>

MENGHIDUPKAN SYARIKAT YANG DIBATALKAN PENDAFTARAN

notis 551, pemotongan nama syarikat

CARA MENGHIDUPKAN SYARIKAT YANG DIBATALKAN OLEH PENDAFTAR SYARIKAT

Terdapat pelbagai sebab kenapa sesebuah syarikat dibatalkan dan dibubar (striking off of companies) oleh Pendaftar Syarikat. Kadang-kadang nama syarikat boleh dikeluarkan daripada senarai daftar syarikat tanpa disedari oleh anggota syarikat itu sendiri. Apa yang perlu dilakukan? Apakah kesan Notis s.551? Apakah cara menghidupkan syarikat yang dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Syarikat?

KUASA MEMOTONG NAMA SYARIKAT 

1. Akta Syarikat 2016 memberi kuasa kepada Pendaftar Syarikat untuk memotong nama mana-mana syarikat melalui seksyen 549 Akta Syarikat 2016. 

2. Pemotongan ini bermaksud, nama syarikat tersebut akan dikeluarkan daripada senarai daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang seterusnya menyebabkan syarikat tersebut dibubarkan.

KENAPA NAMA SYARIKAT BOLEH DIPOTONG?

3. Pendaftar Syarikat akan membuat pemotongan nama sesuatu syarikat sekiranya Pendaftar Syarikat mendapati, di antara lainnya, bahawa syarikat tersebut telah tidak lagi beroperasi atau menjalankan aktiviti perniagaan; atau syarikat tersebut telah melanggar mana-mana peruntukan yang terkandung di dalam Akta Syarikat; atau syarikat tersebut digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. Terdapat beberapa sebab lagi yang boleh menyebabkan syarikat memotong nama syarikat.

4. Di antara sebab yang paling lazim kenapa nama syarikat boleh dipotong dari daftar syarikat adalah kerana kegagalan syarikat untuk menyerah simpan Penyata Tahunan (Annual Report) dan/atau Penyata Kewangan yang telah diaudit (Audited Financial Report) kepada SSM.

5. Kegagalan syarikat untuk menyerah simpan dokumen-dokumen statutori (bahasa mudahnya; dokumen yang wajib disedia dan diserahkan kepada SSM mengikut Akta Syarikat) kebiasaanya menunjukkan bahawa syarikat tersebut tidak lagi aktif atau berfungsi.

5. Syarikat yang yang telah dibatalkan pendaftarannya akan dianggap bubar selepas nama syarikat tersebut dikeluarkan di dalam Warta selaras dengan ketetapan Akta Syarikat.

PROSES MEMOTONG NAMA SYARIKAT

6. Sepertimana yang kita sedia maklum, Pendaftar Syarikat boleh memotong nama syarikat daripada daftar syarikat di atas usulnya sendiri. Ini adalah selaras dengan peruntukan s.550 Akta Syarikat.

7. Suatu Notis Tentang Niat Untuk Memotong Syarikat (Notis 551) akan diserahkan kepada syarikat. Dalam tempoh 30 hari, syarikat yang menerima Notis ini perlu menjawab dan memberikan sebab kenapa syarikat tersebut tidak wajar dipotong.

8. Sekiranya syarikat gagal memberikan sebarang jawapan; suatu Pemberitahuan kepada orang awam tentang niat untuk memotong syarikat tersebut akan disiarkan mengikut cara yang ditetapkan atau difikirkan sesuai oleh Pendaftar.

9. Selepas tamat tempoh 30 hari daripada tarikh penyiaran Pemberitahuan tersebut, Pendaftar Syarikat boleh memotong syarikat tersebut sekiranya Pendaftar Syarikat:

a) menerima mengesahan bahawa syarikat tersebut telah tidak beroperasi; 

b) tidak menerima sebarang jawapan kepada Notis 551; 

c) tidak menerima sebarang bantahan terhadap Notis 551; 

d) tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh syarikat kenapa syarikat tersebut tidak wajar dipotong. 

10. Nama syarikat tersebut selepas itu akan disiarkan didalam Warta dan seterusnya akan dianggap bubar.

norhafeez law


KENAPA PERLU HIDUPKAN SYARIKAT YANG TELAH DIBATALKAN/DIBUBAR?

11. Terdapat pelbagai alasan kenapa pengarah atau anggota sesebuah syarikat ingin menghidupkan syarikat yang telah dibubarkan atau dengan erti kata lain memasukkan semula nama syarikat kedalam daftar SSM. Di antaranya, namun tidak terhad kepadanya, adalah:

a) syarikat sebenarnya masih beroperasi dan menjalankan perniagaan. Tidak boleh disangkal bahawa terdapat syarikat-syarikat yang terlepas pandang untuk menyerah simpan dokumen-dokumen statutori kepada SSM sedangkan syarikat tersebut masih menjalankan operasi.

b) terdapat peluang untuk mengembangkan perniagaan syarikat;

c) syarikat ingin diambil alih kerana syarikat tersebut mempunyai lesen-lesen perniagaan tertentu. Kadangkala untuk mendapatkan lesen tertentu yang diperlukan sebelum sesuatu syarikat boleh menjalankan perniagaan adalah rumit. Jadi terdapat syarikat-syarikat yang bertindak mengambil alih syarikat-syarikat yang telah mempunyai lesen tersebut bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan.

d) syarikat tersebut masih mempunyai milikan aset-aset seperti hartanah, jentera atau sebagainya. Aset-aset yang dimiliki oleh syarikat tidak boleh dijual atau dipindah milik sekiranya syarikat tersebut telah dibubarkan. Untuk membolehkan transaksi penjualan aset syarikat yang telah dibubarkan berlaku, syarikat tersebut perlu dihidupkan semula.

CARA MENGHIDUPKAN SYARIKAT (REINSTATEMENT OF COMPANIES) YANG DIBATALKAN/ DIBUBARKAN.

12. Akta Syarikat memberikan peruntukan bagi mana-mana pihak yang terkilan di atas pembatalan atau pembubaran sesuatu syarikat oleh Pendaftar Syarikat untuk memohon kemasukan semula nama syarikat ke dalam daftar SSM.

13. Tempoh masa yan diberikan kepada pihak yang ingin memohon kemasukan semula syarikat tersebut adalah 7 tahun daripada tarikh nama syarikat tersebut dibatalkan. Syarikat perlu melantik peguam secepat mungkin sebelum tempoh itu luput.

14. Peguam yang dilantik akan menyediakan Saman Pemula yang akan disokong oleh satu Afidavit Sokongan yang lazimnya akan ditandatangani oleh salah satu atau kesemua pengarah-pengarah syarikat tersebut.

15. Sekiranya syarikat tersebut masih lagi beroperasi maka syarikat perlu menyediakan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan yang telah diaudit untuk setiap tahun yang tertunggak. Dokumen-dokumen ini disarankan untuk disediakan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan.

16. Disamping itu, pemohon yang memohon perlu berakujanji untuk membayar apa sahaja kompaun yang akan dikenakan oleh SSM di dalam tempoh yang telah ditetapkan dan juga perlu membayar kos pentadbiran SSM dan juga kos permohonan.

18. Saman Pemula tersebut akan didengarkan di hadapan Hakim di Mahkamah. Pihak SSM yang akan dinamakan sebagai pihak didalam permohonan tersebut berhak membuat apa-apa bantahan sekiranya difikirkan wajar.

19. Namun sekiranya tiada bantahan daripada pihak SSM, Mahkamah lazimnya akan membenarkan permohonan tersebut.  Syarikat seterusnya perlu menyerahkan dokumen-dokumen yang dinyatakan di atas dan juga membayar kos-kos yang terlibat di dalam tempoh masa yang dipersetujui.

_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

Untuk membaca rencana-rencana lain berkenaan dengan syarikat:

1. CARA MENGHIDUPKAN SYARIKAT YANG DIBATALKAN SSM
https://www.norhafeezlaw.com/2023/05/pemotongan-nama-syarikat-di-ssm.html

2. MENGGULUNGKAN SYARIKAT

3. MENYAMAN SYARIKAT & KEPENTINGAN STATUS SYARIKAT SEBELUM SAMAN

4. MENGAPA SYARIKAT BOLEH DIGULUNGKAN?

5. PEGUAM SYARIKAT & ENTERPRISE

6. FITNAH SYARIKAT

7. SEPARATE LEGAL ENTITY

8. CARA MENYAMAN SYARIKAT & ENTERPRISE

9. KACAU GANGGU PERNIAGAAN

10. HOW TO REINSTATE STRUCK OFF COMPANIES 

11. COMPANY WINDING UP 

12. DEFAMATION AGAINST COMPANIES

13. FORTUNA INJUNCTION

14. LAWYERS FOR COMPANIES


2 Pertanyaan & Jawapan

  1. syarikat saya telah ditutup kerana tiada menyerahkan audit akaun. saya hendak mendapatkan balik syarikat saya ini

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sekiranya tempoh penutupan tersebut masih belum melepasi 7 tahun, boleh rujuk peguam untuk mendapatkan nasihat lanjut dan langkah seterusnya.
      https://www.norhafeezlaw.com/2023/05/pemotongan-nama-syarikat-di-ssm.html

      Padam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.