>

MEMAHAMI BANKRAP / MUFLIS

bankrap, muflis, insolvensi, bankrap di malaysia, luar negara bankrap

BANKRAP / MUFLIS

Kita selalu mendengar tentang terma bankrap atau muflis. Apakah yang dimaksudkan dengan bankrap atau muflis di Malaysia? Apakah undang-undang bankrapsi dan proses serta prosedur kebankrapan? Bagaimana pula seseorang itu boleh dibankrapkan? Apa akan berlaku sekiranya seseorang itu telah dibankrap?

UNDANG-UNDANG KEBANKRAPAN

1. Undang-undang yang menjadi panduan kepada proses dan prosedur kebankrapan atau muflis adalah Akta Insolvensi 1967 dan Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017.

2. Akta dan Kaedah ini menggariskan panduan yang lengkap tentang undang-undang kebankrapan serta proses dan prosedur sesuatu prosiding kebankrapan.

APA ITU BANKRAP ATAU MUFLIS?

3. Secara mudahnya, bankrapsi individu (personal bankruptcy) adalah suatu proses undang-undang dimana seseorang penghutang (orang yang berhutang/debtor) diisytiharkan sebagai seorang yang bankrap atau muflis melalui Perintah Kebankrapan (Bankruptcy Order) di Mahkamah.

4. Lazimnya ini berlaku apabila anda gagal membayar hutang (yang disahkan melalui satu Penghakiman Mahkamah atau Judgment) dimana jumlah hutang tersebut adalah RM100,000.00 dan ke atas.

BAGAIMANA SESEORANG ITU BOLEH DIBANKRAPKAN?

5. Pada kebiasaanya, sebelum seseorang itu boleh dibankrapkan atau dimufliskan oleh pemiutang (orang yang memberi hutang / creditor), penghutang akan di saman terlebih dahulu.

6. Untuk konteks rencana ini, pemiutang kebiasaanya adalah pihak institusi kewangan seperti bank-bank. Kadangkala syarikat-syarikat dan individu juga boleh menjadi pemiutang.

7. Apabila pemiutang telah mendapat Penghakiman yang mengesahkan hutang tersebut dan amaun hutang tersebut adalah RM100,000.00 dan ke atas, barulah pemiutang boleh memulakan prosiding untuk membankrapkan penghutang.

APA YANG BERLAKU SEKIRANYA DIBANKRAPKAN?

8. Secara umumnya, apabila anda dibankrapkan, hak terhadap segala harta dan aset milik anda akan diletakkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi.

9. Maksudnya, selepas diisytiharkan muflis, anda tidak lagi boleh berurusan dengan harta dan aset milik anda secara bebas.

10. Selain daripada itu, apabila dibankrapkan, anda juga tertakluk kepada tanggungjawab, sekatan dan halangan tertentu yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

TANGGUNGJAWAB ORANG BANKRAP

11. Apabila anda diisytiharkan muflis, terdapat tanggungjawab-tanggungjawab yang anda perlu laksanakan.

12. Pertamanya, anda perlu hadir ke cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia (Malaysian Department of Insolvency / MDI) yang terdekat untuk satu sesi temu kenal.

13. Yang kedua, anda perlu memfailkan Penyata Hal Ehwal (Statement of Affairs) di MDI. Penyata Hal Ehwal ini adalah satu borang di mana anda perlu menyenaraikan kesemua harta-harta dan aset-aset milik anda atau yang didaftarkan atas nama anda. 

14. Ini termasuklah rumah atau tanah, kenderaan, wang tunai, baki bank, stok perniagaan, mesin, barang kemas, perabot, pelaburan, polisi insuran dan sebagainya. 

15. Anda juga perlu menyenaraikan senarai pemiutang-pemiutang dan juga senarai liabiliti anda.

16. Yang ketiga, anda perlu memfailkan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan setiap 6 Bulan. Melalui penyata ini, anda perlu memaklumkan pendapatan bulanan anda dan juga perbelanjaan bulanan anda.

17. Apabila pihak MDI menerima Penyata Hal Ehwal dan Penyata Pendapatan daripada anda, pihak MDI akan memutuskan bayaran yang perlu anda buat setiap bulan untuk melunaskan hutang-hutang anda. 

18. Jadi tanggungjawab anda yang keempat adalah untuk membuat pembayaran amaun yang ditetapkan secara teratur. Pembayaran boleh dibuat secara potongan gaji, tunai di kaunter atau secara atas talian.

KELAYAKAN ORANG BANKRAP

19. Apabila anda diisytiharkan bankrap, anda hilang kelayakan untuk memegang jawatan dalam mana-mana badan berkanun, badan berkuasa tempatan atau sebagai hakim atau majistret atau ahli dewan rakyat, negara atau undangan negeri.

PENJAWAT AWAM BANKRAP

20. Sekiranya anda muflis sebelum perlantikan, maka kemungkinan besar, anda tidak akan dapat dilantik sebagai seorang penjawat awam kerana mana-mana calon yang bankrap tidak boleh dilantik kedalam perkhidmatan awam.

21. Sekiranya anda muflis selepas anda diambil berkerja dalam sektor perkhidmatan awam, anda boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh jabatan anda.

22. Sekiranya anda dibankrapkan selepas anda bersara daripada perkhidmatan awam, pencen dan faedah-faedah kewangan lain yang anda terima boleh dihentikan dan dipotong. 

HALANGAN TERHADAP ORANG BANKRAP

23. Apabila anda bankrap, anda tidak lagi boleh keluar negara dan nama anda akan disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen. Kecuali anda mendapat kebenaran Mahkamah atau kelulusan dari Ketua Pengarah Insolvensi.

24. Akaun-akaun bank anda juga akan dibekukan dan ditutup. Anda hanya dibenarkan mengaktifkan satu akaun bank sahaja untuk tujuan gaji.

25. Sebagai seorang yang muflis, anda juga dihalang daripada menjalankan perniagaan samada secara sendiri atau perkongsian tanpa kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi.

26. Anda juga perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak tentang status anda sebagai seorang yang muflis sekiranya anda berhasrat untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak tersebut.

27. Seorang bankrap juga hilang kelayakan untuk mengambil sebarang tindakan Mahkamah terhadap pihak lain tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi.

Lawati www.mykebankrapan.com untuk mendapatkan rencana-rencana terbaru tentang kebankrapan di Malaysia.

_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.


 

2 Pertanyaan & Jawapan

  1. Assalamualaikum...sy ingin bertanya adakah pihak institusi kewangan yang lain2 boleh membuat tuntutan terhadap saya...sekiranya saya sudah diistiharkan bankruptcy oleh pihak bank (××××)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam. Bank perlu mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pengarah Insolvensi sebelum boleh memfailkan tindakan saman terhadap cik.

      Padam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.