Pinjaman persahabatan atau friendly loan tidak boleh dikenakan faedah kerana sebarang pinjaman berfaedah tanpa lesen boleh menjadikan perjanjian hutang atau tuntutan hutang tidak boleh dikuatkuasakan di Mahkamah.
Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 hanya membenarkan pinjaman berfaedah oleh pemberi pinjam wang berlesen. Tanpa lesen, pemiutang berisiko kehilangan hak tuntutan.
Ramai pemiutang beranggapan bahawa selagi hutang dan faedah itu dipersetujui di antara pemberi hutang dan penerima hutang, maka mereka boleh mengenakan faedah. Namun dari sudut undang-undang Malaysia, anggapan ini berbahaya dan sering membawa kepada kegagalan tuntutan.
Artikel ini menjelaskan mengapa friendly loan tidak boleh dikenakan faedah, bagaimana Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 berfungsi, dan apakah risiko sebenar kepada pemiutang yang memberi pinjam wang tanpa lesen.
Asas undang-undang larangan faedah
Hutang Friendly loan dibenarkan kerana ia tidak bersifat komersial dan tidak bertujuan menjana keuntungan. Sebaik sahaja faedah dikenakan, sifat pinjaman tersebut berubah secara undang-undang.
Undang-undang Malaysia membezakan antara bantuan kewangan berasaskan kepercayaan atau persahabatan (friendly loan) dengan perniagaan pemberi pinjam wang (moneylending business). Perbezaan ini penting kerana ia menentukan sama ada lesen diperlukan.
Jika faedah dikenakan, pemberi pinjam boleh dianggap menjalankan aktiviti moneylending. Aktiviti ini hanya sah jika dilakukan oleh pemberi pinjam wang berlesen.
Seksyen 15 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951
Seksyen 15 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 memperuntukkan seperti berikut:
“Contract by unlicensed moneylender unenforceable15. No moneylending agreement in respect of money lent after the coming into force of this Act by an unlicensed moneylender shall be enforceable.”
Peruntukan ini jelas. Jika seseorang memberi pinjam wang sebagai pemberi pinjam wang tanpa lesen, perjanjian pinjaman tersebut tidak boleh dikuatkuasakan di Mahkamah.
Mahkamah tidak akan membantu menguatkuasakan perjanjian yang melanggar Akta. Ini termasuk tuntutan untuk mendapatkan semula wang pokok atau faedah.
Maksud “interest” di bawah Undang-Undang
Akta mentakrifkan “interest” atau faedah secara luas. Seksyen 2 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 memperuntukkan:
“interest’ does not include any sum lawfully charged in accordance with this Act by a moneylender for or on account of stamp duties, fees payable by law and legal costs but, save as aforesaid, includes any amount by whatsoever name called in excess of the principal paid or payable to a moneylender in consideration of or otherwise in respect of a loan.”
Definisi ini bermaksud faedah bukan sekadar kadar peratus. Apa-apa bayaran lebihan melebihi jumlah hutang pokok atau prinsipal, walau dinamakan apa sekalipun, boleh dianggap sebagai interest.
Caj pentadbiran, bayaran perkhidmatan, atau pulangan “goodwill” juga boleh jatuh dalam definisi interest jika ia memberi lebihan atau keuntungan kepada pemiutang.
Apa maksud perjanjian menjadi tidak boleh dikuatkuasakan (unenforceable)?
Sebagai contoh, seorang individu memberi pinjam wang sebanyak RM50,000 kepada pihak lain dan mensyaratkan bayaran balik RM60,000 dalam tempoh enam bulan.
Walaupun perjanjian tersebut dipersetujui secara bertulis, lebihan RM10,000 itu boleh ditafsirkan sebagai faedah di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Jika pemberi pinjam tersebut tidak mempunyai lesen pemberi pinjam wang, Mahkamah boleh memutuskan bahawa perjanjian pinjaman itu tidak boleh dikuatkuasakan.
Akibatnya, pemiutang tidak boleh menggunakan proses Mahkamah untuk menuntut bayaran balik, dan penghutang boleh mencabar tuntutan tersebut berdasarkan Akta.
Apabila perjanjian pinjaman menjadi tidak boleh dikuatkuasakan selaras dengan peruntukan S.15 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, pemiutang tidak boleh menggunakan Mahkamah untuk menuntut bayaran balik hutang tersebut.
Ini bermakna saman untuk tuntutan hutang boleh ditolak, digugurkan, atau dipertahankan dengan jayanya oleh penghutang menggunakan Akta.
Dalam istilah praktikal, pemiutang mungkin telah menyerahkan wang, tetapi kehilangan remedi undang-undang untuk mendapatkannya kembali melalui proses Mahkamah.
Bagaimana penghutang boleh mencabar tuntutan
Sekiranya pemberi hutang memfailkan saman terhadap Penghutang berasaskan perjanjian hutang yang mengenakan faedah, Penghutang berhak mencabar tuntutan hutang tersebut dengan berhujah bahawa pemiutang ialah pemberi pinjam wang tanpa lesen yang telah mengenakan faedah.
Jika Mahkamah menerima hujahan ini, S.15 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 boleh digunakan untuk menolak penguatkuasaan perjanjian pinjaman tersebut.
Atas sebab ini, pemiutang perlu berhati-hati. Memberi pinjam wang dengan faedah tanpa lesen bukan sahaja berisiko, malah boleh memusnahkan keseluruhan tuntutan.
Rujukan berkaitan:
Soalan Lazim (FAQ)
_______________________


0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.