>

AKU KENA SAMAN SIVIL — APA ITU & APA MAKSUDNYA DALAM UNDANG-UNDANG MALAYSIA?

Kena saman sivil di Mahkamah Malaysia

AKU KENA SAMAN SIVIL — APA ITU & APA MAKSUDNYA DALAM UNDANG-UNDANG MALAYSIA?

Dikemas kini pada: 01 Januari 2026

Saat pertama kita terima dokumen yang mengandungi suatu saman sivil, reaksi paling biasa ialah panik dan tidak tentu arah. Kepala mula fikirkan pelbagai kemungkinan. Adakah betul ini dokumen saman sebenar? Kenapa kita di saman? Apa akan jadi sekiranya kita tak buat apa-apa? Soalan-soalan ini sangat normal, dan hampir semua orang yang pertama kali menerima saman akan melalui fasa dan keadaan yang serupa.

Kami kongsikan rencana ini untuk membantu kita semua agar kita dapat faham secara lebih tenang dan tersusun apakah sebenarnya saman sivil, apa maksudnya dari sudut undang-undang, dan apakah risiko sebenar jika kita ambil ringan perkara ini.

Apa Sebenarnya Saman Sivil?

1. Saman sivil ialah tindakan undang-undang yang difailkan oleh seseorang atau syarikat terhadap suatu pihak lain untuk menuntut hak atau pampasan. 

2. Apabila kita menerima sesalinan saman, maksudnya terdapat satu pihak yang telah memfailkan saman terhadap kita di Mahkamah untuk menuntut sesuatu daripada kita. Lazimnya ia tidak sama dengan saman jenayah dan kebiasaannya tidak melibatkan hukuman penjara. 

3. Namun begitu, kesannya boleh menjadi sangat serius dari sudut kewangan dan undang-undang.

4. Apabila terdapat sesuatu pihak yang menuntut sesuatu daripada kita menerusi saman sivil, maksudnya tuntutan yang dibuat itu mungkin melibatkan tuntutan pampasan kewangan disebabkan suatu tindakan kita, tuntutan untuk memberhentikan sesuatu tindakan, tuntutan untuk meneruskan sesuatu tindakan atau pengesahan liabiliti atau kebertanggungjawaban kita terhadap sesuatu keadaan.

5. Dalam konteks Malaysia, saman sivil biasanya melibatkan perkara seperti tuntutan hutang, pelanggaran kontrak, tuntutan ganti rugi akibat kecuaian, saman fitnah, atau pertikaian perniagaan. 

6. Walaupun ia kelihatan seperti isu “kewangan” semata-mata, namun implikasinya boleh berpanjangan jika kita tidak mengendalikannya dengan tertib, betul dan teliti.

Macam Mana Saman Sivil Bermula?

7. Kebanyakan saman sivil bermula apabila pihak lawan merasakan hak mereka telah kita langgar dan pertikaian tersebut tidak dapat diselesaikan dengan secara baik. 

8. Dalam keadaan itu, maka langkah mereka yang seterusnya ialah memfailkan tindakan di mahkamah, biasanya melalui Writ Saman atau Saman Pemula.

9. Setelah saman tersebut difailkan dan didaftarkan, maka mereka perlu menyerahkan sesalinan Saman tersebut kepada kita. Kenapa? Untuk memboleh kita mengambil maklum dan tahu berkenaan dengan tindakan undang-undang yang telah dimulakan terhadap kita.

10. Apabila sesalinan dokumen saman ini diserahkan kepada kita, ia bermaksud satu kes rasmi yang telah didaftar di Mahkamah, telah mula berjalan. 

11. Pada tahap ini, undang-undang menetapkan tempoh masa tertentu untuk kita memberi respon dengan mengambil tindakan-tindakan tertentu. Ini bukan lagi sekadar surat ugutan atau ancaman kosong.

Apa Berlaku Kalau Kita Abaikan Saman Sivil?

12. Ramai orang beranggapan bahawa dengan tidak memberi respon, masalah akan selesai atau hilang sendiri. Ini adalah salah faham yang sangat berbahaya. 

13. Jika kita gagal mengambil tindakan dalam tempoh yang ditetapkan, pihak lawan boleh memohon penghakiman ingkar kehadiran terhadap kita.

14. Apabila Penghakiman Ingkar diberikan, mahkamah boleh membenarkan tuntutan pihak Plaintif tanpa mendengar pembelaan kita. 

15. Kesan seterusnya yang mungkin boleh berlaku termasuk perintah bayaran, prosiding penyitaan harta, prosiding garnisi akaun bank, dan dalam kes hutang yang besar, risiko prosiding kebankrapan.

Apa Langkah Penting Bila Kita Kena Saman Sivil?

16, Langkah paling penting ialah jangan panik dan jangan berdiam diri. Kita perlu faham isi kandungan saman tersebut, fakta-fakta dan tarikh-tarikh penting, dan jenis tuntutan yang dibuat terhadap kita. 

17. Pada tahap ini, mendapatkan nasihat peguam bukan soal mahu atau tidak, tetapi soal melindungi kedudukan kita.

18. Dalam banyak keadaan, strategi awal yang betul boleh mengurangkan risiko, membuka ruang rundingan, atau membina pembelaan yang kukuh. Sebaliknya, kesilapan awal boleh menjejaskan keseluruhan kes walaupun kita sebenarnya mempunyai asas pembelaan yang baik.

Rujukan berkaitan:

• Soal Jawab ringkas tentang perlantikan peguam: Baca di sini

• Penghakiman Ingkar Kehadiran (JID). Apa kesannya?: Baca di sini

SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN SAMAN SIVIL

1. Adakah saman sivil boleh menyebabkan penjara?
Tidak. Saman sivil lazimnya tidak melibatkan hukuman penjara. Namun, kegagalan mematuhi perintah mahkamah boleh membawa implikasi undang-undang lain yang serius.

2. Perlukah kita lantik peguam jika kena saman sivil?
Walaupun undang-undang tidak mewajibkan peguam, realitinya kes sivil melibatkan proses, prosedur rumit dan pengetahuan menerusi kepakaran peguam yang berpengalaman. Tindakan secara sendirian boleh menjejaskan hak kita jika silap langkah.

3. Bolehkah saman sivil diselesaikan tanpa perbicaraan penuh?
Ya. Banyak kes sivil diselesaikan melalui rundingan atau penyelesaian luar mahkamah jika ditangani dengan pendekatan yang betul.

_______________________

Hafeez Hazlina Fima Guaman Kuala Lumpur

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.