah atau transaksi bersifat “sham”.

Perbezaan friendly loan dan pinjaman moneylending

Friendly loan lazimnya bersifat sekali-sekala, berasaskan kepercayaan, dan tidak bertujuan menjana keuntungan. Ia biasanya dibuat untuk membantu pihak lain secara sementara.

Pinjaman moneylending pula melibatkan faedah dan lazimnya menunjukkan unsur sistem, kesinambungan, atau pengulangan transaksi yang mencerminkan suatu perniagaan pemberian pinjaman atau hutang.

Di Malaysia, pihak-pihak yang menjalankan perniagaan pemberian pinjaman wang ini lazimnya dikenali sebagai Along atau Ceti.

Dalam keadaan tertentu, pinjaman berfaedah yang bersifat sampingan kepada hubungan perniagaan sedia ada boleh mematahkan anggapan moneylending, tertakluk kepada bukti yang kukuh.

Soalan Lazim (FAQ)

Adakah friendly loan mesti dibuat secara lisan?
Tidak. Friendly loan boleh dibuat secara bertulis. Dokumen membantu pembuktian tetapi tidak menukar sifat pinjaman jika tiada faedah.

Bolehkah friendly loan mengenakan caj pentadbiran?
Berisiko. Jika caj tersebut melebihi kos sebenar atau berfungsi sebagai pulangan, Mahkamah boleh mentafsirkannya sebagai faedah tersirat.

Adakah satu pinjaman berfaedah terus menjadikan seseorang moneylender?
Undang-undang mewujudkan satu anggapan. Ia boleh dipatahkan, tetapi beban bukti terletak pada pemberi pinjam.

Adakah Mahkamah terikat kepada kandungan perjanjian semata-mata?
Tidak. Mahkamah boleh melihat realiti transaksi dan bukti luaran untuk menentukan sifat sebenar pinjaman.

_______________________

Hafeez Hazlina Fima Guaman Kuala Lumpur

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej di atas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.