>

ATURAN PROSEDUR DAN PROSES SAMAN FITNAH

Proses saman fitnah di Malaysia dari bukti hingga penghakiman.

Aturan Prosedur dan Proses Saman Fitnah

Dikemas kini pada: 08 Disember 2025

Saman fitnah atau saman malu merupakan tindakan undang-undang yang difailkan di Mahkamah dengan tujuan untuk membersihkan nama dan mendapatkan pampasan apabila reputasi kita telah tercemar akibat kenyataan palsu atau tidak benar. Prosesnya mempunyai aturan yang tertentu dan perlu diikuti secara teliti supaya tuntutan dapat dijalankan dengan lancar.

Kita akan sama-sama menyelami dan mendapatkan penghuraian ringkas tentang perjalanan prosedur dan proses saman fitnah; bermula daripada pengumpulan bukti, notis tuntutan, pemfailan saman, peranan peguam, bicara, hujahan dan akhirnya keputusan mahkamah. Tujuan penjelasan ini adalah supaya orang awam dapat memahami aliran prosedur dengan jelas dan tidak keliru tentang langkah-langkah yang perlu diambil.

Rujukan berkaitan:

• Cara Memfailkan Saman Malu/Fitnah: Baca di sini

• Faktor Mempengaruhi Kos Guaman Saman Malu/Fitnah: Baca di sini

• Fitnah dalam Laporan Polis: Baca di sini

KUMPUL BUKTI DAN MAKLUMAT

1. Langkah pertama sebelum memulakan saman fitnah ialah kita perlu mengumpul segala bukti berhubung kenyataan fitnah tersebut. Ini termasuk mendapatkan printscreen (tangkap layar) kenyataan, rakaman, salinan mesej, catatan masa, serta maklumat pemfitnah seperti nama, nombor kad pengenalan dan alamat. Bukti awal ini sangat penting kerana ia akan menjadi asas kepada keseluruhan tuntutan.

2. Bukti yang lengkap membantu peguam menilai sejauh mana kenyataan yang dikatakan fitnah tersebut memang sebenar-benarnya membawa maksud fitnah, siapa sasaran kenyataan dan sejauh mana penyebaran kenyataan tersebut. Tanpa bukti yang jelas, proses tuntutan boleh menjadi lemah dan sukar dibuktikan di mahkamah, dan ini boleh menyebabkan tuntutan saman kita ditolak oleh Hakim.

MERUJUK DAN BERJUMPA PEGUAM

3. Setelah kesemua bukti dikumpulkan, langkah yang seterusnya ialah berjumpa dengan peguam pilihan kita. Kita perlu membawa semua maklumat dan bukti untuk dinilai. Peguam akan meneliti fakta kes, menilai kekuatan tuntutan dan menjelaskan undang-undang berkaitan fitnah serta forum mahkamah yang sesuai.

4. Perbincangan juga meliputi anggaran kos, tempoh masa serta prosedur yang akan dilalui. Peguam biasanya akan memberi gambaran keseluruhan proses saman fitnah supaya kita memahami setiap peringkat sebelum saman difailkan.

SURAT ATAU NOTIS TUNTUTAN

5. Notis tuntutan atau Letter of Demand (LOD) adalah satu surat tuntutan yang dikeluarkan oleh peguam kita yang menuntut pemfitnah menghentikan kenyataan, menarik balik tuduhan dan memohon maaf. Ia juga memberi peluang kepada pihak tersebut menyelesaikan kes tanpa keperluan memulakan saman di mahkamah.

6. Kandungan LOD biasanya menyatakan kenyataan fitnah yang dibuat, kerosakan reputasi yang berlaku dan amaran bahawa saman akan difailkan sekiranya tiada respon dalam tempoh yang diberikan. LOD berfungsi sebagai langkah awal yang menunjukkan keseriusan kita untuk mempertahankan nama baik.

7. Fungsi dan keberkesanan LOD tidak boleh dipandang remeh. Banyak kes-kes yang dapat diselesaikan hanya dengan penghantaran dan amaran menerusi LOD daripada pihak Peguam. Penting juga untuk mendapatkan khidmat peguam yang mahir dan berpengalaman untuk memastikan kandungan LOD yang dikeluarkan itu kuat, berkesan dan efektif.

SAMAN DAN PERNYATAAN TUNTUTAN

8. Jika tiada penyelesaian dapat dicapai selepas LOD dikeluarkan, saman akan difailkan oleh peguam kita di mahkamah. Saman bersama dengan Pernyataan Tuntutan akan menyatakan butiran fitnah, bentuk kerugian dan kadar pampasan yang dituntut dengan lebih jelas. Mahkamah aras mana saman kita akan difailkan itu (samada Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi) akan ditetapkan melalui jumlah pampasan yang kita tuntut.

PROSES PENYERAHAN SAMAN

9. Setelah saman dimeterai dan diluluskan oleh mahkamah, saman wajib diserahkan kepada defendan. Serahan boleh dilakukan melalui serahan tangan, pos berdaftar atau permohonan penyampaian ganti sekiranya saman tidak dapat diserahkan atau defendan enggan menerima saman atau Defendan tidak dapat dikesan.

10. Serahan yang sah adalah penting kerana ia menandakan defendan telah dimaklumkan secara rasmi tentang tindakan yang diambil terhadapnya.

DEFENDAN TIDAK MELANTIK PEGUAM

11. Berbeza dengan saman hutang, tiada Penghakiman Ingkar Kehadiran atau Judgment in Default (JID) dalam kes saman malu atau fitnah. Jika defendan tidak hadir atau tidak melantik peguam, tindakan yang lazim diambil ialah memohon untuk mendapatkan Penghakiman Interlokutori atau interlocutory judgment.

DEFENDAN MELANTIK PEGUAM

12. Bagaimana pula jika Defendan melantik peguam? Jika defendan melantik peguam, ini bermaksud tuntutan kita telah dipertikai dan di cabar. Peguam yang dilantik oleh Defendan lazimnya akan memfailkan Memorandum Kehadiran dalam masa yang ditetapkan dan diikuti dengan pemfailan Pembelaan. Mahkamah seterusnya akan menetapkan tarikh pengurusan kes secara e-Review.

13. Pada peringkat pengurusan kes secara e-Review, arahan akan diberikan berhubung penyediaan dokumen pra bicara seperti Ikatan Dokumen, Ikatan Pliding, penyataan saksi dan pelbagai jenis lagi dokumen-dokumen yang akan digunakan semasa bicara kelak. Ini memastikan kes dapat disediakan dengan sempurna menuju perbicaraan. Apabila kesemua dokumen tersebut telah dilengkapkan, Mahkamah lazimnya akan menetapkan tarikh bicara.

BICARA

14. Semasa hari-hari yang telah ditetapkan untuk bicara, saksi-saksi akan hadir untuk memberi keterangan dan disoal balas oleh peguam pihak lawan. Disinilah dokumen-dokumen dan segala bukti-bukti akan dinilai dengan sedalam-dalamnya oleh para peguam dan Mahkamah.

15. Berapa lama selalunya proses bicara akan berjalan? Tempoh bicara lazimnya bergantung kepada bilangan saksi dan kerumitan isu fitnah yang dipertikaikan. Ada sesi bicara yang selesai dalam masa sehari dan ada juga yang berlanjutan berhari-hari bergantung kepada fakta.

HUJAHAN

16. Setelah bicara selesai, mahkamah biasanya akan mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan. Hujahan-hujahan ini akan menghuraikan alasan undang-undang, rujukan kes lampau dan fakta yang terbukti sewaktu bicara secara tertib dan terperinci. Ia membantu hakim menilai secara lebih menyeluruh sebelum membuat keputusan.

KEPUTUSAN

17. Setelah meneliti semua keterangan dan hujahan, mahkamah akan membuat keputusan sama ada tuntutan fitnah tersebut berjaya atau tidak. Jika berjaya, amaun pampasan akan ditentukan berdasarkan tahap kerosakan reputasi dan kesan kenyataan tersebut kepada kehidupan kita.

PENGUATKUASAAN

18. Jika mahkamah memerintahkan pampasan, tetapi defendan masih tidak membayar, langkah penguatkuasaan seperti sitaan harta, garnishment atau prosiding kebankrapan boleh dimulakan. Ini bergantung kepada jumlah pampasan yang dihakimkan oleh Mahkamah.

SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN SAMAN FITNAH

1. Adakah semua kenyataan tidak benar dianggap fitnah?
Tidak. Untuk menjadi fitnah, kenyataan tersebut mesti merosakkan reputasi, disebarkan kepada pihak ketiga dan tidak dilindungi oleh sebarang pembelaan undang-undang seperti komen berpatutan, tanggungjawab sosial atau keistimewaan bersyarat.

2. Berapa lama proses saman fitnah mengambil masa?
Tempoh masa bergantung kepada kerumitan kes, bilangan saksi dan jadual mahkamah. Ada kes selesai dalam beberapa bulan, manakala kes yang dipertikai secara serius boleh mengambil masa lebih lama.

3. Bolehkah saman fitnah diselesaikan tanpa bicara?
Boleh. Pihak-pihak boleh mencapai persetujuan melalui rundingan, permohonan maaf, penarikan balik kenyataan atau pampasan sebelum bicara bermula.

_______________________

tipu tanah, tipu pejabat tanah

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.