Dikemas kini pada: 11 April 2026
Bila kita menerima satu dokumen yang mendakwa kita telah disaman secara sivil, reaksi paling biasa ialah rasa tidak percaya dan defensif. Adakah betul saman yang diterima adalah saman yang tulen dan sebenar? Atau sekadar surat ugutan atau scam? Soalan ini sangat munasabah, kerana implikasi saman sivil bukan kecil.
Artikel ini menerangkan secara praktikal bagaimana kita boleh menyemak ketulenan saman sivil yang diterima, mengenal pasti Mahkamah yang terlibat, memahami status kes menggunakan nombor kes yang dinyatakan dalam saman tersebut, serta mengetahui langkah awal yang wajar diambil jika saman itu benar-benar tulen.
- Bagaimana Saman Sivil Biasanya Diserahkan Kepada Kita?
- Bagaimana Cara Menyemak Ketulenan Saman Melalui Nombor Kes dan QR Code?
- Bolehkah Kita Menyemak Saman Dengan Menghubungi Mahkamah?
- Perlukah Kita Hadir Sendiri Ke Mahkamah Untuk Menyemak Saman dan Status Kes?
- Jika Saman Itu Sah, Apa Langkah Seterusnya Yang Perlu Dibuat?
- Apa Risiko Jika Kita Mengabaikan Saman Sivil?
- Bolehkah Kita Menyemak Saman Melalui Sistem e-Kehakiman?
- Soalan Lazim (FAQ)
Bagaimana Saman Sivil Biasanya Diserahkan Kepada Kita?
1. Dalam kebanyakan keadaan, sesuatu Writ Saman itu lazimnya akan diserahkan kepada kita dalam bentuk salinan bercetak atau hard copy.
2. Apa maksudnya? Ini bermaksud kita biasanya akan menerima saman sama ada melalui serahan tangan oleh pihak penghantar saman atau melalui pos berdaftar dengan akuan terima.
3. Jika kita hanya menerima panggilan telefon, mesej WhatsApp, atau e-mel tanpa sebarang dokumen rasmi bercetak, maka kita perlu berhati-hati. Kita perlu sentiasa ingat bahawa secara amnya saman sivil yang tulen akan melibatkan dokumen fizikal yang jelas dan terperinci.
Bagaimana Cara Menyemak Ketulenan Saman Melalui Nombor Kes dan QR Code?
4. Langkah pertama untuk menyemak ketulenan saman ialah dengan meneliti nombor kes yang tertera di bahagian atas dokumen saman. Nombor ini bukan hiasan, tetapi rujukan rasmi yang mengandungi maklumat tentang jenis kes, tahun dan Mahkamah yang mendengar kes tersebut.
5. Selain itu, sesalinan saman sivil tulen yang telah didaftarkan lazimnya mempunyai kod QR di bahagian bawah dokumen.
6. Apabila kod ini diimbas, ia akan membawa kita ke laman web rasmi Mahkamah yang akan memaparkan salinan saman yang sama dengan saman yang kita terima. Kita perlu membandingkan butiran dalam talian dengan dokumen fizikal yang diterima.
7. Jika maklumat tersebut sepadan, besar kemungkinan saman itu adalah sah. Namun, jika tiada QR code atau maklumat yang dipaparkan tidak sepadan, ini adalah satu petanda serius bahawa dokumen tersebut mungkin bukan saman yang tulen.
Bolehkah Kita Menyemak Saman Dengan Menghubungi Mahkamah?
8. Cara kedua yang sangat berkesan untuk memeriksa ketulenan saman adalah dengan menghubungi Mahkamah yang dinyatakan dalam saman secara panggilan telefon.
9. Kita boleh merujuk kepada kepala dokumen saman untuk mengetahui sama ada kes tersebut difailkan di Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi dan Mahkamah tersebut berada di daerah mana.
10. Apabila menghubungi Mahkamah tersebut, kita boleh meminta bantuan operator atau pegawai bertugas untuk mengesahkan sama ada nombor kes itu wujud dan sama ada kita benar-benar dinamakan sebagai Defendan.
11. Jika saman itu tulen, Mahkamah biasanya boleh mengesahkannya tanpa masalah.
Perlukah Kita Hadir Sendiri Ke Mahkamah Untuk Menyemak Saman dan Status Kes?
12. Sekiranya kita masih ragu-ragu, langkah paling selamat ialah dengan membuat salinan dokumen saman dan hadir sendiri ke Mahkamah yang berkenaan.
13. Di kaunter pendaftaran, kita boleh meminta pegawai Mahkamah menyemak ketulenan saman tersebut.
14. Selain mengesahkan saman, kita juga boleh mendapatkan maklumat mengenai status semasa kes, sama ada ia masih di peringkat awal, telah difailkan pembelaan, atau berada di peringkat prosiding seterusnya. Maklumat ini penting sebelum kita membuat keputusan lanjut, termasuk melantik peguam.
Jika Saman Itu Sah, Apa Langkah Seterusnya Yang Perlu Dibuat?
15. Jika setelah disemak kita mendapati bahawa saman tersebut memang tulen dan telah difailkan di Mahkamah, langkah paling penting ialah memahami tarikh dan tempoh yang diberikan dalam saman tersebut.
16. Dalam kebanyakan kes sivil, seseorang Defendan perlu mengambil perhatian terhadap tempoh untuk memfailkan Memorandum Kehadiran dan seterusnya mempertimbangkan langkah pembelaan yang sesuai. Tempoh ini bukan perkara kecil kerana kegagalan untuk bertindak dalam masa yang diberikan boleh membawa kesan yang serius.
17. Oleh itu, selepas memastikan saman tersebut sah, seseorang Defendan lazimnya perlu menilai kedudukan kes dengan segera dan mempertimbangkan untuk mendapatkan nasihat peguam bagi memahami pilihan yang ada sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Apa Risiko Jika Kita Mengabaikan Saman Sivil?
18. Mengabaikan saman sivil bukanlah satu pilihan yang selamat. Jika Defendan tidak mengambil tindakan dalam tempoh yang ditetapkan, Plaintif boleh memohon penghakiman ingkar kehadiran terhadap Defendan.
19. Penghakiman ini bermaksud Mahkamah boleh memberikan keputusan terhadap Defendan tanpa perlu mendengar pembelaannya terlebih dahulu. Dalam keadaan tertentu, ini boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan seperti penyitaan harta, perintah garnishee terhadap akaun bank atau tindakan lain yang dibenarkan oleh undang-undang.
20. Oleh itu, jika seseorang menerima saman sivil yang tulen, tindakan paling selamat ialah memahami kedudukan kes secepat mungkin dan tidak membiarkan dokumen tersebut tanpa sebarang tindakan.
Bolehkah Kita Menyemak Saman Melalui Sistem e-Kehakiman?
21. Dalam sistem Mahkamah Malaysia, sebahagian maklumat kes boleh diakses melalui sistem dalam talian seperti e-Kehakiman atau portal yang berkaitan dengan Mahkamah.
22. Walau bagaimanapun, akses penuh kepada dokumen kes biasanya terhad kepada pihak yang terlibat dalam kes atau peguam yang mewakili mereka.
23. Oleh itu, semakan melalui Mahkamah secara terus sama ada melalui telefon atau kunjungan ke Mahkamah masih merupakan cara yang paling pasti untuk mengesahkan ketulenan saman dan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai status kes.
Rujukan berkaitan:
• Scam Saman atau Penghakiman Palsu?: Baca di sini
• Scam Panggilan Telefon dari Peguam atau Firma Guaman? Baca di sini
• Risiko Kalau Kita Abaikan Saman Sivil: Baca di sini
• Lantik Peguam: Whatsapp Peguam di sini
SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN SEMAKAN SAMAN SIVIL
1. Bolehkah saman sivil disemak melalui CTOS?
CTOS boleh menunjukkan rekod berkaitan kes sivil tertentu, tetapi ia bukan pengesahan rasmi. Pengesahan sebenar sama ada suatu saman itu benar-benar wujud atau tidak masih perlu dibuat melalui Mahkamah.
2. Jika saman itu tulen, apa langkah seterusnya?
Kita perlu melihat tarikh-tarikh penting dalam saman tersebut, memahami tempoh untuk hadir atau memfailkan dokumen yang berkaitan, dan mempertimbangkan untuk mendapatkan nasihat peguam seawal mungkin.
3. Bolehkah saman sivil itu sebenarnya scam?
Ya, terdapat keadaan di mana dokumen palsu digunakan untuk menakutkan penerima. Sebab itu semakan melalui QR code, panggilan ke Mahkamah dan semakan terus di kaunter Mahkamah adalah sangat penting.
4. Kalau saya hanya terima WhatsApp atau panggilan telefon, adakah itu sudah bermaksud saya disaman?
Tidak semestinya. Secara umum, saman sivil yang tulen lazimnya melibatkan dokumen rasmi yang jelas dan boleh dirujuk. Jika hanya ada panggilan telefon atau mesej tanpa dokumen rasmi, kita perlu berhati-hati.
5. Perlukah saya terus melantik peguam sebaik sahaja menerima saman?
Ia bergantung kepada keadaan kes, tetapi jika saman itu tulen, adalah lebih selamat untuk mendapatkan nasihat peguam lebih awal supaya kedudukan kita tidak terjejas akibat kelewatan bertindak.
6. Bolehkah saya semak status kes hanya dengan nombor kes?
Nombor kes sangat penting kerana ia membantu mengenal pasti jenis kes, tahun dan Mahkamah yang terlibat. Dengan nombor kes tersebut, semakan lanjut boleh dibuat melalui Mahkamah atau saluran rasmi yang berkaitan.
_______________________
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.