>

JANGAN LAMBAT, TUNTUT HAK ANDA: KEPENTINGAN MENGAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG SEGERA DI MALAYSIA

saman cepat, peguam laju, peguamcara,

Terdapat banyak kes di mana individu dan organisasi yang mengalami kerugian yang boleh dielakkan akibat daripada kelewatan mereka dalam mengambil tindakan undang-undang. Maksim undang-undang, "Undang-undang hanya membantu mereka yang waspada, bukan mereka yang tidur atas hak mereka" menegaskan kepentingan untuk anda proaktif dalam menuntut keadilan dan hak. 

Artikel ini bertujuan untuk membincangkan kepentingan mengambil tindakan undang-undang segera di Malaysia dan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan.

MENGAPA PERLU MENYEGERAKAN TINDAKAN SAMAN?

Had Masa Mengikut Akta Had Masa

1. Akta Had Masa 1953 (Limitation Act 1953) menggariskan had atau tempoh masa yang ketat untuk memulakan sesuatu prosiding undang-undang. 

2. Had atau tempoh masa ini, biasanya antara tiga hingga enam tahun hingga dua belas tahun (bergantung kepada jenis dan asas tindakan), direka untuk memastikan keadilan dan mengelakkan pihak yang ingin di saman terdedah kepada potensi litigasi tanpa jangka masa. 

3. Kegagalan untuk membuat tuntutan dalam tempoh masa yang ditetapkan boleh mengakibatkan hilangnya hak untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai menerusi undang-undang.

4. Sebagai contoh, dalam kes perlanggaran kontrak (breach of contract), Plaintif mempunyai enam tahun dari tarikh perlanggaran kontrak untuk mengambil tindakan undang-undang. Jika Plaintif gagal berbuat demikian dalam tempoh ini, hak mereka untuk mendapatkan gantirugi akan hilang.

Kesan ke Atas Kos dan Masa

5. Kelengahan dan mengambil lewa dalam memulakan tindakan undang-undang juga boleh menyebabkan peningkatan kos dan kes yang berlarutan. 

6. Seiring dengan berlalunya masa, tugas para peguam untuk mengumpul bukti, mencari saksi, dan membina kes yang kuat akan menjadi lebih sukar dan rumit. 

7. Ini boleh menjadi di antara faktor utama kepada kemeningkatan yuran guaman, kerana kerja-kerja yang diperlukan untuk merangka semula sesuatu kes yang lama akan memakan masa, tenagakerja dan kepakaran yang tinggi.

8. Dalam satu kes terkenal, sebuah syarikat Malaysia mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat tuntutan saman terhadap pesaing yang melanggar hak cipta. 

9. Akibatnya, pihak yang melanggar terus menerus mendapat keuntungan daripada penggunaan haram hak cipta tersebut, menyebabkan pemohon mengalami kerugian kewangan yang sangat tinggi.

Ketersediaan Dokumen dan Bukti

10. Melengah-lengahkan tindakan undang-undang juga boleh menyebabkan kesukaran untuk mengumpul dan memperoleh dokumen, saksi dan bukti-bukti penting. 

11. Apabila kita mengambil masa yang terlalu lama untuk memulakan tindakan, rekod penting mungkin sahaja hilang atau musnah, yang seterusnya menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan bukti untuk menyokong tuntutan anda. Faktor ini boleh mengurangkan peluang kejayaan anda di Mahkamah.

Risiko Terlupa Fakta dan Kesaksian Saksi

12. Semakin lama tindakan ditangguhkan, maka semakin besar juga risiko saksi-saksi yang kita ada, lupa fakta-fakta yang penting, atau enggan lagi berkerjasama, atau bahkan meninggal dunia. 

13. Tindakan segera boleh memastikan keterangan saksi-saksi masih segar dan bukti-bukti masih lagi dapat dikumpul dengan mudah untuk memastikan ianya terpelihara. Ini, pada akhirnya akan membantu mengukuhkan kes anda.

14. Dalam satu kes kecuaian perubatan di Malaysia, Plaintif telah menunggu beberapa tahun sebelum membuat tuntutan saman terhadap hospital tersebut. 

15. Pada masa kes itu dibawa ke mahkamah, saksi utama mengalami kesukaran mengingati fakta penting, dan ini telah mengakibatkan kedudukan kes Plaintif menjadi sangat lemah.

16. Kesimpulannya, maksim undang-undang "Undang-undang hanya membantu mereka yang waspada, bukan mereka yang tidur atas hak mereka" adalah sangat relevan dan perlu diambil perhatian sekiranya anda ingin memulakan sesuatu tindakan. 

17. Adalah penting untuk bertindak segera dalam memulakan sesuatu tindakan undang-undang, kerana kelewatan boleh membawa akibat jangka panjang, termasuk hilangnya hak, peningkatan kos, dan kes yang lemah. Dengan berwaspada dan proaktif, anda boleh melindungi hak anda dan mencari keadilan yang anda layak.

_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.