>

PENCEROBOHAN TANAH: APA YANG PERLU ANDA TAHU?

ceroboh tanah

Pencerobohan tanah adalah satu kesalahan tort di sisi undang-undang di Malaysia. Ianya berlaku apabila seseorang (Defendan) memasuki tanah yang dimiliki oleh orang lain (Plaintif) tanpa kebenaran atau izin yang sah.

Dalam artikel ini, kita akan cuba memahami dan mendapatkan sedikit sebanyak penjelasan berkenaan dengan perkara-perkara utama berkaitan undang-undang pencerobohan tanah di Malaysia.

APA ITU PENCEROBOHAN?


1. Definisi pencerobohan tanah telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Tenaga Nasional Bhd v. Bukit Lenang Development Sdn Bhd. 

2. Ia ditakrifkan sebagai campur tangan langsung dan terus-menerus yang tidak sah terhadap pemilikan tanah yang berada di dalam milikan orang lain, atau yang orang lain berhak memilikinya. 

3. Secara asasnya, tort ini hanya boleh dilakukan terhadap atau keatas tanah yang dimiliki oleh seseorang.

ADAKAH PERLU BUKTIKAN KERUGIAN?


4. Penting untuk diingat bahawa tort pencerobohan tanah ini lazimnya boleh didakwa dengan sendirinya tanpa perlu menunjukkan sebarang bukti kerosakan (actionable per se). 

5. Ini bermakna bahawa plaintif dalam kes menceroboh tanah, berhak, walaupun dia tidak mengalami apa-apa kerugian, untuk memfailkan tuntutan dan mendapatkan ganti rugi (nominal). 

6. Oleh yang demikian, liabilitinya adalah ketat (strict liablity). Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang tidak boleh dilarang daripada haknya terhadap hartanya kecuali seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang.

7. Untuk berlakunya pencerobohan, defendan mesti dibuktikan telah memasuki atau menceroboh tanah yang dimiliki oleh Plaintif tanpa kebenaran.
 

NIAT DAN PENGETAHUAN?


8. Pencerobohan tanah boleh berlaku walaupun Defendan tidak ada niat untuk menceroboh. 

9. Yang penting, Plaintif perlu menunjukkan bahawa Defendan telah melakukan perbuatan menceroboh ataupun tindakan memasuki tanah milik Plaintif secara sukarela .
 
10. Plaintif juga tidak perlu membuktikan bahawa defendan mengetahui bahawa Defendan sedang menceroboh. Mahkamah lazimnya akan menolak sebarang hujah oleh Defendan yang mengatakan dia tidak mengetahui bahawa dia tidak mempunyai hak di bawah undang-undang untuk berada di atas tanah Plaintif tersebut.

SYARAT-SYARAT PENCEROBOHAN


11. Elemen-elemen atau syarat-syarat asas tort pencerobohan tanah adalah (1) niat untuk melakukan pencerobohan, (2) kemasukan adalah sukarela, dan (3) gangguan adalah akibat yang boleh dilihat dari tindakan atau kelalaian defendan. 

12. Campur tangan langsung defendan terhadap tanah plaintif termasuklah tindakan terus-menerus cubaan merampas tanah secara tidak sah, terus berada di atas tanah yang dipersoalkan, dan meletakkan atau memasang apa-apa objek di atas tanah tersebut.

13. Sebagai kesimpulannya, pencerobohan ke atas tanah adalah isu yang serius dan boleh menjejaskan hak milik seseorang. 

14. Sekiranya anda terkesan oleh pencerobohan ke atas tanah, penting untuk mendapatkan nasihat undang-undang dengan segera.  Pastikan bahawa anda melindungi hak milik anda dengan mengambil tindakan undang-undang yang perlu untuk mencegah sebarang kerosakan lanjut kepada tanah anda.
_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.