CARA MEMBATALKAN PENGHAKIMAN INGKAR DI MALAYSIA

cara membatalkan PENGHAKIMAN INGKAR di Malaysia

Dikemas kini pada: 19 Mac 2026

Penghakiman ingkar berlaku apabila defendan tidak/gagal hadir ke Mahkamah atau gagal memfailkan pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan. Ramai yang panik apabila menerima notis bahawa penghakiman telah dimasukkan terhadap mereka.

Namun, tidak semua penghakiman ingkar itu adalah muktamad. Dalam keadaan tertentu, Mahkamah mempunyai kuasa untuk mengetepikan (atau bahasa awamnya, membatalkan) penghakiman tersebut, tertakluk kepada beberapa syarat penting yang perlu dipenuhi.

Artikel ini menerangkan secara ringkas dan praktikal bagaimana penghakiman ingkar boleh dibatalkan, serta faktor yang menentukan sama ada permohonan anda berpotensi berjaya atau tidak.

Bolehkah Penghakiman Ingkar dibatalkan?

Ya. Penghakiman ingkar boleh dibatalkan melalui permohonan ke Mahkamah jika penghakiman tersebut tidak teratur, atau jika terdapat pembelaan yang munasabah (merit of defence) dan permohonan dibuat tanpa kelewatan yang tidak munasabah.

Rujukan berkaitan:

• Jenis-Jenis Penghakiman Baca di sini

• Apa Itu Perlaksanaan Penghakiman Baca di sini

• Risiko Kalau Kita Abaikan Saman Sivil Baca di sini

1. Apa itu Penghakiman Ingkar?

Penghakiman ingkar adalah keputusan Mahkamah yang dibuat apabila defendan gagal mengambil tindakan yang sepatutnya, seperti tidak hadir ke Mahkamah atau tidak memfailkan pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan.

2. Bila Penghakiman Mesti Diketepikan?

Jika penghakiman tersebut tidak teratur, Mahkamah biasanya akan mengetepikannya secara de jure (as of right) melalui permohonan untuk mengenepikan penghakiman. Ini termasuk situasi di mana dokumen tidak diserahkan dengan sempurna atau prosedur Mahkamah tidak dipatuhi.

3. Bila Mahkamah Akan Pertimbangkan Permohonan?

Jika penghakiman adalah teratur, Mahkamah mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada ia patut diketepikan. Dalam keadaan ini, Mahkamah akan melihat kepada beberapa faktor utama sebelum membuat keputusan.

Penilaian Mahkamah secara ringkas:

Jika penghakiman tidak teratur, Mahkamah biasanya akan mengetepikannya.

Jika penghakiman teratur, Mahkamah akan menilai sama ada terdapat pembelaan, sama ada pembelaan itu berasas, dan sama ada terdapat kelewatan dalam memfailkan permohonan.

4. Kepentingan Pembelaan yang Bermerit (Merit of Defence)

Faktor paling penting dalam suatu permohonan untuk mengenepikan Penghakiman ialah sama ada defendan mempunyai pembelaan yang munasabah. Mahkamah tidak akan mengenepikan penghakiman hanya semata-mata kerana defendan gagal hadir.

Sebaliknya, defendan perlu menunjukkan kepada Mahkamah bahawa jika kes dibicarakan semula, terdapat isu yang wajar dipertimbangkan oleh Mahkamah.

5. Faktor Kelewatan (Delay)

Tempoh masa memainkan peranan yang sangat penting. Semakin lama kelewatan untuk memfailkan permohonan, semakin rendah peluang untuk berjaya. Apatah lagi sekiranya kelewatan tersebut tidak disokong dengan alasan-alasan yang munasabah.

Realiti penting:

Semakin lambat anda bertindak, semakin sukar untuk Mahkamah membenarkan permohonan. Kelewatan sering dianggap sebagai tanda bahawa anda tidak serius untuk mempertahankan kes.

6. Adakah Semua Kes Boleh Dibatalkan?

Tidak. Jika defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan yang munasabah, Mahkamah tidak akan membenarkan permohonan untuk mengenepikan penghakiman.

Permohonan untuk mengenepikan penghakiman bukan sekadar formaliti. Ia memerlukan asas yang kukuh dari segi undang-undang dan fakta.

7. Ringkasan 

Penghakiman ingkar boleh dibatalkan melalui permohonan ke Mahkamah. Jika penghakiman tersebut tidak teratur, ia biasanya akan diketepikan. Jika penghakiman itu teratur, Mahkamah akan menilai kewujudan pembelaan yang munasabah serta faktor kelewatan. Tidak semua kes akan berjaya, dan tindakan pantas sangat penting.

8. Perlukah Anda Dapatkan Peguam?

Permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar melibatkan hujahan undang-undang dan penyediaan afidavit yang terperinci. Kesilapan kecil boleh memberi kesan besar kepada keputusan Mahkamah.

Jika anda berada dalam situasi ini, adalah penting untuk mendapatkan nasihat peguam secepat mungkin bagi menilai kekuatan kes anda dan tindakan yang sesuai.

Soalan Lazim

1. Bolehkah penghakiman ingkar dibatalkan?

Ya, penghakiman ingkar boleh dibatalkan jika penghakiman itu tidak teratur, atau jika terdapat pembelaan yang munasabah dan permohonan dibuat tanpa kelewatan yang tidak munasabah.

2. Apakah faktor utama yang akan dilihat oleh Mahkamah?

Mahkamah akan melihat sama ada penghakiman itu teratur atau tidak, sama ada defendan mempunyai pembelaan yang munasabah, dan sama ada terdapat kelewatan dalam memfailkan permohonan.

3. Adakah kelewatan boleh menjejaskan peluang saya?

Ya. Semakin lama anda menunggu untuk bertindak, semakin rendah peluang permohonan anda untuk berjaya.

4. Adakah semua penghakiman ingkar boleh diketepikan?

Tidak. Jika tiada pembelaan yang munasabah atau asas fakta yang kukuh, Mahkamah boleh menolak permohonan tersebut.

_______________________

Hafeez Hazlina Fima Guaman Kuala Lumpur

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej di atas.

4 Pertanyaan & Jawapan

  1. sy ada satu kes yg rumit ...tetapi kes ni ayah sy memang mempunyai bukti2 kukuh yg sah melalui undang2...tapi umur tk panjang....kes makamah yg sedang brjalan sy tidak tahuapa dah jadi ..biladah lama baru sy dapat tahu kes selesai luar makamah abg tiri yg jadi penghianat..12 org sudah deberi pampasan oleh majlis perbandaran ipoh....tapi mereka hnyalh penyewa rumah tu dahulu dn bayar sewa rumah kpd ayah sy..saya sebagai anak kandung yg sah mereke sembunyi kn segala2dari sy...mereka masuk rumh tanpa pengatahuan sy..mereka ambil fail2 dlm rumah ayah tnpa sy tahu...kes sudah lama ..tapi tempat tu masih semak lgi...klu boleh bgi pandangaan mcm mana harus dilakukan..KAMPUNG KUCAI IPOH PERAK..KAMPUNG JAWA IPOH TANAH PERTANIAN..KLU NK TENGOK2 DOKUMEN2 YG ADA PADA SY..MASIH ADA SIMPAN LGI...TAPI BNYAK BUKTI2 PIHAK LAWAN TELAH AMBIL CONTOH NYA FAIL DI MAKAMAH TINGGI MEREKA DAH AMBIL...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Berhubung dan rujuk peguam yang mengendalikan kes tersebut.

      Padam
  2. pihak mahkamah telah membuat penghakiman keatas saya diluar pengetahuan saya, kini saya m,ahu membela diri saya yang seperti dianiaya, tetapi saya mempunyai masalah untuk mendapatkan khidmat guaman dari segi kos. Apakah ada jalan untuk saya membela diri?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Boleh wakili diri sendiri. Tapi perlu tahu dan mahir dengan cara-caranya. Dapatkan dan rujuk Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk bacaan lanjut.

      Padam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.