Kenapa Penting Untuk Faham Prosiding Perlaksanaan Penghakiman
1. Ramai dari kita menyangka bahawa apabila kita menang sesuatu kes di Mahkamah dan memperoleh penghakiman yang berpihak kepada kita, maka segalanya telah selesai.
2. Tapi realitinya, proses untuk memenangi sesuatu kes dan mendapatkan sesuatu penghakiman hanyalah separuh dari jalan perjuangan.
3. Separuh lagi, yang tidak kurang penting, ialah bagaimana untuk melaksanakan atau menguatkuasakan penghakiman tersebut—terutamanya jika pihak yang kalah enggan membayar atau tidak memberi kerjasama.
4. Penghakiman Mahkamah bukan semata-mata simbol kemenangan sesuatu kes. Ia juga adalah dokumen rasmi yang memberi anda hak yang telah disahkan disisi undang-undang.
5. Namun ada sahaja diluar sana segelintir kecil pihak yang kalah didapati gagal atau ingkar mematuhi penghakiman tersebut.
6. Maka anda sebagai pihak yang menang boleh dan perlu mengambil langkah seterusnya—iaitu memulakan prosiding perlaksanaan atau penguatkuasaan penghakiman.
7. Prosiding perlaksanaan penghakiman ialah prosiding - prosiding tindakan undang-undang yang membolehkan anda "memaksa" pelaksanaan penghakiman ke atas pihak yang gagal mematuhinya.
8. Ia adalah proses lanjutan yang amat penting dan tidak boleh dipandang ringan, kerana tanpa perlaksanaan, penghakiman itu sendiri tidak membawa sebarang manfaat yang praktikal melainkan hak yang telah diakui dan disahkan oleh Mahkamah sahaja.
9. Ada beberapa bentuk prosiding yang boleh digunakan, bergantung kepada keadaan dan maklumat yang anda ada terhadap pihak lawan. Diantaranya adalah prosiding Garnisi, prosiding Saman Penghutang Penghakiman, prosiding kebankrapan atau Penggulungan Syarikat.
10. Setiap satu bentuk prosiding perlaksanaan penghakiman ini dihuraikan dengan lebih lanjut dalam rencana - rencana ringkas di bawah:
👉 Apa Itu Prosiding Perlaksanaan Penghakiman – Bahagian 1
👉 Apa Itu Prosiding Perlaksanaan Penghakiman – Bahagian 2
11. Kefahaman terhadap prosiding - prosiding perlaksanaan penghakiman ini bukan sahaja membantu kita untuk membuat keputusan yang lebih tepat selepas memenangi sesuatu kes, tetapi juga mencegah kesilapan seperti membiarkan penghakiman tergantung tanpa tindakan.
12. Ini juga menjelaskan kenapa kerja peguam tidak semudah “dapatkan penghakiman dan terus selesai”—kerana ada fasa lanjutan yang memerlukan ketelitian, strategi, dan pengalaman.
13. Jika anda sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang atau baru sahaja memperoleh penghakiman Mahkamah, jangan ambil mudah langkah seterusnya. Fahami opsyen anda, dan bertindak dengan tepat.
Berwaspada dan beringatlah selalu!
Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami [Firma Guaman Tetuan Hafeez & Hazlina] melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.