SAMAN CEROBOH TANAH PERSENDIRIAN


Dikemas kini pada: 22 April 2026

Saman ceroboh tanah ialah tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh pemilik atau pihak yang mempunyai hak ke atas sesuatu tanah apabila orang lain memasuki, menggunakan atau menduduki tanah tersebut tanpa kebenaran. Di Malaysia, pencerobohan tanah (trespass to land) merupakan satu tort yang bersifat actionable per se, iaitu tindakan boleh diambil walaupun tanpa membuktikan kerugian sebenar. Artikel ini menerangkan apa yang dimaksudkan dengan ceroboh tanah, contoh situasi yang sering berlaku, prinsip undang-undang yang terpakai serta langkah yang boleh diambil oleh pemilik tanah jika pencerobohan berlaku.

APA ITU TORT CEROBOH TANAH?

1. Saman ceroboh tanah persendirian, ataupun bahasa undang-undangnya, tort pencerobohan hartanah (trespass to land) adalah undang-undang yang dikhususkan untuk melindungi tanah yang dimiliki oleh seseorang daripada dicerobohi atau dimasuki oleh pihak lain tanpa kebenaran.

“Trespass to land consists in any unjustifiable intrusion by one person upon land in the possession of another.” – Clerk & Lindsell on Torts

2. Seseorang itu dianggap sebagai menceroboh sekiranya beliau memasuki tanah yang dimiliki oleh orang lain tanpa kebenaran pemilik harta tanah tersebut. Ia tidak semestinya melibatkan pergaduhan atau kerosakan besar; perbuatan masuk tanpa izin itu sendiri sudah cukup untuk dikira pencerobohan di sisi undang-undang.

3. Hatta sekiranya seseorang itu memijak tanah orang lain dengan satu kaki sahaja sekalipun, jika ianya dilakukan tanpa kebenaran pemilik tanah tersebut, di sisi undang-undang ianya sudah dianggap sebagai menceroboh. Prinsip ini penting kerana undang-undang mahu melindungi hak pemilik tanah secara tegas.

“Every unlawful entry by one person on land in the possession of another is a trespass for which an action lies, although no actual damage is done. A person trespasses upon land if he wrongfully sets foot on, or rides or drives over, it, or takes possession of it, or expels the person in possession, or pulls down or destroys anything permanently fixed to it, or wrongfully takes minerals from it, or places or fixes anything on it or in it, or, it seems, if he erects or suffers to continue on his own land anything which invades the airspace of another, or if he discharges water from another’s land, or sends filth or any injurious substance which has been collected by him on his own land on to another’s land.” – Halsbury’s Laws of England

APA CONTOH KES CEROBOH TANAH?

4. Untuk memudahkan pemahaman, terdapat pelbagai bentuk pencerobohan yang sering berlaku dalam kehidupan seharian. Ada yang nampak jelas sebagai pencerobohan, ada juga yang pada pandangan orang awam kelihatan seperti perkara kecil, tetapi tetap dikira sebagai pencerobohan di sisi undang-undang.

5. Antara contoh yang sering dilihat dalam kes-kes pencerobohan tanah di Mahkamah adalah seperti dalam senarai di bawah.

a) Membina binaan (rumah, tembok, longkang, dinding) di atas tanah milik orang lain tanpa kebenaran.

b) Membuang bahan (sampah, tanah, air longkang dan seumpamanya) ke dalam tanah milik orang lain tanpa kebenaran.

c) Mengusahakan tanah (menanam tanaman, membuat ladang atau kebun) di atas tanah milik orang lain tanpa kebenaran.

d) Menduduki rumah yang dimiliki oleh orang lain tanpa kebenaran pemilik.

e) Membuat penambahan ke atas bangunan sendiri sehingga memasuki kawasan tanah milik orang lain tanpa kebenaran.

f) Merombak apa-apa binaan yang dibina di atas tanah milik orang lain tanpa kebenaran.

g) Membiarkan haiwan peliharaan (seperti lembu atau kambing) atau tanaman masuk ke dalam tanah milik orang lain tanpa kebenaran.

6. Semua contoh di atas, jika dibuktikan, boleh menjadi asas kepada satu tindakan saman di Mahkamah. Pemilik tanah tidak wajib tunggu sehingga berlaku kerosakan yang besar atau pertikaian yang serius sebelum mengambil tindakan.

7. Untuk gambaran yang lebih ringkas, kita juga boleh merujuk kepada bahan infografik yang menerangkan contoh pencerobohan tanah dalam bentuk visual.

CONTOH KES CEROBOH TANAH – LIHAT INFOGRAFIK DI SINI.

APA MAKSUD STRICT LIABILITY & ACTIONABLE PER SE?

“Trespass to land is actionable per se without any proof of damage and liability is certainly strict.” – Terra Damansara v Nandex Development

8. Tindakan ceroboh tanah itu sendiri sudah menjadi sebab yang mencukupi untuk seseorang pemilik tanah memfailkan saman di Mahkamah. Berbeza dengan banyak jenis tuntutan lain yang memerlukan pihak yang menyaman membuktikan kerugian terlebih dahulu, dalam kes ceroboh tanah, pemilik tanah tidak perlu menunjukkan kerugian sebenar sebelum berhak mengambil tindakan.

9. Di dalam undang-undang, kes sebegini dipanggil sebagai kes strict liability dan tindakan ke atasnya adalah “actionable per se”. Maksudnya, apa yang perlu dibuktikan oleh pemilik tanah hanyalah perbuatan pencerobohan itu sendiri: bahawa tanah itu miliknya, dan bahawa penceroboh telah memasuki atau menggunakan tanah tersebut tanpa kebenaran.

10. Bahkan sekiranya pemilik tanah tersebut tidak mengalami sebarang kerugian nyata sekalipun, atau penceroboh tidak mendapat apa-apa keuntungan sekalipun daripada pencerobohan tersebut, di sisi undang-undang pemilik tanah tersebut tetap berhak mendapat sekurang-kurangnya ganti rugi nominal. Penceroboh tetap boleh diarahkan membayar pampasan atas perbuatan menceroboh itu sendiri.

Apa Tindakan Jika Orang Ceroboh Tanah Kita?

11. Jika seseorang memasuki, menggunakan atau membina apa-apa di atas tanah anda tanpa kebenaran, perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai pencerobohan tanah di sisi undang-undang. Pemilik tanah mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pencerobohan tersebut.

12. Dalam banyak keadaan, isu ceroboh tanah timbul apabila jiran membina tembok atau longkang melepasi sempadan tanah, seseorang menggunakan tanah tanpa izin, atau tanah kosong diduduki oleh pihak lain. Jika situasi seperti ini berlaku, pemilik tanah boleh mendapatkan nasihat peguam dan mempertimbangkan tindakan saman ceroboh tanah bagi melindungi hak miliknya.

APAKAH FAKTOR UNTUK MENENTUKAN PAMPASAN?

13. Apabila kes ceroboh tanah dibawa ke Mahkamah dan pencerobohan berjaya dibuktikan, lazimnya pemilik tanah mempunyai beberapa pilihan dari segi bentuk pampasan yang mahu dituntut. Salah satu bentuk tuntutan ialah pampasan disebabkan kehilangan penggunaan tanah tersebut (loss of use), contohnya jika tanah itu boleh disewakan atau digunakan bagi tujuan komersial.

14. Dalam keadaan tertentu, pemilik tanah juga boleh memilih untuk menuntut keseluruhan keuntungan yang diraih oleh penceroboh hasil daripada penggunaan tanah tersebut. Ini biasanya timbul apabila penceroboh menggunakan tanah berkenaan untuk tujuan perniagaan, pertanian atau apa-apa aktiviti yang menjana keuntungan.

15. Mahkamah akan menilai beberapa faktor lain dalam menentukan jumlah pampasan dan gantirugi yang wajar dibayar oleh penceroboh kepada pemilik tanah. Di antara faktor yang diambil kira ialah jangkamasa pencerobohan (duration of trespass), keluasan dan keadaan kawasan yang dicerobohi (area of trespass) serta kadar harga sewa pasaran (market rental price) bagi tanah tersebut pada waktu material.

BOLEHKAH MASUK ATAU CEROBOH TANAH ATAU RUMAH YANG KOSONG?

16. Satu salah faham yang sering timbul ialah anggapan bahawa jika tanah itu kosong atau tidak diusahakan, pemilik tanah tidak mempunyai hak yang kuat untuk menyaman. Ini tidak tepat. Walaupun tanah yang diduduki oleh penceroboh tersebut adalah tanah yang kosong dan tidak diusahakan, pemilik tanah tersebut masih berhak untuk mengambil tindakan di Mahkamah.

17. Prinsip yang sama terpakai kepada rumah yang tidak didiami oleh pemiliknya. Hanya kerana rumah itu dibiarkan kosong, ia tidak memberi lesen kepada mana-mana pihak untuk masuk, menetap atau menggunakan rumah tersebut tanpa kebenaran. Ketiadaan penghuni tidak menafikan hak pemilikan dan kawalan pemilik ke atas hartanah tersebut.

BOLEHKAH PENCEROBOH MENUNTUT BALAS PAMPASAN?

18. Ada juga keadaan di mana penceroboh mendakwa bahawa mereka telah “menaik taraf” atau “membaiki” tanah tersebut. Contohnya dengan memotong semak dan hutan, menurap jalan, membina pagar simen atau membina tembok konkrit di atas tanah yang sebenarnya milik orang lain, menggunakan wang sendiri tanpa merujuk pemilik.

19. Persoalan yang sering timbul ialah: adakah penceroboh boleh menuntut pampasan bayaran balik kos-kos tersebut daripada pemilik tanah? Jawapannya, secara umum, adalah tidak. Penceroboh tidak diberi hak automatik untuk menuntut pampasan semata-mata kerana mereka telah membuat penambahbaikan ke atas tanah yang bukan milik mereka. Dalam prinsip undang-undang tertentu keadaan ini pernah dibincangkan di bawah konsep seperti proprietary estoppel, tetapi fakta dan konteks kes adalah sangat khusus dan kompleks.

BAGAIMANA SEKIRANYA PENCEROBOH TIDAK TAHU ATAU TERSILAP CEROBOH?

20. Satu lagi hujahan yang selalu kedengaran ialah penceroboh “tidak sedar” bahawa tanah itu sebenarnya milik orang lain, atau mereka mendakwa telah tersilap (by mistake) mengukur sempadan tanah. Dalam beberapa keputusan Mahkamah, ketidaksedaran atau kesilapan seperti ini tidak diterima sebagai satu pembelaan yang membolehkan penceroboh terlepas liabiliti sepenuhnya.

21. Dengan kata lain, walaupun penceroboh mendakwa mereka tidak tahu atau hanya tersilap, tindakan menceroboh itu tetap boleh dikenakan tindakan undang-undang. Di peringkat praktikal, faktor niat dan cara pencerobohan berlaku mungkin diambil kira ketika menilai pampasan, tetapi ia tidak secara automatik menghalang saman daripada difailkan.

BAGAIMANA KALAU PENCEROBOH MENDAPAT KEBENARAN DARIPADA SAUDARA MARA PEMILIK?

22. Ada juga kes di mana penceroboh mendakwa bahawa mereka telah mendapat “kebenaran” daripada ahli keluarga pemilik tanah, contohnya kakak ipar atau saudara mara yang rapat dengan pemilik, dan menyangka kebenaran itu sudah memadai untuk membolehkan mereka menduduki atau menggunakan tanah tersebut.

23. Dalam satu keputusan Mahkamah, kebenaran yang didakwa diberikan oleh kakak ipar pemilik tanah tersebut tidak diiktiraf sebagai kebenaran yang sah. Pencerobohan tetap dianggap berlaku kerana pihak yang memberi “kebenaran” itu bukanlah pemilik yang sah dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk membenarkan sesiapa menggunakan atau menduduki tanah berkenaan.

24. Ini bermaksud, jika seseorang ingin menggunakan tanah orang lain, kebenaran hendaklah diperoleh daripada pemilik berdaftar atau wakil yang mempunyai kuasa undang-undang yang jelas. Bergantung kepada saudara mara, jiran atau pihak ketiga tanpa semakan dokumen hakmilik boleh menyebabkan seseorang itu tanpa sedar menjadi penceroboh di sisi undang-undang.

Jadi, Bagaimana Cara Untuk Memulakan Saman Ceroboh Tanah?

Secara ringkasnya, untuk memulakan saman ceroboh tanah, pemilik tanah perlu terlebih dahulu mengumpulkan dokumen pemilikan, bukti pencerobohan, maklumat pihak yang menceroboh, dan mendapatkan nasihat peguam sebelum Notis Tuntutan dikeluarkan dan saman difailkan di mahkamah.

(i) Langkah pertama adalah memastikan dokumen pemilikan atau kawalan ke atas tanah tersebut berada dalam keadaan lengkap. Ini termasuk geran, carian tanah, perjanjian jual beli, pelan tanah, resit cukai tanah, cukai taksiran atau apa-apa dokumen berkaitan yang boleh menunjukkan hak dan kepentingan anda terhadap tanah tersebut.

(ii) Seterusnya, kumpulkan bukti pencerobohan dengan segera. Sebagai contoh, ambil gambar atau video keadaan tanah, struktur yang dibina, pagar, penggunaan tanpa izin, laluan keluar masuk, kerja-kerja di atas tanah, serta apa-apa perubahan fizikal pada kawasan tersebut. Jika ada, simpan juga pelan lokasi, koordinat, laporan polis, aduan kepada pihak berkuasa tempatan, atau surat-menyurat berkaitan pencerobohan tersebut.

(iii) Selain itu, cuba dapatkan maklumat individu atau pihak yang dipercayai menceroboh tanah itu seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, nama syarikat, atau apa-apa butiran yang boleh membantu mengenal pasti defendan. 

(iv) Semua dokumen dan bukti yang telah dikumpulkan sebaiknya disusun dan dibawa kepada peguam untuk diteliti. Melalui sesi konsultasi, peguam boleh menilai sama ada wujud asas kukuh untuk tindakan ceroboh tanah, bentuk remedi yang sesuai seperti injunksi, gantirugi, atau pengosongan, serta isu praktikal yang mungkin timbul semasa prosiding.

(v) Jika anda ingin mendapatkan peguam untuk menilai atau mengendalikan kes saman ceroboh tanah, anda boleh menghubungi melalui WhatsApp di sini: Hubungi melalui WhatsApp. Jika terdapat asas untuk tindakan undang-undang, peguam lazimnya akan membuka fail, mengeluarkan Notis Tuntutan, dan seterusnya memfailkan saman di mahkamah.

SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN SAMAN CEROBOH TANAH

1. Apa yang dimaksudkan dengan ceroboh tanah di sisi undang-undang?
Ceroboh tanah berlaku apabila seseorang memasuki, menggunakan atau menduduki tanah milik orang lain tanpa kebenaran pemilik. Dalam undang-undang tort, perbuatan ini dikenali sebagai trespass to land dan pemilik tanah berhak mengambil tindakan di Mahkamah walaupun tanpa membuktikan kerugian sebenar.

2. Adakah saya boleh menyaman penceroboh jika tanah saya masih kosong dan tidak diusahakan?
Ya. Walaupun tanah anda kosong dan tidak diusahakan, hak milik anda tetap dilindungi oleh undang-undang. Pencerobohan tetap boleh diambil tindakan walaupun tiada bangunan atau projek di atasnya kerana isu utama ialah hak pemilikan tanah.

3. Jika jiran hanya terlebih bina tembok atau longkang sedikit ke dalam tanah saya, adakah ia tetap pencerobohan?
Ya. Walaupun pencerobohan itu kelihatan kecil, seperti tembok atau longkang yang memasuki sedikit ke dalam sempadan tanah anda, ia tetap dianggap pencerobohan jika dibuat tanpa kebenaran pemilik tanah.

4. Perlukah saya membuktikan kerugian sebelum memfailkan saman ceroboh tanah?
Tidak semestinya. Dalam kes ceroboh tanah, tindakan ini dianggap actionable per se. Ini bermaksud pemilik tanah boleh mengambil tindakan undang-undang walaupun tidak mengalami kerugian sebenar.

5. Bolehkah seseorang memasuki tanah kosong atau rumah kosong tanpa kebenaran?
Tidak. Walaupun sesuatu tanah atau rumah itu kosong, ia tetap dimiliki oleh seseorang. Memasuki atau menggunakan hartanah tersebut tanpa kebenaran pemilik tetap boleh dianggap sebagai pencerobohan di sisi undang-undang.

6. Jika penceroboh mendakwa mereka tersilap atau tidak tahu sempadan tanah, adakah ia masih pencerobohan?
Dalam kebanyakan keadaan, kesilapan atau ketidaktahuan mengenai sempadan tanah bukanlah pembelaan yang mencukupi untuk mengelakkan liabiliti. Jika seseorang memasuki atau menggunakan tanah milik orang lain tanpa kebenaran, ia masih boleh dianggap sebagai pencerobohan.

7. Bagaimana saya boleh mendapatkan peguam untuk menilai sama ada kes ceroboh tanah saya boleh disaman?
Langkah terbaik adalah mendapatkan konsultasi awal dengan peguam supaya dokumen pemilikan tanah, bukti pencerobohan, identiti pihak yang terlibat serta kekuatan kes boleh dinilai terlebih dahulu. Untuk mendapatkan peguam bagi mengendalikan atau menilai kes saman ceroboh tanah, boleh hubungi peguam pilihan anda atau jika mahu, boleh klik di sini: Hubungi kami melalui WhatsApp.

_______________________

Peguam Sivil Kuala Lumpur Hafeez & Hazlina

Penafian: Rencana di dalam Norhafeezlaw[dot]com ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda. Sekiranya anda sedang menghadapi isu ceroboh tanah atau pertikaian berkaitan hartanah, mendapatkan nasihat awal daripada peguam boleh membantu menilai kekuatan kes serta langkah undang-undang yang sesuai. Jika mahu, anda juga boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui WhatsApp dengan menekan imej di atas.

6 Pertanyaan & Jawapan

  1. Berapa kos upah untuk peguam bagi saman orang yang menceroboh tanah persendirian?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Boleh hubungi En.Hafeez secara whatsapp di talian 0129797494 untuk atur konsultasi

      Padam
  2. Apakah seksyen dan kaedah mahkamah bagi kes di atas? Terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Boleh hubungi En.Hafeez secara whatsapp di talian 0129797494 untuk atur konsultasi

      Padam
  3. bagaimana sekiranya ade gangguan /halangan penceroboh untuk tuan tanah usahakan tanah yg bergeran apakah langkah cara menangani masalah selama halangan dilakukan bolehkah tuan tanah menuntut gantirugi taulafan atau yg berkaitan pencerobohan selam beryahun dilakukan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Buat laporan polis sekiranya halangan melibatkan ancaman kecederaan fizikal. Seterusnya lantik peguam untuk dapatkan perintah injunksi di Mahkamah

      Padam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.