>

SAMAN & PENGGULUNGAN SYARIKAT

gulung syarikat, penggulungan syarikat, winding up of companies

SAMAN DAN PENGGULUNGAN SYARIKAT MELALUI PERINTAH MAHKAMAH

Anda ataupun syarikat anda telah memasuki suatu kontrak dengan sebuah syarikat. Anda telah mendapati syarikat tersebut telah melanggar terma kontrak tersebut yang seterusnya menyebabkan kontrak tersebut ditamatkan. Anda menyaman syarikat tersebut dan berjaya mendapatkan penghakiman terhadapnya. Apa yang perlu anda lakukan seterusnya?

SAMAN & PERLAKSANAAN PENGHAKIMAN

1. Apabila sesebuah syarikat berhutang dengan anda, untuk sebab apa sekalipun, anda boleh mengheret syarikat tersebut ke Mahkamah sebagai usaha untuk mendapatkan bayaran terhadap hutang tersebut.

2. Apabila anda berjaya mendapatkan Penghakiman terhadap syarikat tersebut, lazimnya ia membawa maksud bahawa hutang tersebut tidak lagi boleh dipertikaikan (melainkan terdapatnya rayuan atau permohonan untuk mengenepikan penghakiman).

3. Ia juga bermaksud, anda boleh melaksanakan Penghakiman tersebut keatas syarikat sekiranya syarikat tersebut enggan untuk membuat sebarang pembayaran tanpa sebarang alasan. Namun, apa yang dimaksudkan dengan perlaksanaan penghakiman terhadap sesebuah syarikat?

4. Perlaksanaan Penghakiman terhadap sesebuah syarikat, secara lazimnya, merujuk kepada proses yang dikenali sebagai penggulungan syarikat (winding up of companies). 

5. Apabila sesebuah syarikat itu digulungkan, secara lazimnya, syarikat tersebut tidak lagi boleh beroperasi dan selepas proses penggulungan disempurnakan, syarikat tersebut akan dilupuskan.

#rujukpeguam, rujuk peguam, peguam scam, saman scammer

SIAPA BERHAK MENGGULUNG SYARIKAT?

6. Siapa yang boleh menggulungkan syarikat? Undang-undang menetapkan bahawa terdapat beberapa pihak yang boleh menggulungkan sesebuah syarikat dan salah satu daripadanya adalah pemiutang sesebuah syarikat. 

7. Ini bermakna, sesiapa yang mempunyai hutang dengan syarikat tersebut, dia boleh menjadi pihak untuk menggulungkan syarikat tersebut.

KEADAAN BAGAIMANA SYARIKAT BOLEH DIGULUNGKAN?

8. Dalam keadaan bagaimana sesebuah syarikat tersebut boleh digulungkan? Untuk tujuan rencana ini, secara mudahnya, syarikat boleh digulungkan sekiranya syarikat tersebut didapati tidak lagi mampu membayar hutang-hutangnya.

APA MAKSUD SYARIKAT TIDAK MAMPU MEMBAYAR HUTANG?

9. Apa yang dimaksudkan dengan syarikat tidak lagi mampu membayar hutang? Secara kebiasaanya, apabila sesebuah syarikat itu gagal untuk membuat pembayaran terhadap hutang di dalam masa 21 hari daripada tarikh syarikat tersebut menerima notis tuntutan selaras dengan seksyen 466 Akta Syarikat, maka syarikat tersebut dianggap tidak lagi mampu membayar hutang.

10. Pemiutang syarikat akan memulakan proses penggulungan dengan memfailkan dokumen-dokumen tertentu di Mahkamah, dan sekiranya petisyen untuk menggulungkan syarikat tersebut dibenarkan oleh Mahkamah, hal ehwal perniagaan syarikat tersebut akan diserahkan kepada pelikuidasi. Syarikat itu sendiri tidak lagi boleh menjalankan operasi perniagaannya.

11. Pelikuidasi akan menjalankan tanggungjawabnya dengan tujuan akhir untuk mencairkan segala aset aset yang dimiliki oleh syarikat tersebut dan aset-aset tersebut akan digunakan untuk membayar hutang-hutang yang sepatutnya dibayar oleh syarikat tersebut.

12. Selepas semua aset telah dicairkan dan segala pembayaran-pembayaran yang wajib dilakukan, telah dilakukan, maka syarikat tersebut akan dilupuskan.

MENGHALANG PENGGULUNGAN SYARIKAT?

13. Adakah terdapat cara untuk menghalang sesebuah syarikat daripada digulungkan? Jawapannya ada. 

14. Ianya adalah melalui suatu proses permohonan di Mahkamah untuk satu perintah yang dikenali sebagai Injunksi Fortuna atau Fortuna Injunction. 

15. Namun proses yang rumit ini perlu dilakukan sebelum pemiutang syarikat itu memfailkan permohonan untuk menggulungkan syarikat dan ianya mempunyai syarat-syarat yang ketat yang wajib dipenuhi.

MEMBATALKAN PENGGULUNGAN SYARIKAT?

16. Adakah sesebuah syarikat yang digulungkan itu boleh dibatalkan penggulungannya? Jawapannya boleh, namun pihak yang boleh membuat permohonan ini bukanlah syarikat itu sendiri, tetapi oleh pelikuidasi. 

17. Akta syarikat telah menetapkan bahawa hanya pelikuidasi sahaja yang boleh memfailkan permohonan untuk membatalkan penggulungan ini.

KESAN-KESAN PENGGULUNGAN SYARIKAT

18. Sesebuah syarikat seboleh-boleh tidak akan mahu syarikatnya digulungkan. Ini adalah kerana apabila sesebuah syarikat itu digulungkan, lazimnya segala aset-aset syarikat dan akaun-akaun syarikat akan dibekukan. Syarikat sudah tidak lagi bebas membuat sebarang pengeluaran daripada akaun-akaun yang telah dibekukan tersebut.

19. Syarikat juga tidak boleh untuk menjalankan sebarang transaksi perniagaan melainkan ianya dijalankan dengan  pengurusan pelikuidasi.

20. Sekiranya syarikat tersebut mempunyai hutang-hutang yang perlu dituntut daripada pihak lain, tindakan undang-undang bagi pihak syarikat tersebut hanya boleh dilakukan dengan kebenaran ketua pengarah insolvensi dan dibawah pengurusan pelikuidasi.

21. Sekiranya syarikat tersebut mempunyai aset-aset tidak boleh alih seperti tanah atau bangunan, syarikat tidak lagi bebas untuk melakukan sebarang transaksi terhadap aset-aset tersebut termasuklah untuk menjual aset-aset tersebut tanpa kebenaran.

 penghakiman ingkar

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.