>

SOAL JAWAB RINGKAS TENTANG SAMAN SIVIL (BAHAGIAN 2)

saman sivil, qna saman, soalan saman, peguam
 

SOAL JAWAB RINGKAS TENTANG SAMAN SIVIL (BAHAGIAN 2)

SAYA DISAMAN 

1.    S - Saya telah menerima Notis Tuntutan Peguam. Apa yang perlu saya lakukan?

J - Sekiranya anda menerima sesalinan Notis Tuntutan Peguam, anda mempunyai pilihan untuk menjawab dan mencabar setiap dakwaan yang terkandung di dalam Notis Tuntutan Tersebut  sekiranya anda tidak bersetuju dengan dakwaan yang terkandung di dalam Notis tersebut. 

Caranya adalah dengan menghantar satu Surat Jawapan di dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. 

Anda  juga mempunyai pilihan untuk mematuhi apa yang dituntut oleh Notis Tuntutan tersebut sekiranya anda bersetuju dengan dakwaan yang terkandung di dalam Notis tersebut.

2.    S - Sekiranya saya menjawab Notis Tuntutan tersebut, adakah saya tidak akan di saman? 

J - Ianya bergantung kepada jawapan anda terhadap Notis Tuntutan tersebut. Sekiranya anda mematuhi tuntutan sepenuhnya, maka kemungkinan untuk anda di saman adalah tipis. 

Namun sekiranya anda mencabar tuntutan tersebut dan merasakan tuntutan tersebut tidak munasabah, maka pihak yang mengeluarkan Notis tersebut boleh meneruskan tindakan saman keatas anda.

3.    S - Saya telah menerima Saman. Apa yang perlu saya buat?

J - Anda perlu melantik peguam sejurus menerima salinan Saman tersebut atau memfailkan Memorandum Kehadiran di Mahkamah. 

Masa adalah perkara yang sangat penting disisi undang-undang dimana setiap prosedur mempunyai jangkamasa tertentu untuk diikuti. Jangan berlengah.

4.    S - Saya telah menerima Saman, tetapi saya tidak menerima sebarang Notis Tuntutan Peguam. Bolehkah saya di saman walaupun saya tidak menerima Notis Tuntutan tersebut?

J - Secara umumnya, ya. Anda masih boleh di saman walaupun anda tidak menerima Notis Tuntutan.

5.    S - Saya telah menerima Saman tapi saya mengambil keputusan untuk tidak melantik peguam atau memfailkan Memorandum Kehadiran. Apa yang akan berlaku terhadap saya?

J - Sekiranya anda memilih untuk tidak melantik peguam atau memfailkan Memorandum Kehadiran, Penghakiman Ingkar Kehadiran atau Penghakiman Interlokutori boleh difailkan terhadap anda. 

Sekiranya Penghakiman Ingkar direkodkan keatas anda, maka Penghakiman tersebut boleh dikuat kuasakan melalui proses Perlaksanaan. Sekiranya Penghakiman Interlokutori direkodkan, Mahkamah boleh menetapkan bicara tanpa kehadiran anda dan Penghakiman Penuh boleh direkodkan keatas anda yang seterusnya boleh dikuatkuasakan.

6.    S - Apa itu Perlaksanaan Penghakiman?

J - Perlaksanaan Penghakiman adalah tindakan yang dimulakan terhadap anda kerana kegagalan anda membayar atau mematuhi sesuatu Penghakiman. 

Ianya mungkin dalam bentuk tindakan Kebankrapan, Penggulungan Syarikat, Penyitaan dan Penjualan Barangan, Rampasan Baki Akaun Bank melalui Garnisi atau Saman Penghutang Penghakiman.

7.    S - Kalau Penghakiman Ingkar direkodkan ke atas saya, adakah saya boleh lawan?

J - Anda masih boleh memfailkan Permohonan untuk mengetepikan Penghakiman Ingkar tersebut, namun ada ada tempoh masa yang perlu dipatuhi dan anda juga perlu ada alasan yang kukuh kenapa anda tidak melantik peguam atau memfailkan Memorandum Kehadiran.

8.    S - Saya telah menerima Saman. Bagaimana cara untuk saya melantik peguam?

J - Hubungi peguam pilihan anda atau hubungi saya. Peguam yang dipilih akan memberitahu langkah-langkah seterusnya untuk perlantikan.

9.     S - Saya telah menerima Saman dan saya telah melantik peguam pilihan saya. Apa yang saya perlu lakukan seterusnya?

J - Anda perlu menyimpan apa-apa dokumen yang berkaitan dengan kes anda dan memberikan salinannya kepada peguam anda apabila diminta berbuat demikian. Sekiranya anda mempunyai saksi untuk menyokong anda, anda perlu memaklumkan kepada peguam dan kepada saksi tersebut dan mendapatkan kesanggupannya untuk membantu anda. 

Selepas daripada itu, ikut arahan peguam anda dengan cermat, teliti dan mengikut masa yang ditetapkan.

10.     Saya telah kalah kes selepas bicara. Apa yang boleh saya buat?

J - Anda mempunyai pilihan untuk mematuhi Penghakiman yang dikenakan terhadap anda, ataupun anda boleh memfailkan rayuan.

Baca Bahagian 1 - Apa yang perlu dilakukan sekiranya saya ingin menyaman?


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.