>

AKTA KONTRAK 1950 - APAKAH ITU KONTRAK YANG SAH?

akta kontrak 1950

Setiap hari kita pasti akan terlibat dalam pelbagai urusan yang melibatkan persetujuan atau perjanjian, sama ada dalam bentuk jual beli, sewaan, atau kontrak pekerjaan. Namun, kadangkala tidak semua perjanjian tersebut layak dianggap sebagai kontrak yang sah dan boleh dikuatkuasakan dari sudut undang-undang. Di Malaysia, syarat-syarat utama dan undang-undang berkenaan sesuatu kontrak ditetap dan dipandu oleh Akta Kontrak 1950. Rencana ini akan menerangkan elemen-elemen asas yang diperlukan bagi menjadikan perjanjian sebagai kontrak yang sah serta kriteria yang menentukan siapa yang layak untuk membuat kontrak.

Apakah Syarat-Syarat yang Menjadikan Sesuatu Perjanjian Sebagai Kontrak yang Sah?

1. Menurut Seksyen 10 Akta Kontrak 1950, hanya perjanjian yang memenuhi syarat-syarat tertentu boleh dianggap sebagai kontrak yang sah dan boleh dikuatkuasakan. Apakah syarat - syarat asas tersebut?

2. Yang pertama, perlu ada persetujuan bebas di mana kedua-dua pihak mesti bersetuju tanpa sebarang paksaan, penipuan, pengaruh tidak wajar, atau kekeliruan untuk memasuki perjanjian tersebut. Ini bermaksud persetujuan mereka mesti benar-benar sukarela.

3. Yang kedua, kedua-dua pihak adalah pihak yang berkemampuan untuk memasuki perjanjian tersebut dari segi undang-undang untuk membuat dan memasuki kontrak. Hal ini termasuklah umur dan keadaan fikiran.

4. Yang ketiga, sesuatu kontrak itu perlu ada pertimbangan dan tujuan berkontrak yang sah. Kontrak tersebut mesti melibatkan pertimbangan yang sah, contohnya wang, perkhidmatan atau barang dagangan.  Kontrak tersebut juga hendaklah dibuat dengan tujuan yang tidak bertentangan dengan undang-undang.

4. Akhir sekali, kontrak tersebut bukanlah kontrak yang terbatal. Untuk menguatkuasakan sesuatu perjanjian itu, pihak-pihak perlu memastikan bahawa kontrak itu tidak melanggar mana-mana undang-undang yang menjadikannya tidak sah atau terbatal.

Siapakah Yang Layak untuk Membuat Kontrak?

5. Seksyen 11 Akta Kontrak 1950 menjelaskan kriteria bagi seseorang yang dianggap layak untuk membuat kontrak.

6. Kriteria yang pertama adalah pihak-pihak yang berkontrak mestilah mencapai umur dewasa. Di Malaysia, seseorang perlu mencapai umur majoriti, iaitu 18 tahun, untuk layak berkontrak. Ini adalah untuk melindungi kanak-kanak di bawah umur daripada diperdaya dan ditipu.

[Contoh - kontrak jual beli kenderaan dengan kanak-kanak berumur 15 tahun adalah tidak sah disisi undang-undang]

7. Pihak-pihak yang berkontrak tersebut juga mestilah berada dalam keadaan fikiran yang waras, keadaan mental yang stabil, mampu memahami akibat kontrak, dan mampu membuat keputusan dengan jelas.

[Contoh - kontrak pembelian hartanah dengan pemilik hartanah yang terbukti kurang siuman adalah tidak sah disisi undang-undang]

8. Kriteria terakhir adalah pihak-pihak yang berkontrak tersebut tidak didiskualifikasi oleh undang-undang darpada memasuki kontrak.

[Contoh - Seseorang yang diisytiharkan bankrap atau muflis adalah dilarang untuk memasuki kontrak melainkan dengan syarat-syarat tertentu]

9. Apabila isu berkenaan sesuatu kontrak di bawa ke Mahkamah untuk diputuskan,  Mahkamah lazimnya akan menilai apa yang dipanggil sebagai elemen-elemen kontrak sebelum memutuskan kewujudan sesuatu kontrak yang sah. Elemen-elemen tersebut adalah seperti berikut: 

Adanya elemen tawaran dan penerimaan (offer and acceptance). 

Tawaran yang jelas oleh satu pihak perlu diterima dengan jelas oleh pihak lain tanpa sebarang keraguan.

Adanya niat untuk mewujudkan hubungan perundangan (intention to create legal relations).

Kedua-dua pihak perlu mempunyai niat untuk membentuk hubungan perundangan. Dalam kes Balfour v Balfour, sebagai contoh, kontrak yang dibuat antara pasangan suami isteri tanpa niat perundangan tidak diiktiraf sebagai kontrak yang sah.

Adanya elemen pertimbangan (consideration). 

Pertimbangan adalah sesuatu yang bernilai seperti wang, barang, atau perkhidmatan, yang mana kedua-dua pihak persetujui.

Terdapat kepastian terma (certainty of terms). 

Terma kontrak perlu jelas dan boleh difahami tanpa sebarang kekeliruan.

Elemen Keupayaan untuk berkontrak (capacity

Semua pihak perlu mempunyai keupayaan untuk berkontrak dan tidak boleh hilang akal atau di bawah umur.

[Contoh - A menawarkan untuk menjual keretanya kepada B pada harga RM10,000, dan B bersetuju. Di sini, terdapat tawaran, penerimaan, pertimbangan, dan niat untuk mewujudkan hubungan perundangan. Terma jual belinya adalah jelas dan pihak-pihak mencapai umur majoriti. Perjanjian ini memenuhi syarat kontrak dan boleh dianggap sah]

10. Secara kesimpulannya, untuk memastikan perjanjian yang dibuat dapat dikuatkuasakan, elemen-elemen seperti persetujuan bebas, keupayaan berkontrak, pertimbangan yang sah, serta niat perundangan perlu dipenuhi. Di samping itu, pihak-pihak yang berkontrak mestilah mempunyai kelayakan tertentu yang termaktub dalam undang-undang, termasuk umur dan kewarasan. 


Rujuk rencana - rencana lain berkenaan dengan Akta Kontrak 1950:

Jenis Kontrak dan perjanjian yang tidak sah

Pampasan & Gantirugi perlanggaran kontrak

Kontrak tanpa persetujuan

Syarat - syarat Kontrak yang sah

_______________________

tipu tanah, tipu pejabat tanah

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.