>

SAMAN GANGGUAN SEKSUAL?

saman gangguan seksual

Gangguan seksual bukanlah suatu perkara yang baru, namun perlindungan undang-undang terhadapnya di Malaysia secara relatifnya adalah masih baru. 

Sebelum pindaan Akta Kerja yang dikuatkuasakan pada 1 April 2012, tidak ada peruntukan perundangan mengenai gangguan seksual secara khusus di Malaysia. 

1. Satu transformasi penting berlaku dalam bentuk Akta Kerja 1955 apabila bahagian baru, Part XVA yang membincangkan gangguan seksual di tempat kerja disertakan.

Peruntukan Undang-Undang Gangguan Seksual Di Malaysia

2. Sebagai rujukan, seksyen 2(g) Akta Kerja (Pindaan) 2012 telah memasukkan definisi gangguan seksual sebagai bermaksud:

Gangguan seksual merujuk kepada sebarang tindakan yang tidak dikehendaki bersifat seksual, sama ada lisan, bukan lisan, visual, gestur atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang bersifat ofensif atau memalukan, atau merupakan ancaman kepada kesejahteraannya yang timbul semasa dan sepanjang pekerjaannya.

3. Definisi ini memenuhi tiga unsur utama gangguan seksual iaitu:

(i) Tindakan yang bersifat seksual;
(ii) Tindakan itu tidak dikehendaki; dan
(iii) Tindakan tersebut dirasakan sebagai ancaman terhadap keupayaan mangsa untuk menjalankan tugasnya.

4. Lord Sumpton di dalam kes inggeris Hayes v. Willoughby menafsirkan gangguan atau harassment sebagai satu tindakan berterusan dan disengajakan dan ditujukan kepada seseorang, yang mana ianya bersifat tidak wajar, menekan dan menyebabkan orang tersebut rasa ketakutan atau tertekan. 

a persistent and deliberate course of unreasonable and oppressive conduct, targeted at another person, which is calculated and does cause that person alarm, fear or distress

5. Menurut Kod Amalan untuk Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual di Tempat Kerja 1999 yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia, gangguan seksual didefinisikan sebagai:

Sebarang tindakan seksual yang tidak diingini yang memberi kesan berupa gangguan lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal;

(i) yang mungkin, atas alasan yang munasabah, dirasakan oleh penerima sebagai memberi syarat seksual dalam pekerjaannya; atau

(ii) yang mungkin, atas alasan yang munasabah, dirasakan oleh penerima sebagai suatu kesalahan atau penghinaan, atau ancaman kepada kesejahteraannya, tetapi tidak mempunyai kaitan langsung dengan pekerjaannya.

6. Secara umumnya gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu paksaan seksual, yang menghasilkan kesan langsung ke atas pekerjaan mangsa, dan gangguan seksual yang ofensif, bermusuhan atau mengintimidasi kepada penerima.

7. Selain daripada membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkenaan, mangsa-mangsa yang mengalami gangguan seksual turut mempunyai pilihan untuk memfailkan tindakan saman sivil ke atas pelaku. 

8. Laluan undang-undang melalui saman sivil ini dibincangkan dengan terperinci melalui perkembangan dan perjalanan kes MRAR v ABHMN di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. 

9. Apa yang boleh difahami melalui kes tersebut adalah secara umumnya terdapat dua laluan atau kausa tindakan mengenai gangguan seksual boleh diambil, iaitu tort menyebabkan kejutan melampau dengan sengaja (tort of intentionally causing nervous shock) yang diiktiraf di Mahkamah Rayuan dan tort gangguan (tort of harassment) yang diiktiraf di Mahkamah Persekutuan.

10. Oleh yang demikian, sekiranya anda berada di dalam satu situasi yang berpanjangan di mana terdapatnya tindakan secara sengaja dan berterusan secara tidak munasabah yang ditujukan kepada anda yang mana tindakan tersebut mengandungi ciri-ciri seksual, seperti komen-komen lucah dan tidak senonoh yang diucapkan oleh pelaku kepada anda yang mana akhirnya menyebabkan anda mengalami tekanan emosi dan kemurungan akibat daripada rasa takut dan cemas terhadap perbuatan tersebut, usah berdiam diri. Buat laporan sewajarnya kepada pihak berkuasa dan ambil tindakan undang-undang terhadap pelaku tersebut.

11. Memetik dapatan Mahkamah Persekutuan di dalam kes diatas:

Sexual harassment is a very serious misconduct and in whatever form it takes, cannot be tolerated by anyone. In whatever form it comes, it lowers the dignity and respect of the person who is harassed, let alone affecting his or her mental and emotional well-being. Perpetrators who go unpunished, will continue intimidating, humiliating and traumatising the victims thus resulting, at least, in an unhealthy working environment.
_______________________

tipu tanah, tipu pejabat tanah

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.