>

SYARAT SAMAN FITNAH

saman fitnah, defamation, syarat saman malu

Di dalam rencana ini, anda akan memperoleh maklumat ringkas dan kompak berkenaan dengan syarat-syarat fitnah ataupun apa yang dikenali sebagai elemen-elemen fitnah bagi suatu saman fitnah dan juga kepentingan elemen-elemen fitnah ini di dalam sesuatu tindakan saman.

SYARAT SAMAN FITNAH

1. Sebelum anda memfailkan sesuatu tindakan saman fitnah atau saman malu, anda perlu memberi perhatian kepada syarat-syarat saman fitnah yang perlu dipenuhi bagi tindakan anda.

2. Sepertimana yang dinyatakan di dalam rencana-rencana sebelum ini, secara umumnya, syarat-syarat atau elemen-elemen bagi fitnah terbahagi kepada tiga (3). Elemen-elemen tersebut adalah:

(i) kenyataan itu sendiri hendaklah mengandungi tuduhan berbentuk fitnah;

(ii) kenyataan fitnah tersebut hendaklah merujuk atau ditujukan kepada anda secara khusus; dan

(iii) kenyataan fitnah tersebut telah diterbitkan atau disebarkan.

3. Beban atau burden of proof untuk memenuhi kesemua syarat-syarat ini terletak di atas bahu anda sebagai Plaintif dan bukannya pada orang yang anda ingin saman.

SYARAT FITNAH PERTAMA - KENYATAAN BERBENTUK FITNAH

4. Syarat saman fitnah yang pertama adalah kenyataan yang menjadi subjek kepada saman tersebut hendaklah mengandungi tuduhan berbentuk fitnah.

5. Formula yang kerap diadaptasi oleh Mahkamah di dalam menilai samada sesuatu kenyataan tersebut mengandungi fitnah atau tidak, adalah seperti berikut:

(a) kenyataan tersebut mengandungi tuduhan yang boleh menyebabkan pembaca atau masyarakat memandang rendah terhadap anda; atau

(b) kenyataan tersebut mengandungi tuduhan yang boleh menyebabkan anda dipulau atau dipinggirkan (shunned or avoided); atau

(c) kenyataan tersebut mengandungi tuduhan yang boleh menyebabkan anda terdedah kepada kebencian, penghinaan atau ejekan orang lain; atau

(d) kenyataan tersebut mengandungi tuduhan perbuatan yang buruk, jelek dan tidak bermaruah terhadap anda.

SYARAT FITNAH KEDUA - KENYATAAN TERSEBUT DITUJUKAN KEPADA ANDA SECARA KHUSUS

6. Syarat yang kedua pula adalah tuduhan tersebut hendaklah merujuk kepada anda secara khusus.

7. Contoh rujukan khusus kepada anda boleh berlaku di dalam bentuk rujukan nama, gambar atau apa-apa isyarat yang boleh difahami sebagai merujuk kepada anda.

SYARAT FITNAH KETIGA - KENYATAAN TERSEBUT DITERBITKAN

8. Syarat terakhir yang perlu anda penuhi adalah tuduhan jahat yang dibuat terhadap anda itu hendaklah diterbitkan kepada pihak ketiga.

9. Penerbitan ini boleh berlaku di dalam bentuk tidak kekal (transient form) seperti tohmahan atau kata-kata ataupun dalam bentuk kekal (permanent form) seperti penulisan mahupun rakaman video.

KEPENTINGAN MEMENUHI SYARAT

10. Anda perlu tahu bahawa ketiga-tiga syarat-syarat ini wajib dipenuhi kesemuanya.

11. Sekiranya semua atau salah satu daripada syarat-syarat ini gagal dipenuhi, maka saman fitnah anda boleh ditolak (dismissed) atau dibuang (struck out).

12. Sekiranya orang yang anda saman (Defendan) tersebut melantik peguam, maka peguam beliau akan cuba sedaya upaya mencabar tindakan anda dengan menunjukkan kepada Mahkamah bahawa anda telah gagal untuk memenuhi kesemua atau salah satu daripada syarat-syarat tersebut.


norhafeezlaw.com



_________________________

Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej dibawah.


0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.