Menyebarkan fitnah, tuduhan atau cerita tidak benar dalam group WhatsApp, Telegram atau platform seumpamanya boleh menjadi fitnah di sisi undang-undang. Hakikat bahawa ia berlaku dalam “group tertutup” tidak menjadikannya selamat atau kebal.
Artikel ini menerangkan bagaimana fitnah berlaku dalam group, perbezaannya dengan media sosial terbuka, serta isu penting berkaitan pembuktian pemilik akaun.
Rujukan berkaitan:
• Fitnah Facebook dan Saman Malu Media Sosial: Baca di sini
• Bagaimanakah Cara untuk Mengaplikasi Syarat Fitnah?: Baca di sini
• Bagaimanakah Cara untuk Memfailkan Saman Fitnah?: Baca di sini
Apa Itu Group WhatsApp, Telegram & Platform Seumpamanya?
1. Aplikasi seperti Whatsapp, Telegram dan WeChat, sebagai contoh, adalah aplikasi-aplikasi yang berfungsi sebagai platform komunikasi berkumpulan yang membolehkan mesej dihantar kepada ramai ahli secara serentak.
2. Group atau kumpulan-kumpulan ini lazimnya bersifat separa tertutup — hanya ahli yang dimasukkan sahaja boleh membaca kandungan perbualan. Fungsi asalnya adalah untuk komunikasi kerja, keluarga, komuniti atau organisasi.
3. Namun dari sudut undang-undang, mesej bertulis, suara, imej atau video dalam group atau kumpulan-kumpulan tetap merupakan satu bentuk penerbitan jika ia boleh dibaca oleh pihak lain selain penulis asal.
Bagaimana Fitnah Boleh Tersebar Dalam Group?
4. Fitnah dalam group biasanya bermula dalam bentuk “forwarded message”, tangkapan skrin, atau cerita lisan yang ditulis semula tanpa pengesahan.
5. Ramai beranggapan bahawa berkongsi sesuatu dalam group yang kecil adalah selamat kerana ia bukan untuk tontonan umum. Ini adalah salah faham yang serius.
6. Apabila mesej itu mencemarkan reputasi seseorang dan dibaca oleh ahli-ahli group yang lain, maka elemen penyebaran kepada pihak ketiga di dalam undang-undang fitnah atau saman malu telah pun wujud.
Perbezaan Fitnah Dalam Group vs Media Sosial Terbuka
7. Di media sosial terbuka seperti Facebook, Tiktok atau Threads, kandunganya lazimnya dipaparkan kepada umum dan risiko fitnah adalah lebih jelas kerana capaian umumnya yang sangat luas dan tanpa had.
8. Dalam senario group WhatsApp atau Telegram, walaupun skop penerbitannya lebih kecil, tetapi ini tidak menafikan liabiliti. Mahkamah akan menilai sama ada kenyataan itu sampai kepada pihak ketiga yang boleh membentuk pandangan dan persepsi negatif terhadap mangsa.
9. Bezanya, dalam group, isu pembuktian sering tertumpu kepada: jumlah ahli group, siapa ahli group, identiti atau kawalan pemilik akaun yang menghantar mesej, serta sejauh dan selama mana mesej itu kekal dan tersebar.
Elemen Fitnah & Isu Pembuktian Pemilik Akaun
10. Untuk membuktikan fitnah, pihak yang menuntut perlu menunjukkan bahawa kenyataan tersebut bersifat memfitnah, merujuk kepada dirinya, dan telah diterbitkan kepada pihak ketiga.
11. Dalam kes group WhatsApp, Telegram dan yang seumpamanya, isu kritikal adalah pembuktian bahawa akaun tersebut dimiliki atau dikawal oleh orang yang ingin disaman.
12. Ini biasanya melibatkan bukti seperti nombor telefon, tangkapan skrin profil, sejarah perbualan, pengesahan ahli group, serta keterangan saksi yang mengenali pemilik akaun tersebut.
13. Oleh itu, adalah persediaan penting untuk mangsa fitnah menyediakan tangkapan-tangkapan skrin yang berkenaan untuk rujukan peguam dan Mahkamah.
Bila Tindakan Undang-Undang Wajar Dipertimbangkan?
14. Tindakan undang-undang wajar dipertimbangkan apabila fitnah tersebut memberi kesan nyata kepada reputasi, kerjaya, perniagaan atau hubungan peribadi mangsa.
15. Lebih awal bukti dikumpulkan, maka lebih tinggi kebarangkalian untuk membina kes yang kukuh dan mengelakkan kehilangan bahan bukti digital.
16. Apatah lagi bahan bukti digital amat mudah untuk dihapuskan. Maka tindakan awal untuk pengumpulan bukti adalah amat amat penting.
Soalan Lazim (FAQ)
_______________________


0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.