>

FITNAH BERTULIS DAN FITNAH MULUT

 

fitnah bertulis, defamation, norhafeezlaw

Rencana ini akan memberikan penerangan secara ringkas berkenaan dengan bentuk-bentuk fitnah disisi undang-undang iaitu slander dan libel serta perbezaan yang ketara di antara kedua-duanya.

BENTUK-BENTUK FITNAH

1. Secara mudah dan ringkas, fitnah boleh berlaku melalui dua bentuk utama. 

2. Bentuk yang pertama adalah fitnah dalam bentuk bertulis atau dalam bentuk kekal (permanent form).

3. Bentuk yang kedua pula adalah fitnah dalam bentuk ucapan (spoken words) atau gerak badan (gestures) iaitu bentuk yang tidak kekal (transient form).

FITNAH BERTULIS

4. Secara umumnya, apabila terdapat penerbitan atau penyebaran suatu kenyataan bertulis, dimana kenyataan tersebut mengandungi tuduhan palsu dan fitnah, yang merujuk secara khusus kepada anda maka ianya dikenali sebagai Libel

5. Bertulis disini bermaksud fitnah tersebut adalah di dalam bentuk kekal.

6. Di antara contoh-contoh popular fitnah-fitnah dalam bentuk kekal adalah seperti status dan komen di dalam facebook, instagram atau twitter (media sosial) dan juga kandungan buku, suratkhabar dan majalah (media cetak).  

FITNAH MULUT 

7. Fitnah mulut pula adalah apabila berlakunya tohmahan bersifat fitnah terhadap anda melalui ucapan atau percakapan dan gerak badan. Fitnah dalam bentuk ini dikenali sebagai Slander.

SYARAT UNTUK MENYAMAN

8. Secara asasnya, kedua-dua bentuk fitnah ini perlu memenuhi tiga (3) syarat-syarat atau elemen-elemen fitnah iaitu:

(a) kenyataan itu sendiri hendaklah mengandungi tuduhan berbentuk fitnah;

(b) kenyataan fitnah tersebut hendaklah merujuk atau ditujukan kepada anda secara khusus; dan

(c) kenyataan fitnah tersebut telah diterbitkan atau disebarkan.

PERBEZAAN SYARAT

9. Tindakan saman bagi fitnah secara bertulis boleh dimulakan tanpa anda perlu membuktikan bahawa anda telah mengalami kerugian disebabkan oleh fitnah tersebut (actionable per se). Namun berbeza bagi fitnah mulut.

10. Yang sedikit membezakan syarat bagi fitnah mulut berbanding fitnah bertulis adalah; bagi fitnah mulut, anda perlu membuktikan bahawa anda telah mengalami kerugian khas (actionable on proof of special damages) dan kerugian khas ini hendaklah boleh dibuktikan.

11. Sekiranya kerugian khas ini tidak dibuktikan di Mahkamah, tuntutan anda bukan sahaja boleh ditolak bahkan saman anda boleh dibuang (struck out).

12. Walaubagaimanapun, syarat untuk membuktikan terdapatnya kerugian khas ini tidak terpakai sekiranya fitnah mulut tersebut melibatkan fitnah berikut:

(a) fitnah yang melibatkan ketidaksucian (unchastity) atau keterlibatan dalam zina (adultery) seorang wanita; dan

(b) fitnah yang melibatkan kedudukan rasmi, professional dan reputasi perniagaan seseorang. 


norhafeezlaw.com


_________________________

Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej dibawah.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.