>

HUTANG LAPUK - ADAKAH HUTANG LEBIH 6 TAHUN MASIH BOLEH DITUNTUT?

hutang lebih 6 tahun, had masa tuntutan hutang, hutang lapuk di Malaysia

Hutang Lebih 6 Tahun: Masih Boleh Tuntut? (Had Masa 6 Tahun & Cara “Reset”)

Dikemas kini pada: 29 Januari 2026

Untuk suatu tuntutan hutang berasaskan perjanjian/kontrak, undang-undang meletakkan had masa selama 6 tahun untuk memulakan tindakan saman. Jika sudah melebihi tempoh itu, tuntutan boleh jadi statute barred (terhalang oleh had masa). Namun, ada keadaan tertentu yang boleh memperbaharui (reset) kiraan tempoh tersebut, contohnya apabila penghutang mengakui hutang, menjanjikan tarikh baru untuk pembayaran atau membuat bayaran sebahagian.

Artikel ini menerangkan maksud hutang lapuk, cara pengiraan had masa 6 tahun dari tarikh kausa tindakan, dan langkah praktikal yang patut dilakukan jika hutang sudah lama.

Rujukan berkaitan:

• Tuntut hutang melalui saman – proses, dokumen & risiko: Baca di sini

• Aturan Prosedur Mahkamah untuk Tuntutan Hutang: Baca di sini

• Memahami Kos Guaman Tuntutan Hutang: Baca di sini

Hutang Lapuk

1. Sesuatu hutang boleh berlaku bukan sahaja melalui pinjaman-pinjaman yang diberikan kepada seseorang, malah ianya boleh berlaku hasil daripada apa-apa ikatan kontrak yang sah, pembelian barangan, ataupun bayaran bagi sesuatu perkhidmatan yang diberikan.

2. Apabila bayaran yang sepatutnya dibayar gagal dibayar maka bayaran tersebut akan menjadi hutang. Apabila usia hutang itu lama, maka ianya akan menjadi hutang lapuk.

3. Oleh yang demikian, hutang lapuk secara lazimnya boleh difahami sebagai hutang lama yang masih belum dibayar oleh seseorang penghutang (debtor).

Jangkamasa Tuntutan Hutang (Had Masa 6 Tahun)

4. Undang-undang telah menetapkan tempoh masa yang tertentu untuk setiap tindakan undang-undang yang ingin difailkan di Mahkamah. Ini termasuklah juga untuk setiap tindakan undang-undang untuk menuntut sesuatu hutang.

5. Akta Hadmasa 1953 (Limitation Act 1953) telah mensyaratkan bahawa apa-apa saman untuk sesuatu tindakan yang berasaskan perjanjian hendaklah difailkan di dalam tempoh enam (6) tahun daripada tarikh kausa tindakan ataupun secara mudahnya, tarikh hak untuk menuntut itu bermula.

6. Apa-apa tindakan tuntutan hutang yang ingin dimulakan selepas luputnya tempoh masa enam tahun itu lazimnya tidak dibenarkan oleh undang-undang dan terhalang oleh hadmasa.

7. Di sisi pengamal undang-undang dan para peguam, keadaan ini dikenali sebagai statute barred.

6 Tahun Dari Tarikh Kausa Tindakan: Bagaimana hitungannya?

8. Bagaimana pula cara pengiraan atau hitungan 6 tahun itu? Bilakah tempoh masa itu bermula? Seperti yang kita sedia maklum, Akta Hadmasa menggariskan bahawa 6 tahun tempoh masa itu bermula daripada tarikh wujudnya kausa tindakan.

9. Apa yang dimaksudkan dengan wujudnya kausa tindakan? Secara mudahnya, tarikh wujudnya kausa tindakan boleh difahami sebagai tarikh bermulanya hak untuk membuat tuntutan.

10. Sebagai contoh, sekiranya si A meminjamkan wang kepada si B dengan syarat wang tersebut hendaklah dibayar selepas 3 bulan daripada tarikh si A memberikan pinjaman tersebut, maka hak untuk membuat tuntutan bermula daripada tarikh luput 3 bulan tempoh masa yang dijanjikan.

11. Tempoh had masa 6 tahun untuk membuat tuntutan pula akan dikira daripada tarikh luput 3 bulan tadi sehinggalah tarikh terakhir tahun keenam tempoh masa tersebut.

12. Apa-apa tuntutan di luar tempoh 6 tahun tersebut lazimnya dianggap sebagai terhalang oleh hadmasa.

Contoh Kiraan Ringkas

Tarikh pemberian hutang: 1.1.2000

Tarikh janji bayar: 1.3.2000

Tarikh kausa tindakan bermula: 1.3.2000

Tarikh luput hadmasa: 1.3.2006

Cara Tuntut Hutang Melebihi 6 Tahun (Bila Boleh “Reset”)

13. Adakah terdapat cara atau kaedah untuk mengambil tindakan undang-undang untuk hutang yang telah melebihi 6 tahun? Jawapan umumnya adalah tiada. Walau bagaimanapun tempoh masa 6 tahun itu boleh diperbaharui melalui beberapa keadaan tertentu.

14. Apabila keadaan-keadaan ataupun situasi ini berlaku, secara tidak langsung ianya akan memperbaharui hak pemberi hutang untuk memulakan tindakan saman. Apakah keadaan-keadaan itu?

A. Janji Pembayaran Diperbaharui (Pengakuan Hutang)

15. Janji pembayaran diperbaharui adalah satu keadaan di mana terdapat komunikasi di antara pemberi hutang dengan penghutang yang mana si penghutang mengesahkan hutang lapuk tersebut dan telah memberikan satu tarikh baru untuk membuat pembayaran hutang. Maka hak untuk menyaman akan bermula semula daripada tarikh baru yang diberikan.

16. Janji tarikh baru untuk pembayaran hutang ini tidak semestinya berlaku melalui satu perjanjian formal. Ianya boleh berlaku melalui komunikasi elektronik seperti melalui khidmat pesanan ringkas SMS, WhatsApp ataupun mesej peribadi platform media sosial.

17. Jadi sekiranya kita membuat tuntutan pembayaran suatu hutang lapuk daripada penghutang, sebagai contohnya melalui WhatsApp, pastikan rujukan dibuat kepada hutang tersebut secara khusus (jumlah, tarikh, dan punca hutang).

18. Apabila penghutang memberikan janji bahawa pembayaran akan dibuat pada suatu tarikh baru yang tertentu, maka pastikan kita menyimpan tangkapan skrin komunikasi tersebut bersama dengan tangkapan skrin maklumat penghutang atau pemilik mesej (nombor telefon/akaun media sosial, nama, gambar, dan apa-apa indikasi yang mengaitkan mesej itu kepada penghutang).

B. Terdapat Pembayaran Sebahagian Hutang (Part Payments)

19. Pembayaran sebahagian hutang ataupun part payments berlaku apabila si penghutang membuat sedikit pembayaran terhadap hutang tersebut kepada kita.

20. Apabila keadaan ini berlaku, maka tempoh masa 6 tahun tadi akan diperbaharui dan akan bermula daripada tarikh part payment itu.

Kesimpulan

21. Anyone who sleeps over his rights is bound to suffer. Undang-undang tidak akan bersimpati terhadap sesiapa sahaja yang tidur ataupun tidak cakna dengan haknya. Oleh yang demikian, lengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan berkenaan dengan hak anda dan pastikan anda ambil pusing tentangnya.

ANDA JUGA BOLEH MENGISI BORANG KES HUTANG DI BAWAH UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT RINGKAS BERKENAAN DENGAN TUNTUTAN ANDA.

Soalan Lazim (FAQ)

1) Hutang lebih 6 tahun masih boleh dituntut di Mahkamah?
Secara umum, tuntutan selepas 6 tahun boleh terhalang oleh had masa (statute barred). Namun, kiraan 6 tahun boleh diperbaharui jika berlaku pengakuan hutang/ janji bayar semula (tarikh baru) atau ada bayaran sebahagian.

2) 6 tahun itu dikira dari tarikh mana?
Lazimnya dari tarikh kausa tindakan bermula, iaitu tarikh hak untuk menuntut wujud—contohnya selepas tarikh sepatutnya bayaran dibuat tetapi penghutang gagal bayar.

3) Apa bukti yang patut disimpan kalau penghutang janji nak bayar?
Simpan tangkapan skrin mesej yang merujuk hutang secara khusus (jumlah/rujukan) dan mesej janji bayar pada tarikh tertentu, termasuk bukti identiti akaun/nombor telefon yang mengaitkan mesej itu kepada penghutang.

4) Kalau penghutang bayar sikit-sikit, apa kesan pada had masa?
Bayaran sebahagian (part payment) boleh memperbaharui tempoh had masa, dan kiraan 6 tahun lazimnya bermula semula daripada tarikh bayaran sebahagian tersebut.

_______________________

Hafeez Hazlina Fima Guaman Kuala Lumpur

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.

4 Pertanyaan & Jawapan

  1. Salam tuan,baru2 ni ada pihak dari bank call saya untuk menuntut tunggakkan bayaran kereta yg telah mereka tarik.Persoalannya apakah hutang itu masih boleh dituntut .agrement beli kereta tahun 2007-2012. 5 Tahun ikat.mohon pendapat dan nasihat tuan apa yang perlu saya buat.terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. bergantung kepada bila tarikh akhir pembayaran kerana tarikh had masa 6 tahun yang diperuntukkan undang-undang untuk tujuan saman boleh diperbaharui dengan kaedah-kaedah tertentu. Nasihat terbaik sebagai seorang muslim adalah dengan membayar hutang.

      Padam
  2. Selepas 10 tahun . Blh kah pihak terbabit menuntut hutang? Kata mereka sblm ni dah settle. Tau2 pihak mahkamah call .minta byr

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mahkamah tak akan call minta bayaran hutang. Bukan tanggung jawab mereka. Besar kemungkinan pengutip hutang

      Padam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.