>

BAGAIMANA PENGESAHAN HUTANG MELALUI WHATSAPP BOLEH MENGHIDUPKAN SEMULA HUTANG LAPUK?

pengesahan hutang melalui whatsapp atau SMS


Dikemaskini pada: 20 Februari 2026

Hutang yang melebihi enam tahun lazimnya tidak boleh dituntut di Mahkamah kerana had masa. Namun, jika penghutang membuat pengesahan hutang secara bertulis atau digital, undang-undang membenarkan satu pembaharuan kausa tindakan atau “fresh accrual of cause of action”, sekali gus menghidupkan semula hak tuntutan pemiutang.

Rencana ini menerangkan konsep hutang lapuk, prinsip had masa, serta bagaimana pengesahan hutang melalui mesej seperti SMS atau WhatsApp boleh memberi kesan undang-undang yang serius.

Hutang lapuk dan Seksyen 6 Akta Had Masa 1953

Di bawah undang-undang Malaysia, tuntutan hutang tertakluk kepada had masa. Prinsip ini bertujuan memberi kepastian undang-undang dan mengelakkan tuntutan lama dibangkitkan tanpa batas.

Seksyen 6 Akta Had Masa 1953 memperuntukkan seperti berikut:

“6. Except as hereinafter provided, the following actions shall not be brought after the expiration of six years from the date on which the cause of action accrued, that is to say: (a) actions founded on a contract…”

Ini bermaksud, secara umum, tuntutan berasaskan kontrak termasuk hutang mesti difailkan dalam tempoh enam tahun dari tarikh punca tindakan timbul.

Apakah maksud pembaharuan kausa tindakan atau fresh accrual of cause of action?

Pembaharuan Kausa tindakan atau fresh accrual of cause of action merujuk kepada keadaan di mana hak tuntutan yang telah  luput, dihidupkan semula oleh peristiwa undang-undang atau tindakan tertentu.

Dalam konteks hutang, peristiwa atau tindakan tertentu tersebut biasanya berlaku apabila penghutang mengesahkan kewujudan hutang atau membuat bayaran sebahagian terhadap hutang tersebut.

Apabila pembaharuan kausa tindakan berlaku, tempoh had masa akan dikira semula bermula dari tarikh pengesahan atau bayaran terakhir tersebut.

Seksyen 26 dan 27 Akta Had Masa 1953: pengesahan hutang?

Prinsip pengesahan hutang diperuntukkan secara jelas dalam Akta Had Masa 1953. Seksyen 26(2) yang menyatakan:

“Where any right of action has accrued to recover any debt… and the person liable therefor acknowledges the claim or makes any payment in respect thereof, the right shall be deemed to have accrued on and not before the date of the acknowledgment or the last payment.”

Seksyen 27(1) pula menetapkan syarat formal bagi pengesahan tersebut:

“Every such acknowledgment… shall be in writing and signed by the person making the acknowledgment.”

Gabungan kedua-dua seksyen ini bermaksud pengesahan hutang boleh mencipta tarikh kausa atau punca tindakan yang baharu, tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu.

Pemahaman lama tentang pengesahan hutang

Pada awalnya, pengesahan hutang difahami sebagai satu dokumen bertulis yang ditandatangani secara fizikal oleh penghutang, seperti surat atau perjanjian.

Pendekatan ini berasaskan tafsiran literal bahawa “bertulis” dan “ditandatangani” memerlukan dokumen fizikal dengan tandatangan tangan.

Mesej digital (SMS/Whatsapp/DM) sebagai pengesahan

Mahkamah Persekutuan dalam Yam Kong Seng & Anor v Yee Weng Kai mengesahkan bahawa mesej SMS boleh memenuhi keperluan “bertulis” dan “ditandatangani”.

Mahkamah mengambil pendekatan purposif dan realistik, selari dengan Akta Tafsiran 1948 dan 1967 serta Akta Perdagangan Elektronik 2006.

Mesej digital yang boleh diakses, difahami, dan disimpan untuk rujukan kemudian adalah boleh dianggap sebagai “in writing” dan Identiti pengirim sebagai pemilik akaun SMS atau whatsapp tersebut pula boleh memenuhi keperluan “signature”.

Syarat pengesahan hutang diterima Mahkamah

Pertama, mesej atau komunikasi mesti menunjukkan niat jelas untuk mengakui kewujudan hutang, sama ada secara langsung atau implikasi yang munasabah.

Kedua, komunikasi tersebut mesti dapat dikenal pasti sebagai datang daripada penghutang, sama ada melalui nombor telefon, akaun WhatsApp, atau pengakuan pihak itu sendiri.

Ketiga, kandungan mesej tidak boleh samar atau bercanggah sehingga menimbulkan keraguan tentang maksud sebenar pengesahan tersebut.

Contoh pengesahan hutang

Sebagai contoh, seorang penghutang menghantar mesej WhatsApp menyatakan, “Saya akui masih berhutang RM80,000 dan akan cuba bayar sedikit demi sedikit.” Mesej ini boleh dianggap sebagai pengesahan hutang.

Dalam keadaan tersebut, walaupun hutang asal telah melebihi enam tahun, mesej itu boleh mewujudkan fresh accrual of cause of action bermula dari tarikh mesej dihantar.

Soalan Lazim (FAQ)

Bolehkah SMS atau WhatsApp menghidupkan semula hutang lapuk?
Ya, jika mesej tersebut jelas mengesahkan kewujudan hutang dan boleh dibuktikan datang daripada penghutang.

Adakah perlu perkataan “saya mengaku berhutang” digunakan?
Tidak semestinya. Mahkamah melihat kepada maksud keseluruhan mesej dan niat yang dizahirkan.

Adakah setiap mesej tentang hutang dikira sebagai pengesahan?
Tidak. Mesej yang bersifat menafikan, bersyarat secara mutlak, atau kabur mungkin tidak mencukupi.

Bila tempoh enam tahun akan bermula semula?
Tempoh had masa akan dikira semula dari tarikh pengesahan atau bayaran terakhir dibuat.

_______________________

Hafeez Hazlina Fima Guaman Kuala Lumpur

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej di atas.

0 Pertanyaan & Jawapan

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.