>

FITNAH TANPA RUJUKAN NAMA

fitnah tak sebut nama, rujukan nama fitnah, fitnah nama

FITNAH TANPA RUJUKAN NAMA

Apa yang boleh anda lakukan sekiranya ada orang memfitnah anda di media sosial tetapi kenyataan fitnah tersebut tidak merujuk nama anda secara khusus? adakah anda masih boleh mengambil tindakan saman malu atau fitnah terhadap orang yang memfitnah anda? 

SYARAT SAMAN MALU

1. Sebagaimana yang telah dikupas secara terperinci di dalam rencana-rencana kami sebelum ini, sebelum anda boleh memfailkan saman malu atau fitnah terhadap orang yang telah memfitnah anda di media sosial, terdapat 3 syarat utama yang perlu dipenuhi untuk memastikan kes anda tidak dibatalkan.

2. Syarat-syarat tersebut adalah; pertama, kenyataan yang dibuat hendaklah bersifat fitnah atau boleh difahami sebagai fitnah. Kedua, kenyataan fitnah tersebut hendaklah merujuk kepada anda. Ketiga, kenyataan tersebut hendaklah dipastikan telah disebarkan atau disiarkan di mana-mana platform media sosial.

3. Sekiranya salah satu daripada syarat-syarat ini tidak dipenuhi, maka anda akan berdepan dengan risiko kes anda akan dibatalkan ataupun usaha tuntutan anda mungkin akan berakhir dengan kegagalan di Mahkamah.

FITNAH TANPA SEBUTAN NAMA

4. Bagaimana dengan keadaan apabila seseorang telah memfitnah anda namun kenyataan fitnah tersebut tidak menyatakan nama anda secara khusus? Apakah faktor yang perlu dinilai untuk memenuhi syarat-syarat saman malu di atas? 

5.Apabila sesuatu kenyataan fitnah itu tidak merujuk kepada satu nama secara khusus maka dua kemungkinan yang akan berlaku. Kemungkinan-kemungkinan ini bergantung sepenuhnya terhadap kenyataan fitnah itu sendiri. Apakah kemungkinan-kemungkinan tersebut?

KEMUNGKINAN GAGAL MEMENUHI SYARAT

6. Kemungkinan pertama adalah anda tidak akan dapat memenuhi syarat saman malu yang memerlukan sesuatu kenyataan fitnah itu dirujuk secara khusus terhadap anda. 

7. Bagaimana kemungkinan pertama ini boleh berlaku? Ianya boleh berlaku apabila kenyataan fitnah yang dibuat itu terlalu umum dan tidak terdapat apa-apa rujukan di dalam kenyataan fitnah tersebut yang boleh menyebabkan orang yang mengenali anda untuk membuat kesimpulan bahawa kenyataan fitnah tersebut merujuk kepada anda.

8. Mahkamah semestinya akan membuat penilaian dengan teliti dan kenyataan fitnah tersebut akan diteliti dengan cermat. Jika kenyataan tersebut terlampau umum, maka anda berhadapan dengan risiko gagal untuk memenuhi syarat rujukan tersebut.

KEMUNGKINAN BERJAYA MEMENUHI SYARAT

9. Kemungkinan kedua pula adalah anda mungkin dapat memenuhi syarat saman fitnah tersebut.

saman malu, saman fitnah, tak sebut nama fitnah

10. Bagaimana kemungkinan ini boleh berlaku? Ianya boleh berlaku apabila terdapat rujukan khusus yang mencukupi untuk seseorang yang mengenali anda membuat kesimpulan bahawa orang yang dirujuk itu adalah anda.

11. Ini bermaksud, walaupun kenyataan fitnah itu tidak menyebut atau merujuk kepada nama anda secara spesifik, namun menggunakan rujukan-rujukan lain seperti gambar, faktor persekitaran, bentuk badan khusus atau kelas masyarakat, maka anda boleh mengambil tindakan terhadap pemfitnah tersebut.

12. Rujukan mudah adalah berkenaan dengan kes guru yang mengambil tindakan saman fitnah terhadap seorang muridnya baru-baru ini.

13. Sekiranya terdapat kenyataan fitnah (jika terbukti ada) yang dibuat oleh murid tersebut, walaupun nama guru tersebut tidak disebut secara khusus, sekiranya kenyataan murid tersebut merujuk kepada kelas masyarakat dan persekitaran yang boleh menyebabkan sesiapa yang mengenali guru terbut membuat kesimpulan bahawa kenyataan tersebut merujuk kepada beliau, maka guru tersebut akan dapat memenuhi syarat rujukan kes fitnah beliau.

14. Sesuatu kenyataan fitnah, walaupun tidak merujuk kepada nama seseorang secara khusus, tidak semestinya akan terlepas daripada tanggungjawab dan liabiliti.

penghakiman ingkar

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut. 



0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.