Nor Hafeez Law
  • Utama
  • Profil
  • Hubungi Saya
  • MYkebankrapan
  • Himpunan Artikel
  • AI.RA Chatbot
  • Privasi

scam pelaburan, pelaburan emas, ponzi, piramid

SCAM PELABURAN BAHAGIAN 3

Apakah tindakan yang perlu anda lakukan sebelum membuat apa-apa pembayaran kedalam apa-apa pelaburan yang ditawarkan kepada anda? Sekiranya anda terjebak dan mendapati pelaburan yang anda telah masuk itu adalah satu scam, apa perlu anda buat? Adakah boleh menyaman scammer?

1. Memandangkan scam-scam dan penipuan-penipuan kewangan yang berleluasa, adalah amat penting untuk kita semua sentiasa berwaspada dan berhati-hati sebelum membuat sebarang tindakan.

2. Lengkapkan diri dengan maklumat tentang jenis-jenis penipuan kewangan dengan memuat turun dan membaca Pamphlet yang telah disediakan oleh pihak Bank Negara Malaysia dibawah.

Pamphlet BNM - Jenis Scam Kewangan

3. Lengkapkan diri dengan informasi dan maklumat yang secukupnya sebelum terlibat dengan apa jua jenis pelaburan yang ditawarkan kepada anda. 

4. Sentiasa waspada tentang bendera-bendera amaran (red flags) ataupun maklumat-maklumat yang menimbul syak dan wasangka. 

5. Ikuti kempen #TakNakScam yang merupakan satu kerjasama yang dijalankan oleh Jabatan CCID Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDNHEP, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM), CyberSecurity Malaysia (CSM), Fomca dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia) untuk membenteras scam. Rujuk laman dibawah untuk maklumat lanjut.

https://wethinkdigital.fb.com/my/en-my/taknakscam/

6. Sebelum membuat pembayaran kedalam mana-mana akaun untuk tujuan apa-apa pelaburan yang ditawarkan kepada anda, anda disarankan untuk memeriksa akaun tersebut melalui perkhidmatan yang disediakan oleh CCID Scam Response Centre Polis DiRaja Malaysia dibawah.

https://semakmule.rmp.gov.my/

7. Sekiranya anda mendapati pelaburan yang telah anda sertai adalah skim-skim penipuan, maka anda disaran membuat laporan kepada pihak berkuasa dengan secepat mungkin.

8. Anda juga boleh merujuk kepada peguam-peguam pilihan anda untuk mendapatkan nasihat perundangan tentang cara-cara untuk mendapatkan semula wang yang telah anda laburkan melalui tindakan saman di Mahkamah.

BACAAN LANJUT TENTANG SCAM

👉 Scam Pelaburan Bhg 1 (Jenis-Jenis Scam Pelaburan) 

👉 Scam Pelaburan Bhg 2 (Tanda-Tanda Amaran Kemungkinan Scam Pelaburan)
 
👉 Scam Pelaburan Bhg 3 (Cara menyemak Scam pelaburan)
 
👉 Scam Saman dan Penghakiman Palsu
 
👉 Scam Panggilan Telefon Dari Mahkamah atau Peguam

saman pelaburan, saman scammer, scammer


saman scam pelaburan, gold scam, gold buyback scam, scam beli emas

SCAM PELABURAN BAHAGIAN 2

Sepertimana yang kita sedia maklum, scam-scam pelaburan di Malaysia dewasa ini sememangnya berleluasa dan mempunyai pelbagai jenis. Dari scam emas, scam ponzi, scam piramid dan sebagainya.

1. Bagaimana untuk mengenali tanda-tanda atau bendera amaran (red flag) yang perlu diambil kira apabila berhadapan dengan tawaran-tawaran pelaburan yang mempunyai kemungkinan scam ini?

BENDERA AMARAN PETANDA SCAM

JAMINAN TIADA RISIKO

2. Setiap pelaburan lazimnya akan sentiasa mempunyai risiko. Apabila anda ditawarkan dengan peluang perlaburan dengan janji ianya adalah tanpa risiko dengan pulangan lumayan, maka anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

PULANGAN BULANAN TINGGI SECARA KONSISTEN

3. Sepertimana kita semua tahu, pelaburan mempunyai risiko turun naik bergantung kepada keadaan ekonomi dan pasaran. Namun apabila peluang pernigaan itu memberi jaminan bahawa anda akan menerima pulangan atau dividen tinggi setiap bulan secara konsisten tanpa mengira keadaan ekonomi atau pasaran pelaburan, maka anda perlu berhati-hati.

SYARIKAT-SYARIKAT YANG MERAGUKAN

4. Anda boleh memeriksa maklumat dan pendaftaran sesebuah syarikat atau perniagaan itu melalui laman Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Apabila sesebuah syarikat itu didaftarkan untuk menjalankan sesuatu perniagaan lain tetapi menawarkan perlaburan diluar skop perniagaan mereka, maka anda wajar menilai keputusan anda dengan lebih cermat.

saman pelaburan, saman scammer, scammer

PELABURAN TIDAK BERDAFTAR

5. Kadangkala pelaburan-pelaburan yang ditawarkan, tidak didaftarkan dan syarikat-syarikat yang mengutip wang pelaburan daripada anda sebenarnya tidak mempunyai lesen untuk berbuat demikian.

PEMBAYARAN KE AKAUN PERIBADI ATAU OFF SHORE

6. Anda perlu berwaspada sekiranya pembayaran yang anda perlu buat, perlu dibayar ke akaun-akaun peribadi atau off shore atau akaun syarikat-syarikat yang meragukan lebih-lebih lagi dengan dakwaan bayaran ke akaun pihak ketiga perlu dibuat sebelum ianya dimasukkan kedalam akaun utama pelaburan.

BACAAN LANJUT TENTANG SCAM

👉 Scam Pelaburan Bhg 1 (Jenis-Jenis Scam Pelaburan) 

👉 Scam Pelaburan Bhg 2 (Tanda-Tanda Amaran Kemungkinan Scam Pelaburan)
 
👉 Scam Pelaburan Bhg 3 (Cara menyemak Scam pelaburan)
 
👉 Scam Saman dan Penghakiman Palsu
 
👉 Scam Panggilan Telefon Dari Mahkamah atau Peguam

 saman JMB

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

saman defaulter JMB MC


saman palsu, scam saman, scam penghakiman

SCAM SAMAN ATAU PENGHAKIMAN PALSU

Dikemas kini pada: 21 November 2025

Anda menerima satu dokumen yang kelihatan seperti Saman atau Penghakiman mahkamah. Masalahnya: anda langsung tidak pasti sama ada dokumen itu tulen ataupun sebenarnya hanya taktik scammer yang mahu memeras wang.

Dalam artikel ini, kita akan terangkan dengan cara paling mudah, paling cepat dan paling selamat untuk menyemak ketulenan mana-mana dokumen “mahkamah” menggunakan sistem QR Code rasmi Mahkamah Malaysia.

Kandungan Artikel:
  • Scam saman: bagaimana ia beroperasi?
  • Cara menyemak saman atau penghakiman palsu
  • Tanda-tanda dokumen palsu
  • Apa tindakan selamat yang perlu anda ambil?

1. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam rencana lalu, scam menggunakan Saman Palsu adalah antara taktik yang paling kerap dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mereka tahu majoriti orang awam tidak biasa membaca dokumen mahkamah, jadi rasa takut itu mudah digunakan untuk memeras wang.

2. Tujuan scammer sentiasa sama — menakut-nakutkan mangsa dengan dokumen yang kelihatan seperti Saman atau Penghakiman supaya mangsa bertindak terburu-buru dan membuat bayaran.

3. Disebabkan banyak aduan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia memperkenalkan sistem pengesahan dokumen melalui kod QR bagi memastikan setiap Saman, Perintah atau Penghakiman boleh disemak secara rasmi.

4. Kod QR ini berfungsi sebagai cara paling cepat untuk mengesahkan ketulenan dokumen mahkamah. Ia membawa anda terus ke pangkalan data e-Court tanpa melalui pihak ketiga.

5. Syarat penting: setiap dokumen mahkamah tulen mempunyai kod QR pada setiap muka surat. Jika tiada, itu adalah bendera merah atau sempadan yang serius dan sangat besar kemungkinan dokumen itu palsu.

6. Kod QR itu pula mesti membawa kita ke laman rasmi: https://ecourt.kehakiman.gov.my.

7. Jika imbasan membawa ke laman lain, ke Google Drive, ke PDF rawak, atau ke laman tidak dikenali — itu bendera merah kedua. Pastikan QR tersebut pergi ke laman rasmi Kehakiman.gov.my.

8. Sekiranya QR tersebut tulen, sistem e-Court akan memaparkan dokumen rasmi dalam pangkalan data mereka. Kita boleh bandingkan kedua-dua versi untuk memastikan semuanya sepadan.

9. Kaedah ini pantas, percuma dan boleh dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa. Jangan sekali-kali membuat bayaran kepada individu yang mengaku “peguam mahkamah” atau “pegawai mahkamah” melainkan dokumen telah disahkan.

10. Kesimpulannya: jangan panik apabila menerima dokumen - dokumen seperti “notis sitaan”, “penghakiman segera”, atau “waran tangkap” sedangkan semuanya kelihatan pelik. Imbas kod QR, semak ketulenan, dan elakkan daripada menjadi mangsa scam.

SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN SCAM SAMAN & DOKUMEN PALSU

1. Adakah semua dokumen mahkamah mempunyai kod QR?
Ya. Semua dokumen rasmi yang dikeluarkan melalui sistem e-Court akan mempunyai kod QR pada setiap muka surat.

2. Jika dokumen tiada kod QR, adakah ia pasti palsu?
Sangat besar kemungkinan palsu. Dokumen tanpa QR biasanya tidak dikeluarkan melalui sistem rasmi mahkamah.

3. QR Code saya imbas tetapi tiada paparan dokumen di e-Court. Apa maksudnya?
Jika imbasan tidak memaparkan dokumen rasmi, itu tanda kuat dokumen tersebut tidak wujud dalam rekod mahkamah.

4. Bolehkah scammer mencipta QR Code palsu?
Boleh, tetapi QR palsu tidak akan membawa ke halaman e-Court. Itu indikator paling mudah untuk kesan penipuan.

5. Bolehkah pihak mahkamah menelefon untuk minta bayaran?
Tidak. Mahkamah tidak mengutip wang melalui telefon atau WhatsApp. Semua bayaran dibuat hanya melalui kaunter atau sistem rasmi.

Rujukan berkaitan:

• Scam Pelaburan Bhg 1 Baca di sini

• Scam Pelaburan Bhg 2 Baca di sini

• Scam Pelaburan Bhg 3 Baca di sini

• Scam Panggilan “Mahkamah” Baca di sini

_______________________

tipu tanah, tipu pejabat tanah

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

scam pelaburan emas, pelaburan scam, penipuan pelaburan,

SCAM PELABURAN  (BAHAGIAN 1)

Scam pelaburan emas? Scam Forex? Scam pelaburan perniagaan? Scam skim Ponzi? Anda mendapat maklumat bahawa terdapat satu peluang pelaburan yang membawa pulangan yang tinggi dan konsisten. Tanpa berfikir panjang, anda pun membuat pelaburan. Tanpa anda sedari, akhirnya anda menjadi mangsa scam pelaburan. 

Apa yang perlu anda tahu tentang penipuan pelaburan sebegini? Apa yang boleh anda buat sekiranya anda di tipu dalam scam pelaburan?

SCAM PELABURAN BERLELUASA

1. Sepanjang tahun, ada sahaja pihak yang tidak bertanggungjawab menggambil kesempatan terhadap orang lain melalui scam pelaburan atau penipuan pelaburan.

2. Diantara scam-scam pelaburan yang popular di Malaysia adalah scam pelaburan emas, scam skim piramid dan Ponzi dan juga scam forex atau tukaran matawang asing. Setiap scam ini melibatkan kerugian bernilai sehingga jutaan ringgit. 

3. Scam-scam pelaburan ini lazimnya menjanjikan pulangan pelaburan bulanan yang sangat tinggi, lumayan dan konsisten. 

4. Janji-janji tersebut secara tak lansung menjadi tarikan kepada orang ramai untuk terlibat di dalam pelaburan-pelaburan sebegini.

5. Seperti yang biasa kita dengar, scam-scam sebegini akan membuat pembayaran secara konsisten pada beberapa bulan pertama. Ini menambah lagi keyakinan bahawa scam-scam tersebut adalah sah dan betul.

6. Dan selepas beberapa ketika, pembayaran akan mula lambat dan lewat dan akhirnya, mangsa tidak lagi akan menerima sebarang pembayaran. 

7. Kadangkala pelabur-pelabur tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan sedari awal.

8. Lebih teruk, syarikat-syarikat atau individu-individu yang mempromosikan scam-scam pelaburan ini, menghilang begitu sahaja. Tidak menjawab panggilan telefon, mesej atau tidak dapat dikesan sama sekali.

9. Akhirnya anda hanya mengetahui dan sedar bahawa peluang pelaburan yang anda sertai itu tidak lain tidak bukan melainkan hanya satu scam atau penipuan semata-mata. 

10. Lebih-lebih lagi apabila anda mendapat maklumat di media sosial, akhbar atau kaca televisyen bahawa skim-skim yang anda sertai itu telah disenaraihitamkan oleh Bank Negara atau diambil tindakan di Mahkamah.

#rujukpeguam, rujuk peguam, peguam scam, saman scammer


MENGENALI JENIS-JENIS SCAM POPULAR DI MALAYSIA

SKIM PIRAMID

11. Scam skim piramid (pyramid Scheme) adalah dimana skim tersebut menjanjikan pembayaran semata-mata melalui pengambilan (recruitment) ahli-ahli baru (head hunting) dan tidak melalui jualan-jualan produk. 

12. Setiap ahli pada aras atau hirarki lebih tinggi akan menerima sejumlah bayaran daripada setiap bayaran yang dibuat oleh setiap rekrut baru. 

13. Ahli-ahli baru ini akan diperlukan untuk mencari dan merekrut (head hunt) ahli-ahli yang lebih baru dibawah mereka untuk membolehkan mereka pula mendapat sejumlah bayaran daripada yuran bayaran ahli-ahli yang mereka rekrut.

14. Lebih tinggi kedudukan seseorang di dalam tangga atau hirarki piramid tersebut, maka lebih tinggi pembayaran yang akan beliau terima dari setiap aras atau "kaki-kaki" di bawahnya.

15. Sistem piramid sebegini lazimnya akan roboh apabila sudah tiada lagi orang untuk direkrut bagi menyertai skim tersebut.

SKIM PONZI / SKIM CEPAT KAYA

16. Skim ponzi adalah hampir sama dengan skim piramid kerana ianya juga melibatkan penggunaan wang yang diterima daripada ahli baru untuk membayar pulangan palsu (fake returns) kepada ahli-ahli aras atas.

17. Skim jenis ini akan menjanjikan bahawa wang yang "dilaburkan" oleh ahli akan dilaburkan oleh syarikat ponzi kedalam apa-apa pelaburan-pelaburan mega yang akan membawa keuntungan besar sedangkan sebenarnya pelaburan tersebut tidak berlaku. 

18. Fake Returns atau komisyen yang diterima ahli-ahli sebenarnya adalah dari ahli-ahli baru yang menyertai skim tersebut.

19. Perbezaan utama diantara scam skim piramid dengan skim Ponzi adalah skim piramid bergantung kepada head hunting atau pencarian ahli baru, manakala Skim Ponzi bergantung kepada janji pelaburan yang lumayan tanpa terlalu bergantung kepada aktiviti head hunting.

20. Diantara skim ponzi yang masyhur di Malaysia adalah skim FX Capital dan Island Red Cafe.

SCAM PELABURAN EMAS

21. Scam pelaburan emas atau skim pembelian semula emas (gold buyback scheme) adalah di antara scam pelaburan yang mendapat perhatian dan semakin popular sejak kebelakangan ini.

22. Pelabur akan diminta untuk membeli emas daripada syarikat tertentu dengan janji-janji bahawa pelabur akan menikmati pulangan dividen yang tinggi setiap bulan dari tarikh pembelian.

23. Pelabur juga dijanjikan bahawa syarikat tersebut akan membeli semula emas tersebut dengan harga belian asal, walaupun di dalam keadaan harga emas pasaran menurun.

24. Pelabur bukan sahaja akan menikmati bayaran dividen bulanan yang tinggi bahkan akan dapat menjual semula emas yang dibeli itu dengan harga belian asal.

25. Ini memberi gambaran bahawa pelaburan yang dibuat itu selamat dan tidak akan merugikan kerana pelabur masih menerima amaun asal yang dibayar untuk emas tersebut daripada syarikat, walaupun selepas menerima bayaran dividen setiap bulan.

26. Kadang-kadang pelabur akan ditawarkan dengan penyerahan emas fizikal untuk dibawa pulang yang secara tidak lansung membina kepercayaan pelabur terhadap syarikat tersebut.

27. Diantara pelaburan emas yang telah tersungkur di Malaysia adalah Genneva Malaysia dan Suisse International di Singapura.  

28. Sentiasa berwaspada. Pepatah ada mengatakan "if it sounds too good to be true, it probably is". Jika kedengarannya terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, sememangnya ianya tidak. 

29. Namun sekiranya anda telah tertipu dan telah kehilangan beribu, belasan ribu, puluhan ribu atau ratusan ribu ringgit, jika tidak jutaan, apa tindakan yang perlu dan boleh anda buat? Baca seterusnya.

👉 Scam Pelaburan Bhg 1 (Jenis-Jenis Scam Pelaburan) 

👉 Scam Pelaburan Bhg 2 (Tanda-Tanda Amaran Kemungkinan Scam Pelaburan)
 
👉 Scam Pelaburan Bhg 3 (Cara menyemak Scam pelaburan)
 
👉 Scam Saman dan Penghakiman Palsu
 
👉 Scam Panggilan Telefon Dari Mahkamah atau Peguam
 
saman JMB

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

saman defaulter JMB MC


latent defects, kecacatan rumah, defect liability period

 

 syarikat keluar dari senarai daftar ssm

CARA MENGHIDUPKAN SYARIKAT YANG DIBATALKAN OLEH PENDAFTAR SYARIKAT DI TAHUN 2022

Terdapat pelbagai sebab kenapa sesebuah syarikat dibatalkan dan dibubar (striking off of companies) oleh Pendaftar Syarikat pada tahun 2022. Apa yang perlu dilakukan? Apakah cara untuk menghidupkan syarikat yang dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Syarikat?

KUASA MEMOTONG NAMA SYARIKAT 

1. Akta Syarikat 2016 memberi kuasa kepada Pendaftar Syarikat untuk memotong nama mana-mana syarikat melalui seksyen 549 Akta Syarikat 2016. 

2. Pemotongan ini bermaksud, nama syarikat tersebut akan dikeluarkan daripada senarai daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang seterusnya menyebabkan syarikat tersebut dibubarkan.

KENAPA NAMA SYARIKAT BOLEH DIPOTONG?

3. Pendaftar Syarikat akan membuat pemotongan nama sesuatu syarikat sekiranya Pendaftar Syarikat mendapati, di antara lainnya, bahawa syarikat tersebut telah tidak lagi beroperasi atau menjalankan aktiviti perniagaan; atau syarikat tersebut telah melanggar mana-mana peruntukan yang terkandung di dalam Akta Syarikat; atau syarikat tersebut digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. Terdapat beberapa sebab lagi yang boleh menyebabkan syarikat memotong nama syarikat.

4. Di antara sebab yang paling lazim kenapa nama syarikat boleh dipotong dari daftar syarikat adalah kerana kegagalan syarikat untuk menyerah simpan Penyata Tahunan (Annual Report) dan/atau Penyata Kewangan yang telah diaudit (Audited Financial Report) kepada SSM.

5. Kegagalan syarikat untuk menyerah simpan dokumen-dokumen statutori (bahasa mudahnya; dokumen yang wajib disedia dan diserahkan kepada SSM mengikut Akta Syarikat) kebiasaanya menunjukkan bahawa syarikat tersebut tidak lagi aktif atau berfungsi.

5. Syarikat yang yang telah dibatalkan pendaftarannya akan dianggap bubar selepas nama syarikat tersebut dikeluarkan di dalam Warta selaras dengan ketetapan Akta Syarikat.

PROSES MEMOTONG NAMA SYARIKAT

6. Sepertimana yang kita sedia maklum, Pendaftar Syarikat boleh memotong nama syarikat daripada daftar syarikat di atas usulnya sendiri. Ini adalah selaras dengan peruntukan s.550 Akta Syarikat.

7. Suatu Notis Tentang Niat Untuk Memotong Syarikat (Notis 551) akan diserahkan kepada syarikat. Dalam tempoh 30 hari, syarikat yang menerima Notis ini perlu menjawab dan memberikan sebab kenapa syarikat tersebut tidak wajar dipotong.

8. Sekiranya syarikat gagal memberikan sebarang jawapan; suatu Pemberitahuan kepada orang awam tentang niat untuk memotong syarikat tersebut akan disiarkan mengikut cara yang ditetapkan atau difikirkan sesuai oleh Pendaftar.

9. Selepas tamat tempoh 30 hari daripada tarikh penyiaran Pemberitahuan tersebut, Pendaftar Syarikat boleh memotong syarikat tersebut sekiranya Pendaftar Syarikat:

a) menerima mengesahan bahawa syarikat tersebut telah tidak beroperasi; 

b) tidak menerima sebarang jawapan kepada Notis 551; 

c) tidak menerima sebarang bantahan terhadap Notis 551; 

d) tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh syarikat kenapa syarikat tersebut tidak wajar dipotong. 

10. Nama syarikat tersebut selepas itu akan disiarkan didalam Warta dan seterusnya akan dianggap bubar.

hidupkan syarikat


KENAPA PERLU HIDUPKAN SYARIKAT YANG TELAH DIBATALKAN/DIBUBAR?

11. Terdapat pelbagai alasan kenapa pengarah atau anggota sesebuah syarikat ingin menghidupkan syarikat yang telah dibubarkan atau dengan erti kata lain memasukkan semula nama syarikat kedalam daftar SSM. Di antaranya, namun tidak terhad kepadanya, adalah:

a) syarikat sebenarnya masih beroperasi dan menjalankan perniagaan. Tidak boleh disangkal bahawa terdapat syarikat-syarikat yang terlepas pandang untuk menyerah simpan dokumen-dokumen statutori kepada SSM sedangkan syarikat tersebut masih menjalankan operasi.

b) terdapat peluang untuk mengembangkan perniagaan syarikat;

c) syarikat ingin diambil alih kerana syarikat tersebut mempunyai lesen-lesen perniagaan tertentu. Kadangkala untuk mendapatkan lesen tertentu yang diperlukan sebelum sesuatu syarikat boleh menjalankan perniagaan adalah rumit. Jadi terdapat syarikat-syarikat yang bertindak mengambil alih syarikat-syarikat yang telah mempunyai lesen tersebut bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan.

d) syarikat tersebut masih mempunyai milikan aset-aset seperti hartanah, jentera atau sebagainya. Aset-aset yang dimiliki oleh syarikat tidak boleh dijual atau dipindah milik sekiranya syarikat tersebut telah dibubarkan. Untuk membolehkan transaksi penjualan aset syarikat yang telah dibubarkan berlaku, syarikat tersebut perlu dihidupkan semula.

CARA MENGHIDUPKAN SYARIKAT (REINSTATEMENT OF COMPANIES) YANG DIBATALKAN/ DIBUBARKAN.

12. Akta Syarikat memberikan peruntukan bagi mana-mana pihak yang terkilan di atas pembatalan atau pembubaran sesuatu syarikat oleh Pendaftar Syarikat untuk memohon kemasukan semula nama syarikat ke dalam daftar SSM.

13. Tempoh masa yan diberikan kepada pihak yang ingin memohon kemasukan semula syarikat tersebut adalah 7 tahun daripada tarikh nama syarikat tersebut dibatalkan.

14. Peguam yang dilantik akan menyediakan Saman Pemula yang akan disokong oleh satu Afidavit Sokongan yang lazimnya akan ditandatangani oleh salah satu atau kesemua pengarah-pengarah syarikat tersebut.

15. Sekiranya syarikat tersebut masih lagi beroperasi maka syarikat perlu menyediakan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan yang telah diaudit untuk setiap tahun yang tertunggak. Dokumen-dokumen ini disarankan untuk disediakan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.

16. Disamping itu, pemohon yang memohon perlu berakujanji untuk membayar apa sahaja kompaun yang akan dikenakan oleh SSM di dalam tempoh yang telah ditetapkan dan juga perlu membayar kos pentadbiran SSM dan juga kos permohonan.

18. Saman Pemula tersebut akan didengarkan di hadapan Hakim di Mahkamah. Pihak SSM yang akan dinamakan sebagai pihak didalam permohonan tersebut berhak membuat apa-apa bantahan sekiranya difikirkan wajar.

19. Namun sekiranya tiada bantahan daripada pihak SSM, Mahkamah lazimnya akan membenarkan permohonan tersebut.  Syarikat seterusnya perlu menyerahkan dokumen-dokumen yang dinyatakan di atas dan juga membayar kos-kos yang terlibat di dalam tempoh masa yang dipersetujui.

syarikat dibatalkan

syarikat dibubarkan syarikat dibatalkan


Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

RENCANA TERBARU

CARIAN RENCANA

Dikuasakan oleh Blogger.


TENTANG SAYA

Nor Hafeez – Peguam Sivil di Kuala Lumpur
Nor Hafeez adalah seorang peguamcara sivil yang beramal sebagai seorang peguam dan pemilik penuh sebuah firma guaman yang mempunyai pejabat kecil di pinggir Kuala Lumpur. Beliau mengendalikan pelbagai kes-kes sivil dan pelbagai masalah berkait dengan undang-undang sivil Malaysia seperti kes saman malu, langgar kontrak, hutang peribadi dan korporat, pencerobohan tanah, penceraian bukan islam, harta pusaka, pemecatan kerja, konsultan tuntutan CIPAA dan sebagainya. Di masa lapang, beliau berkongsi ilmu melalui penulisan blog dan sekali sekala menggunakan telefon untuk mengambil dan mengedit gambar secara amatur. Beliau juga adalah seorang glory hunter yang meminati Manchester City dan juga segelas Nescafe Ais diwaktu pagi.
HUBUNGI FIRMA -
TETUAN HAFEEZ & HAZLINA
No.15-A, Jalan SG 1/1,
Taman Seri Gombak,
68100, Batu Caves,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA


Waktu Operasi:
Isnin hingga Jumaat
9.00 pagi – 5.00 petang


Call: 012-979 7494
WhatsApp / SMS: 012-979 7494
Email: norhafeezlaw@gmail.com
PENAFIAN – Setiap satu rencana yang terkandung di dalam norhafeezlaw.com adalah bertujuan untuk pengetahuan, kesedaran dan pendidikan secara umum. Keseluruhan rencana-rencana ini, atau mana-mana bahagian daripadanya, tidak boleh dijadikan sebagai asas, premis atau panduan untuk memulakan sebarang tindakan undang-undang secara sendiri tanpa terlebih dahulu merujuk kepada mana-mana peguam yang bertauliah dan berpengalaman. Penulis tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesan dan akibat daripada sebarang tindakan yang dimulakan secara sendiri tanpa merujuk kepada peguam.
Hakcipta Terpelihara. Kandungan, rencana dan imej yang dipaparkan di dalam laman ini adalah terpelihara mengikut peruntukan-peruntukan yang relevan di bawah Akta Hakcipta 1987. Setiap rencana dan imej tidak boleh disiarkan semula di mana-mana platform tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik laman.

Copyright © Nor Hafeez Law. Designed by OddThemes