SYARIKAT SDN. BHD. KENA SAMAN — APA PERLU DIBUAT & APA RISIKONYA?
Dikemas kini pada: 22 Januari 2026
Apabila sesebuah syarikat Sendirian Berhad menerima saman, reaksi biasa pengarah atau pemilik ialah menganggap ia sama seperti saman terhadap individu. Ada yang menyangka mereka boleh hadir sendiri ke Mahkamah, ada yang beranggapan saman itu perlu diserahkan secara peribadi kepada pengarah, dan ada juga yang memilih untuk menangguhkan tindakan kerana menyangka ia masih boleh “dibincang kemudian”.
Hakikatnya, undang-undang memperlakukan syarikat sebagai satu entiti yang berasingan dan tersendiri. Kesilapan memahami kedudukan ini sering menyebabkan syarikat menanggung risiko undang-undang dan kewangan yang jauh lebih besar.
Syarikat Sebagai Entiti Undang-Undang Berasingan
1. Di bawah undang-undang Malaysia, sesebuah syarikat Sendirian Berhad adalah satu entiti undang-undang yang berasingan daripada pengarah dan pemegang sahamnya.
2. Prinsip ini bermaksud hak dan liabiliti syarikat adalah milik syarikat itu sendiri, bukan secara automatik milik individu yang menguruskannya.
3. Seksyen 21 (1) (a) Akta Syarikat 2016 menggariskan seperti berikut:
21. (1) A company shall be capable of exercising all the functions of a body corporate and have the full capacity to carry on or undertake any business or activity including— (a) to sue and be sued;
4. Oleh itu, apabila syarikat disaman, saman tersebut adalah terhadap syarikat, bukan terhadap pengarah secara peribadi. Dan apabila syarikat memfailkan saman, saman tersebut adalah dibawah nama syarikat itu sendiri dan bukannya pengarah atau pemegang saham syarikat tersebut.
Bagaimana Saman Diserahkan Kepada Syarikat
5. Ramai pengarah menyangka saman hanya sah jika diserahkan secara peribadi kepada mereka. Anggapan ini adalah tidak tepat. Undang-undang membenarkan saman terhadap syarikat diserahkan melalui beberapa cara.
6. Salah satu cara penyerahan saman terhadap syarikat adalah dengan meletakkan sesalinan saman di alamat berdaftar syarikat atau alamat perniagaan syarikat.
7. Ini bermaksud saman boleh ditinggalkan di pejabat syarikat, diserahkan kepada kakitangan yang bertugas, atau dihantar ke alamat berdaftar yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
8. Sama ada pengarah membaca atau tidak, penyampaian tersebut boleh dianggap sah jika mematuhi kehendak undang-undang.
Syarikat Tidak Boleh Wakil Diri Sendiri
9. Berbeza dengan individu, syarikat tidak boleh hadir ke Mahkamah dan mewakili dirinya sendiri. Ini kerana syarikat bukan manusia semula jadi. Undang-undang mewajibkan syarikat diwakili oleh peguam yang bertauliah dalam prosiding Mahkamah.
10. Aturan 5 Kaedah 6 (2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 menggariskan seperti berikut:
(2) Except as expressly provided by or under any written law, a body corporate may not begin or carry on any such proceedings otherwise than by a solicitor
11. Undang-undang diatas memperuntukkan bahawa prosiding undang-undang sesebuah syarikat wajib dijalankan melalui peguam. Kegagalan melantik peguam dalam tempoh yang ditetapkan boleh menyebabkan syarikat terdedah kepada penghakiman ingkar walaupun syarikat sebenarnya mempunyai pembelaan yang munasabah.
Risiko Jika Saman Terhadap Syarikat Diabaikan
12. Apabila saman terhadap syarikat diabaikan, pihak yang menyaman boleh memohon penghakiman ingkar terhadap syarikat. Penghakiman ini boleh membawa kepada pelaksanaan seperti penyitaan aset syarikat, garnishment akaun bank, dan dalam kes tertentu, tindakan penggulungan syarikat.
13. Lebih membimbangkan, apabila kes telah sampai ke peringkat pelaksanaan, ruang rundingan menjadi sangat sempit dan kos untuk membetulkan keadaan menjadi jauh lebih tinggi.
14. Oleh yang demikian adalah penting untuk syarikat yang menerima sesalinan saman, melantik peguam dan mendapatkan nasihat peguam secepat mungkin.
Rujukan berkaitan:
• Peguam Syarikat dan Enterprise: Baca di sini
• Kepentingan Peguam untuk Syarikat Sdn Bhd: Baca di sini
• Saman dan Penggulungan Syarikat (winding up): Baca di sini
• 12 Sebab Kenapa Syarikat Boleh Digulungkan: Baca di sini
SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN SAMAN TERHADAP SYARIKAT
1. Bolehkah pengarah mewakili syarikat di Mahkamah?
Tidak. Syarikat wajib diwakili oleh peguam dan tidak boleh diwakili sendiri oleh pengarah atau pemegang saham.
2. Adakah saman sah jika pengarah tidak menerima sendiri dokumen saman?
Ya. Penyampaian di alamat berdaftar atau pejabat syarikat boleh dianggap sah walaupun pengarah tidak menerimanya secara peribadi.
3. Apa langkah paling selamat apabila syarikat menerima saman?
Syarikat perlu mendapatkan nasihat peguam secepat mungkin bagi melindungi kedudukan dan mengelakkan risiko penghakiman ingkar.
_______________________


0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.